Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Jadilah jantan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kalau kita seorang lelaki, kita hendaklah menjadi lelaki yang jantan. Bukan lelaki yang betina. Orang Melayu membincangkan perihal lelaki haruslah menjadi jantan, bersikap jantan, berperangai jantan. Jika kita membaca sebuah pedoman untuk orang Melayu yang dinukilkan dalam “Ungkapan Melayu-Pemahaman dan Permasalahannya” oleh Allahyarham Tenas Effendy kita akan dapat menemukan apa itu jantan, sikap seorang jantan, dan juga perihal lelaki yang jantan.

Pak Tenas pernah mengungkapkan beberapa konsep jantan yang positif dalam kerangka pemikiran orang Melayu.

Yang pertama, beliau memperihalkan konsep ‘jantan santan’. Apakah itu jantan santan? Seperti mana yang kita tahu, makanan orang Melayu itu patinya banyak berasaskan santan. Justeru santan dalam hal ini sesuatu yang baik. Maka ‘jantan santan’ tentulah sebuah konsep yang positif.

Dalam Ungkapan Melayu ‘jantan santan’ adalah:

“Yang disebut jantan santan
keturunan elok, dada beriman
ilmu dituntut ia amalkan
pantang dan larang ia ikutkan
kasihnya tidak memilih kawan
adilnya tidak memandang kekayaan
hidupnya menjadi suri teladan
petuahnya menjadi tempat pegangan
hidup setia mati beriman
kepada mengalir rahmat Tuhan .”

Dalam hal ini seorang raja atau putera, pemerintah atau menteri yang baik adalah mereka yang bersikap ‘jantan santan’. Bukan sahaja beriman, tetapi ada ilmu, dan bersikap adil sehingga dapat dijadikan pedoman atau teladan. Tidaklah perangainya tidak macam jantan. Sebab keturunannya pun elok, hidup mati pun dalam keimanan dan sentiasa di bawah rahmat Tuhan. Kalau jantan, bila beradu mestilah setara, bukan niatnya mempersenda.

Dalam hal ini juga kita akan menemukan pantun tentang ‘jantan santan’ ini:

“Jerang santan masak pun santan,
Sama-sama sudu dituntung;
Orang jantan awak pun jantan,
Sama-sama mengadu untung.”

Dalam hal ini ‘jantan santan’ bukanlah jantan yang mahu beradu nasib secara tidak setara.

Beradu hujah

Misalnya seorang jantan dari kelas ada-ada tidak akan melontar cabaran atau mempersenda jantan dari kelas murbawan. Dalam erti kata lain, apa jantan jika seseorang berkuasa mencabar orang yang tidak punya kuasa? Jantan tidak berperangai betina.

Jantan haruslah lelaki yang bukan berentap untuk menang tetapi bila beradu mereka beradu hujah. Bukan beradu kekuatan secara kudrat. Pantun Melayu dengan cekap menggambarkan ini:

“Orang bersampan awak bersampan,
Siapa berlayar siap berenang;
Orang jantan awak pun jantan,
Siapa benar siapa nan menang.”

Dalam kalangan orang Melayu, ada satu lagi konsep jantan iaitu ‘jantan betik’. Arwah Pak Tenas menuliskan begini:

“Yang disebut jantan betik
rupa tampan budi pun baik”

Di sini diperikan seorang jantan ialah seorang jantan yang bukan setakat sasa tetapi juga tingkah laku, perangai dan budinya juga harus baik. Namun demikian harus diingatkan, konsep ‘jantan betik’ ini terpakai di Johor Riau, tempat asalnya Pak Tenas. Secara lebih umum, bila orang Melayu bercakap mengenai ‘jantan betik’ selalunya ia bukanlah sesuatu yang menyenangkan. Ini kerana betik jantan disifatkan hanya berbunga tetapi tidak berbuah. Makanya ia tampak kaya, hebat, berkuasa tetapi sebaliknya tak ada buah, tidak mendatangkan hasil, atau kadang kala dirujuk sebagai lelaki parasit yang makan tanggung.

Pak Tenas juga menghujahkan konsep jantan yang lain iaitu ‘jantan cikar’. Apakah cikar?

Ia adalah kata arkaik yang bermakna pedati atau kereta roda purba. Kenderaan ini kebiasaannya menggunakan kudrat lembu, sapi atau kerbau untuk menggerakkannya.

