Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Mewarisi wawasan Siddiq Fadzil

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pertama kali saya bersemuka dengan almarhum Dr Siddiq Fadzil pada 12 Februari 2011, dalam satu seminar bertemakan “Pembangunan Semula Pemikiran Islam Melayu”, anjuran Yayasan Selangor, dengan kerjasama Institut Kajian Dasar (IKD) ketika itu. Dr Siddiq Fadzil dijadualkan untuk membentangkan kertas kerja berjudul “Demokrasi dan Strategi Pembangunan Pemikiran Islam Melayu”.*

Untuk memberi konteks kepada seminar itu – pergolakan politik tanah air memasuki lembaran baru selepas tsunami politik mengombak dalam PRU12 pada 8 Mac 2008. Kali pertama BN kehilangan majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat, di samping lima kerajaan negeri jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, gandingan PKR, PAS dan DAP yang dibentuk pada 1 April 2008.

Sejak itu retorik 3R (race, religion dan royalty) digembar-gemburkan – Melayu, Islam dan raja, oleh Umno terutamanya. Sedikit berbeza dengan sekarang, perebutan kuasa ketika itu menyaksikan pertembungan idealisme yang agak jelas. Umno dengan nasionalisme Melayu-nya dan PAS dengan nilai Islam-nya. PKR sebagai parti berbilang kaum dan agama, cuba mengetengahkan jalur politik yang berbeza daripada kedua-duanya.

Tidak sukar untuk melaungkan “Reformasi” di atas jalan raya, namun tidak mudah untuk mengisi makna slogan ini, apatah lagi menterjemahkannya kepada dasar pentadbiran kerajaan negeri yang dikuasai PR. Ia menuntut revolusi minda, dengan benih seperti keadilan, demokrasi, keterangkuman, kebebasan dan sebagainya, disemai dalam jati diri bangsa, tanpa melunturkan identiti Melayu dan nilai Islam.

Kritik dengan nada berseloroh

Sedekad telah berlalu, namun ucapan Dr Siddiq Fadzil tetap memahat dalam ingatan. Seingat saya, arwah memetik puisi WS Rendra, berjudul Kesaktian Bapa Saija dalam pembentangannya:

Hidup tanpa daya
sebab daya ditindih ketakutan.
Setiap hari seperti mati berulang kali.
Setiap saat berharap menjadi semut
agar bisa menjadi tidak kelihatan.

Sekarang setelah mati
Baru aku menyadari
bahwa ketakutanku membantu penindasan,
dan sikap tidak berdaya menyuburkan ketidakadilan.

Puisi ini amat terkesan buat saya, kerana dibaca sambil dilapik dengan konteks yang begitu dekat dengan pengalaman harian kita. Dr Siddiq Fadzil menunjukkan kepada kita bahawa kritikan tajam boleh diajukan dalam nada berseloroh. Arwah meniru gelagat orang biasa ketika ditimpa malapetaka, atau berlakunya sesuatu di luar dugaan, biarpun tidak sebesar mana, “Matilah saya kali ini…”. “Berkali-kali mati (dalam satu hari)!” Satu dewan tergelak, sungguhpun inilah kerenah kebanyakan kita dalam kehidupan harian. Pada saya, inilah kehebatan arwah, sindiran halus untuk muhasabah diri, tanpa mencungkil ketidakselesaan orang yang disasarkan. Tiada yang melenting, terpelanting pun tidak.

Sejak itu saya berminat dengan tokoh pemikir ini. Bayangkan betapa terujanya saya apabila dimaklumkan bahawa Dr Siddiq Fadzil menerbitkan bukunya, “Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat” pada tahun 2012. Dari Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin), karya sastera dan budaya Nusantara, hinggalah kitab Islam, idea-idea progresif dipetik dan diadunkan dengan bahasa yang lembut, sehingga mengasyikkan ketika menelaah.

Maruah: Tahu malu

Saya terpesona dengan cara Dr Siddiq Fadzil mentakrifkan “maruah”. Dr Siddiq Fadzil meminjam idea daripada almarhum Profesor Syed Hussein Alatas, iaitu “sense of shame”, kerana “Sifat tahu malu itulah yang mengawal mereka daripada melakukan sebarang perbuatan yang hina, memalukan, tidak bermoral dan tidak bermaruah.”

Dr Siddiq Fadzil mengulas selanjutnya, “Pelaku rasuah adalah orang yang tidak tahu malu, tidak tahu nilai dan harga maruah. Kerana itu ia sanggup menjualnya dengan harga murah. Harga dirinya hanya senilai sebuah ‘envelope’,” sambil memetik puisi budayawan Indonesia, HM Mustofa Bisri, Di Negeri Amplop,

……
Di negeri amplop
Amplop-amplop mengamplopi
Apa saja dan siapa saja.

Bayangkan, konsep “maruah” sebegini yang menjadi tema Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober 2019, sudah tentu ia mengubah persepsi masyarakat umum. Melayu akan menampilkan dirinya sebagai bangsa yang berani berdepan dengan masalah sebenarnya, menginsafi kesilapan lalu, dan memperbaikinya dengan keberanian yang luar biasa. Jikalau inilah azam dan tekad yang ditunjukkan, tiada alasan untuk masyarakat bukan Melayu memperlekehkan bangsa ini. Sebaliknya masyarakat bukan Melayu terpaksa mengagumi semangat sedemikian, menggilap semula persepsi lama terhadap bangsa ini, dan meneladani contoh yang ditunjukkan.

