Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Meninggalkan dunia maya

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jika betullah ingatan kami maka buku Tujuh Tahun Malam Memanjang tulisan Ahmad Boestamam merupakan buku yang menyebabkan Razak, Azlan, Abu Yusof dan kami berlumba-lumba untuk menjadi orang pertama akan ditangkap mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dalam buku itu Ahmad Boestamam menceritakan pengalamannya dari ditangkap sehingga dibebaskan dari tahanan. Kami amat teringin untuk membaca kembali buku itu namun setelah membacanya dahulu, kami tidak pernah lagi nampak ia ada dimana-mana.

Waktu itu - pada zaman yang lebih muda - kami rajin membandingkan tulisan-tulisan sesama sendiri. Tidak ada orang lain yang membaca tulisan itu selain daripada kami berempat. Dan seperti orang lain yang menulis, kami berasakan kumpulan kami berempat itu adalah kumpulan yang paling rebel yang pernah ada dalam sejarah manusia.

Dalam kumpulan itu, Azlan dan Abu merupakan pembaca tegar. Razak pula sentiasa terlalu kalut untuk duduk dan membaca manakala kami pula banyak menghabiskan masa dengan merapu.

Yang ada menghasilkan buku pula cuma Razak dan kami sendiri. Mungkin Azlan dan Abu tidak berada dalam kelompok yang betul untuk menerbitkan tulisan masing-masing. Berbanding Azlan, Abu adalah penulis yang lebih berkarekter. Menjadi impian kami untuk melihat tulisan Abu dibukukan.

Kerana berasakan banyak ketidakadilan berlaku dalam pembahagian harta negara waktu itu, maka kami meluahkan apa saja rasa tidak puas dalam tulisan. Kemudian kami bertukar-tukar tulisan berkenaan lalu kami pun saling memuji sesama sendiri.

Tiga puluh tahun setelah itu, kami semua menjadi orang tua yang mellow bersama waktu. Razak kini mengajar di UKM, Azlan pula antivax, Abu Yusof menyerahkan seluruh jiwa dan raga berkhidmat untuk agama. Kami pula masih terkontang- kanting mencari entah apa.

Kami ditanya, dalam usia yang semakin lanjut ini apa lagi yang dikejar? Pertanyaan itu sedikit sebanyak menjadi titik tolak kepada langkah kami meninggalkan dunia maya.

Cerita pengalaman mengembara

Kami juga memutuskan untuk tidak lagi menggunakan telefon bimbit sekali gus sekali tidak berjenaka serta bergurau dengan pembaca di Facebook. Akaun Facebook masih ada cuma kami tidak lagi ke sana untuk menulis apa-apa. Akaun Instagram yang kami gunakan untuk mempromosi lukisan juga telah kami tinggalkan.

Kerana itu, tiba-tiba kami didapati ada terlalu banyak masa lapang. Awalnya kami agak janggal juga.

Telah menjadi kelaziman kepada kami untuk berpagi-pagi dengan melukis. Setelah itu kami akan melihat-lihat telefon bimbit dan ia memakan semua masa yang ada.

Sekarang setelah sesi melukis pada waktu pagi, kami akan melebihkan masa untuk membaca. Hasilnya, kami habis membaca berpuluh-puluh buku dan ia amat menyenangkan.

Kamu tentu menyangka kami kini menjadi lebih cerdik dari kelmarin. Sayugia dikatakan di sini bahawa sangkaan kamu amat meleset. Kami masih tetap dungu seperti selalu.

Aantara buku yang kami baca ialah siri The Best American Travel Writing. Buku itu kami beli hampir setiap tahun namun kerana sibuk dengan dunia maya, kami lupa membacanya. Kami suka cerita-cerita mengenai pengalaman kembara.

Jika di Malaya ini kami suka mengikuti tulisan pengembaraan pelukis terkenal Rafiee Ghani. Beliau mula mengembara sejak berusia belasan tahun. Sehingga kini - dalam usia lewat 50-an - beliau masih belum mahu berhenti.

Kami tidak pasti sama ada beliau pernah menerbitkan buku mengenai pengembaraannya namun tulisan pengalaman beliau boleh dibaca jika kamu membuat carian di Internet dengan kata kunci safar Hindustani atau humsafar.

