Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Hikayat luka istana lama tak terbela

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Hamba menulis karangan ini bersempena keluarnya berita mengenai istana raja di Teluk Intan. Dilaporkan sudah ada notis pembukaan tender jualan terbuka oleh oleh Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak.

Lalu hamba pun membelek-belek kembali kitab dan buku lama mengenai istana yang tidak terbela. Antaranya tulisan Prof Abdullah Zakaria Ghazali, Haji Buyong Adil, Khoo Kay Kim, RO Winstedt, RJ Wilkinson dan lain-lain lagi.

Arakian tersebutlah dalam sejarahnya, pada zaman Raja Iskandar ibni Almarhum Sultan Idris menjadi Sultan Perak (1918 – 1938), baginda menjadikan Teluk Intan sebagai bandar diraja.

Ketika itu, Raja Abdul Aziz ibni Almarhum Raja Musa merupakan Raja Muda Perak pertama yang bersemayam di istana tersebut. Sheikh Muhamad Salleh seorang ulama dari Minangkabau yang tinggal di Teluk Mak Intan (nama lama Teluk Intan) dilantik menjadi Sheikhul Islam bagi Perak.

Raja Muda kedua ialah Raja Yusuf ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil dan yang ketiga, Raja Idris ibni Almarhum Sultan Iskandar atau dikenali sebagai Sultan Idris II.

Raja Muda seterusnya dan merupakan raja yang terakhir bersemayam di istana tersebut ialah Raja Musa ibni Almarhum Sultan Abdul Aziz. Tatkala Raja Musa bersemanyam di istana, hamba berusia sebaya dengan budak yang memberi nasihat kepada raja menghadapi serangan ikan todak di Temasik.

Istana tersebut berada di Jalan Raja Muda Musa dan Jalan Syed Abu Bakar yang pernah menjadi jalan utama dari Sungai Manik ke pekan Teluk Intan suatu ketika dahulu. Jalan Syed Abu Bakar bersambung dengan Jalan Sungai Nibong.

Nama sudah hilang

Di penghujung jalan tersebut ada jambatan besi kereta api yang melewati Sungai Bidor. Kini ia hanya dibuka untuk laluan basikal dan motosikal. Selepas dibina jambatan baru, maka jalan ke istana itu semakin hilang dalam lipatan sejarah.

Kawasan itu juga dikenali sebagai Durian Sebatang yang pernah menjadi tempat pembesar-pembesar Melayu berkumpul di rumah laksamana untuk merancang membunuh residen British pertama di Tanah Melayu, JWW Birch pada 28 Okt 1875.

Dipercayai di situlah tempatnya pedagang wanita Mandailing bernama Mak Intan tinggal.

Di kawasan itulah tempat penduduk Kampung Gajah, Kampung Air Mati, Pasir Salak, Pasir Panjang, Bandar Baru, Pulau Indera Sakti dan lain-lain bermudik ke jeti Durian Sebatang untuk ke pekan Teluk Intan. Sebahagian daripada nama tersebut sudah hilang dalam sejarah, menjadi kampung tinggal atau menjadi kebun kelapa sawit.

Jeti Durian Sebatang pun sudah tinggal sejarah. Makam Sultan Abdullah atau dikenali Marhum Durian Sebatang di Kampung Terengganu juga diselimuti sepi tanpa penghujung.

Istana yang hendak dilelong itu terletak juga bersebelahan dengan bangunan Sekolah Menengah St Anthony, Sekolah Menengah Horley Methodist dan Gereja St Anthony. Tidak jauh dari situ adalah Sekolah Menengah Convent, Sekolah Kebangsaan Sultan Idris II dan gedung penyimpanan beras Lembaga Padi Negara. Kini gedung tersebut terbiar.

Berhampiran istana tersebut ialah bekas rumah seniwati Norizan selepas bercerai dengan Sultan Perak, Sultan Yusuf. Selepas itu P Ramlee melamarnya menjadi isteri dan ketika itulah juga seniman agung itu berada di kemuncak kegemilangannya.