Sesungguhnya babak ini amat menyedihkan jikalau diungkit semula. Barangkali kita perlu bertanya kepada diri kita, mengapa tokoh intelektual seperti Dr Siddiq Fadzil tidak diangkat selepas pertukaran kerajaan pada 9 Mei 2018? Mengapa ideanya untuk mencerahkan minda masyarakat tidak dijulang bagai obor, sebaliknya ahli akademik yang tidak akademik ditonjolkan untuk memperbodohkan masyarakat?

Paling kesal apabila masyarakat bukan Melayu-Muslim lebih mengenali nama-nama seperti Ibrahim Ali, Jamal Yunos, Kamarul Zaman Yusoff berbanding Dr Siddiq Fadzil. Ini kerana masyarakat Melayu yang digambarkan oleh media bahasa Cina kepada mereka, didominasi oleh sosok-sosok di atas. Suka atau tidak, sedar atau tidak, mahu atau tidak, mereka menjadi arus perdana masyarakat Melayu. Hujah mereka, sungguhpun tidak memperlihatkan nilai intelektual yang tinggi, tetap mujarab untuk melonjakkan angka hits dan views. Lantas ia merangsang tindak balas negatif daripada masyarakat bukan Melayu-Muslim, seolah-olah inilah suara semua Melayu-Muslim.

Susulan daripada Kongres Maruah Melayu itu, masyarakat Cina diselubungi suasana kemurungan. Ada yang terdetik hasrat untuk berhijrah ke luar negeri, dan ramai yang tidak lagi menaruh sebarang harapan terhadap tanahair ini. Kita semua hanya menjadi anak Malaysia ketika bersorak untuk pertandingan sukan antarabangsa, waktu selain itu kita Melayu, Cina, India dan “lain-lain”. Non-Muslim jika berbuat baik dicurigai memiliki agenda tersembunyi, non-Melayu jika berbuat jahat dikeluhnya “demikianlah Cina”, atau digertaknya “Mereka semakin berani”. Dilarang bersangka baik, dan agamawan tidak lagi kelihatan datang untuk mendamaikan, sebaliknya melaga-lagakan.

Pemergian arwah amat terkesan

Dalam konteks ini, pemergian Dr Siddiq Fadzil amat terkesan, dan satu kehilangan besar buat masyarakat Malaysia. Lagi memilukan apabila sosok sedemikian tidak dihargai, diletakkan pada tempat yang sewajarnya, sekurang-kurangnya setimpal dengan martabat ilmunya. Arwah berpesan agar bersangka baik kepada orang bukan Melayu-Muslim. Arwah meraikan kepelbagaian masyarakat majmuk, tanpa sedikitpun menjejaskan identitinya sebagai seorang Melayu-muslim. Bahasanya indah berbudi, tidak seperti mereka yang kononnya memperjuangkan martabat bahasa Melayu, tetapi sarat dengan ejaan yang salah dalam tulisan, malah ada yang susunan ayatnya pun lintang-pukang dan tunggang-langgang.

Selain dikeluh dan ditangisi pemergian arwah, adalah tanggungjawab kita semua untuk menyusun semula gerak kerja kita, agar kesinambungan perjuangan arwah diteruskan. Mereka yang mendukung nilai demokrasi, kebebasan, keterangkuman, integriti dan keadilan, harus bersaing dengan hujah-hujah yang sebaliknya, untuk mengolah restu masyarakat majoriti.

Di sini kita perlu bermuhasabah, mengkaji kelemahan kita ketika menyampaikan mesej, atau mencanangkan idea progresif, dari segi pendekatan, strategi dan sebagainya. Sesungguhnya, kebaikan yang tidak tersusun, akan tewas kepada kejahatan yang terancang. Kita menyaksikan sendiri bagaimana hujah populis dan diskriminasi mendongakkan kepalanya sejak kebelakangan, kerana golongan yang mahukan pendekatan sederhana, harmoni dan keterangkuman, membisukan diri. Apabila fahaman sempit, pendekatan eksklusif semakin mendominasi, kita yang bisu akan dipinggirkan seolah-olah kita minoriti.

Tiba masanya kita meminjam kalimat daripada arwah Dr Siddiq Fadzil, “Islam mengajarkan bahawa jihad paling utama adalah keberanian menyatakan kebenaran di hadapan penguasa zalim.” Kita perlu hidupkan semangat ini untuk membina Malaysia yang lebih demokrasi, adil, bebas, majmuk dan bermaruah, sebagai penghargaan kita terhadap jasa Dr Siddiq Fadzil. (tamat)

*Demokrasi dan Strategi Pembangunan Pemikiran Islam Melayu adalah tajuk yang tercetak dalam aturcara. Kertas kerja yang diedarkan pada hari itu berjudul “Pemikiran Melayu-Islam: Dari Warisan ke Wawasan”.


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.