Hanya kerana tidak mahu kalah, ingin dinyatakan di sini bahawa kami mula mengembara seawal usia 14 tahun. Bersama Midi dan Rai, kami berjalan sambil menumpang kereta orang awam (hitchhike) dari Kuantan ke Singapura. Midi dan Rai tiba ke Singapura manakala kami sendiri hanya sempat bersama mereka hingga ke Kuala Lumpur.

Seingat kami, setelah beberapa kali lagi mengembara sedemikan rupa semasa remaja, Rai dan Midi tidak pernah lagi ke mana-mana. Kami pula sekarang semakin takut untuk menaiki kapal terbang untuk kemana-mana. Takut mati barangkali.

Racun bersalut madu

Rai kini tauke balak yang berjaya manakala Midi pula asyik menghabiskan semua keuntungan yang beliau dapat sewaktu menjadi kontraktor berjaya. Beliau adalah pemilik syarikat pembinaan Hamidi Tech yang terkenal sedikit masa dulu.

Semasa membaca buku-buku kembara, kami suka memilih tulisan yang tidak membuang masa menceritakan betapa mudahnya mengembara dengan murah. Amat membosankan apabila kamu sibuk bercerita mengenai wang ringgit dan mengelar diri kamu sebagai pengembara walhal kamu sebenarnya seorang pelancong bajet.

Mahu kembara makan angin melihat negara orang, mahu berenang-renang di dalam salji, tapi kedekut. Podah laa..

Kami juga habis membaca buku-buku biografi tokoh negara kita. Antaranya Mahathir Mohamad, Lat dan Musa Hitam. Di negara kita, buku biografi membosankan kerana segala apa yang diceritakan biasanya disalut dengan manisan.

Jika kita percaya apa yang ditulis dalam apa-apa biografi yang diterbitkan di negara ini - terutama ahli politik - maka kita akan percaya bahawa semua ahli politik adalah manusia suci yang tujuan hidupnya hanya satu iaitu untuk menjaga kebajikan rakyat sejak mereka dilahirkan.

Tentu sekali ini adalah racun yang disalut madu.

Kami pernah menulis mengenai cinta dan ianya bermula begini: "Alangkah indahnya rindu dan tidak bertemu..." Demikian indahnya perasaan cinta yang ada di jiwa kami namun kamu tetap menuduh kami DAP.

Baser.

Orhan Pamuk yang sentiasa memasukkan diri sendiri dalam novel-novel tulisannya menulis mengenai mengapa Kemal Bey membina sebuah muzium untuk cinta hatinya, Fusun, gadis berusia 18 tahun yang digilainya itu.

Jika kamu sukakan kisah Laila dan Majnun atau Tenggelamnya Kapal van de Vijck atau The Great Gatsby, kamu pasti akan sukakan The Museum Of Innocence.

Kami juga ulang membaca buku puisi tulisan Wikunila MS, penulis asal Terengganu yang juga pengiat teater yang aktif itu. Semasa pertama kali membaca kumpulan puisi berkenaan, kami menjadi terlalu hiba untuk menghabiskan isi kandungannya.

Puisi Wook itu yang ditulis seperti sebuah novel mini itu amat mengetarkan perasaan. Ia adalah pengalaman pertama kami membaca sebuah buku puisi yang ditulis sedemikian rupa. Kami amat mengemarinya.

Ianya seperti kamu mendengar lagu-lagu Pink Floyd dari album The Wall yang bersambung-sambung dan ianya 'dinyanyikan' dengan sedikit loghat Terengganu.

Ini dua contoh puisi yang terdapat dalam buku berkenaan:

Kerja Ayah

Pada surat beranak
kerja ayah sekup batu
kerjaya purba di Kuala Dungun
waktu bijih besi dan emmco bertakhta

Ayah di penghujung usia
ke pejabat simpanan pekerja
wang terkumpul simpanan
tujuh riyal lima kupang
sekadar cukup tambang
dan balik membeli bepang...

Rojak Ayam

Kata doktor
dalam tubuh kecil ayah
sel darah putihnya berkelahi
seminggu ayah terguling di katil besi
di rumah tinggi

Rojak ayam menu kegemaran ayah
aku beli dengan gaji pertama
hanya semulut ayah gagahi
setelah itu ayah pejam
tidak celik-celik lagi...