Rumah itu pernah menjadi tempat penggambaran drama Anjang Aki pada 1980-an. Kini rumah itupun sedang dalam proses untuk dijual.

Khabar-khabar angin istana itu mungkin akan diroboh untuk diganti bangunan lain sudah lama berhikayat dalam kalangan penduduk tempatan. Adapun percakapan pacal-pacal yang hina ini tiadalah siapa yang mahu ambil tahu. Hatta ungas-ungas pun enggan mendengar. Apatah lagi ikan-ikan di kali yang lebih senang berenang mencari makanan.

Bukan istana usang itu yang hendak dipertahankan tetapi mercu tanda institusi raja-raja Melayu dan sejarah asal-usul orang Melayu di Teluk Intan yang dikaitkan dengan kesultanan Melayu Perak.

Nama-nama seperti Batak Rabit, Durian Sebatang, Kuala Bidor, Laksamana Hitam, Mak Intan, Kampung Terengganu bukan sekadar persoalan geografi atau sejarah, tetapi maruah bangsa!

Maruah? Terasa loya. Istilah itulah yang sering diungkapkan berkali-kali setiap waktu kuasa Melayu di hujung tanduk. Setelah berkuasa, semua itu bertukar sebagai hanya bait-bait puisi, sedaloka buat halwa cuping telinga.

Kesan tapak kaki pun tiada

Maka menurut sahibul hikayat, pada suatu ketika Raja Sulaiman bertanya, siapa yang mampu memindahkan istana Sang Ratu di seberang negeri ke hadapan istana baginda.

Lalu penghulu jin datang menghadap sembah seraya berkata: "Izinkan patik lakukan tuanku".

Raja Sulaiman bertanya berapa lama penghulu jin itu mampu lakukan. Barangkali itulah suku sakat jin yang bersarang di Beting Beras Basah yang pernah membawa bahtera Raja Muzafar ke lubuk pusar sebelum dimahkotakan menjadi raja di negeri ini.

Lalu dijawab oleh penghulu jin: "Patik akan datang kepada tuanku dengan membawa singgahsana itu kepada tuanku sebelum tuanku berdiri dari tempat duduk tuanku."

Kemudian datang seorang lelaki menawarkan kepada Raja Sulaiman.

"Patik akan membawa singgahsana itu kepada tuanku sebelum mata tuanku berkedip," katanya.

Nyatalah lelaki itu seorang satria yang sangat bijaksana, tinggi ilmunya dan tajam fikirannnya.

Hingga kini hamba mencarinya di merata tempat namun tiada berjumpa. Hatta jejak tapak kaki pun tiada kesan ditinggalkan.

Jika tuan hamba bertanya pada hari ini mengapa hamba tiada beria-ia mempertahankan istana lama, atau mengapa tidak dilakukan demonstrasi atau merantai diri pada pagar istana, atau menghantar memorandum kepada majlis Raja-raja, akan hamba katakan bahawa hamba masih mencari lelaki yang bijaksana itu mengatasi kepintaran jin iblis.

Jangan tuan hamba bertanya pada hamba mengapa garuda tidak boleh terbang tinggi. Mengangkat kedua sayap pun garuda tidak mampu. Kerana sama ada istana adalah simbol raja Melayu atau tidak, hamba pun sudah keliru untuk menjawabnya.

Hamba umpama gagak di rimba.

Terimalah pantun dua kerat yang hamba karang di depan istana suatu ketika dahulu sementara menunggu permaisuri hati saya balik dari bertugas di sekolah berhampiran istana itu.

Kalau roboh istana raja
raja pun sudah tiada!


MUHAIMIN SULAM ialah penduduk Teluk Intan selama lebih lima dekad dan pengarang buku Menang dan Terbuang - Demokrasi, Deep State dan Darurat yang akan berada dalam pasaran pada Okt 2021.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.