Ini lama sebelum kenderaan berenjin diperkenalkan. Ketika itu orang Melayu bergerak dengan cikar. Ia adalah kenderaan pengangkutan awam untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Konsep ‘jantan Cikar’ ini selalu untuk merujuk seseorang lelaki berwaspada, sangat berhati-hati ketika berbahasa atau mengulas sesuatu, atau menimbang-nimbang dalam tindakan. ‘Jantan cikar’ itu memiliki fikiran tajam dan hati yang baik selain berkudrat dan tegap.

Kata Pak Tenas:

“Yang disebut jantan cikar
fikiran tajam, hati pun besar”

Jantan cikar

Kumpulan lelaki atau ‘jantan cikar’ ini mereka yang bila diberi tugas memang cekatan, berjaya menggalas beban, tidak gentar dan menjadi sandaran masyarakat atau pengikutnya. ‘Jantan cikar’ ini seringnya harapan keluarga, kerabat, dan dalam konteks lebih besar adalah sesebuah negara. Selalu ‘jantan cikar’ ini jujur dan tidak mencari gaduh.

Dalam kalangan untuk orang Johor, terdapat pula konsep ‘jantan bego’. Istilah ini ‘jantan bego’ ialah untuk menjelaskan gender perempuan yang dalam jasadnya terdapat lelaki atau ‘jantan’; ‘berkenaan perempuan yang mempunyai sifat atau ciri kelaki-lakian’. Ini menjadi petunjuk bahawa orang Melayu pernah mempunyai istilah untuk wanita yang maskulin. Dalam istilah bahasa Inggeris (bukan tujuan menghina), jantan bego adalah butch.

Dalam faham orang Melayu Melaka, terdapat istilah pertukangan yang disebut ‘papan jantan betina’. Papan ‘jantan betina’ ini adalah papan yang satu sisinya berlekuk dan satu sisi berlidah untuk disusun sisi ke sisi menjadi dinding. Justeru ia mempunyai dwifungsi.

‘Jantan bego’ dan ‘papan jantan betina’ mempunyai konotasi lebih positif berbanding kata jantan sahaja. Ini kerana kata jantan sahaja secara tunggal selalu merujuk kepada lelaki sia-sia.

Dalam kerangka Melayu, dalam banyak-banyak konsep jantan yang positif terdapat juga gambaran atau rangkuman mengenai jantan secara negatif dan menjolok rasa. Salah satu konsep jantan yang negatif ialah ‘jantan bogebang’ iaitu lelaki yang suka mencari pasal, mengarut, kalau bercakap kerjanya mencabar dan tiada akhlak, berniat untuk berlaga, bertumbuk, dan berkelahi. Konsep ini paling selalu disebut dalam kalangan orang Minang di Negeri Sembilan.

Dalam kalangan orang Melayu, jantan tidak berkualiti juga dirujuk sebagai ‘jantan yang diam’. Mereka adalah jantan yang duduk sahaja membesarkan buntut dan perut, mengasah alat kelamin dengan minyak lintah, membuat anak tetapi tak ada produk atau karya untuk dibanggakan. Dalam hal ini ada bidalan Melayu yang menjelaskan begini:

“Yang disebut jantan diam
daripada bekerja banyaklah diam,
laku seperti ayam mengeram,
fikiran suntuk akal pun padam,
malu menimpa muka pun hitam.”

Secara umumnya istilah jantan dalam orang Melayu juga untuk merujuk perangai lelaki yang gasang, suka bersetubuh, berfikir menggunakan kepala zakar, dan bercakap tanpa memikir, terburu-buru, malah suka bergocoh.

Gedung suku kata

Anehnya, jantan juga selalu merujuk kepada putera. Ini misalnya dapat ditemukan dalam gedung suku kata (entri akar kata) dalam himpunan Institut Alam dan Tamadun Melayu. Kata jantan dikaitkan dengan “laki-laki, peria, putera” dan disandarkan menerusi pantun:

“Anak musang jantan
Panjat sentul tinggi
Bukannya hutang makan
Hutang gila nak berlaki”

Bagaimana ia dapat dikaitkan dengan “laki-laki, peria, putera” belum dipecahkan kepompongnya; terdapat banyak misteri yang belum lagi terungkai. Sesungguhnya kekayaan khazanah Melayu memang masih misteri dan perlu diselongkar.

Sekarang, sekiranya anda lelaki Melayu, terpulanglah jika anda hendak menjadi jantan Melayu yang bagaimana. Jangan menjantan sahaja menggaru kote tetapi perangai masing-masing seumpama betina yakni mengacum, mengancam perempuan dan tidak menggunakan akal sihat; selain berperangai buruk lagi bedebah.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.