Mungkin kami bias kerana kami ada sudut yang lembut untuk apa-apa mengenai Terengganu, baik makanannya mahupun penduduknya. Namun siapakah yang tidak teresak apabila membaca baris-baris begitu. Sementelah pula ada antara kita yang sudah hampir dua tahun tidak pulang ke kampung.

Malah ada juga antara kita kehilangan keluarga semasa zaman kucar-kacir seperti hari ini.

Bercerita tentang kesakitan

Seorang lagi penulis asal Terengganu yang menghasilkan buku puisi baru-baru ini ialah Tengku Sabri Tengku Ibrahim. Beliau juga adalah seorang pelukis dan pengarca yang disegani.

Membaca Kumpulan Puisi Memahat Cerita dihasilkan oleh Tengku Sabri pada kami seperti sedang menikmati mantera-mentera zaman kuno. Kami diperkenalkan kepada Paduka Moyang, Nenek Mula dan Guru Asal. Kami jangka semua watak itu hanyalah rekaan namun beliau menulis sedemikian rupa sehingga kita menyangka semua watak tersebut adalah manusia sebenar yang kamu kenal rapat.

Kami juga dibuai simpati apabila Tengku Sabri menceritakan betapa beliau mengalami kemurungan setelah dilanda angin ahmar pada 2014. Beliau terjatuh d itengah-tengah dewan kuliah semasa mengajar di sebuah universiti.

Perasaan tidak dapat mengawal diri sendiri kesan angin ahmar itulah yang membuatkan beliau berasa marah. Marah itu pula digunakannya untuk bangkit. Kini perlahan-lahan Sabri kembali menghasilkan karya.

Beliau baru sahaja mengadakan pameran solo arca bersama galeri Fergana milik ahli korporat pencen Jaafar Ismail.

Mengenai kesakitan yang dialami, beliau menulis:

Di Studio

Matahari lambat masuk pagi ini
bongkah meranti lena kedinginan
pahat diulik karat dan debu
lakaran senyap tanpa pamit. Pergi

... ...

Aku gubah sebuah arca
dari sepi kata-kata
di ruang kosong di atas meja kerjaku.

Oh Tuhan,
bilakah tanganku akan boleh bergerak
pulang-puling seperti sediakala?
Oh, ampunilah aku!

Mengikut kata sesetengah orang, dunia buku kita sedang melalui zaman gelap. Jumlah pembaca menurut mereka tidak seramai dulu akibat penjajahan alat peranti dan internet. Namun kami berpendapat buku masih mempunyai peminat.

Jika betul cara menceritakannya buku boleh berdiri megah di tengah-tengah galaknya dunia maya hari ini.

Lihat bagaimana Garasi TV berjaya saban minggu mempromosi dan menjual buku. Dalam satu segmen mereka berjaya menjual buku karya Sani Sudin bernilai lebih RM20,000 dalam masa kurang dari satu jam.

Buku juga tidak harus hanya dijadikan modal untuk mendapatkan keuntungan seperti yang dilakukan oleh N Faizal Ghazali si pemberita Malaysiakini yang bernafsu kuat melaporkan berita-berita jenayah seksual.

Atau seperti pembaca tegar berita-berita yang ditulis N Faizal iaitu Mohd Dahri Zakaria, si budak Terengganu yang setianya kekal kepada Kelantan itu.

Juga adalah tidak bermoral apabila buku dijadikan modal berbangga-bangga seperti yang menjadi tabiat kepada saudara Iqbal, posmen paling selekeh di Ipoh sana bersama Syed Omar, jurutera pencen yang masih melekat tidak bergerak pada zaman rock kapak itu.

Kami sangat mencadangkan buku sebagai sumber hiburan utama kepada semua orang kerana dengan membaca buku, kita mungkin akan terhalang daripada mendapat berita yang tidak berfaedah seperti betapa usahawan kosmetik bakal menikahi lelaki muda, atau bagaimana menteri yang dahulunya berserban dan berjubah kini gemar mengenakan seluar ketat dan semberono memandu di jalan raya.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan peminat sajak-sajak cinta.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.