Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Riwayat hilirnya Sungai Perak

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KOLUM | Sungai Perak merupakan antara sungai yang panjang di Semenanjung Malaysia. Muara Sungai Perak bukan saja menjadi pintu masuk ke negeri Perak bahkan menjadi laluan buat pelbagai barang dagangan serta peniaga.

Tidak ketinggalan, laluan masuk gerakan dan elemen luar. Beratus-ratus pangkalan yang ada di sepanjang Sungai Perak menjadi penghubungnya.

Segala kota dan kubu dibina di beberapa tempat di pesisir sungai berkenaan. Antaranya berkembang menjadi bandar Teluk Intan yang ada pada hari ini. Pada masa sama banyak juga kota yang menjadi pusat pentadbiran yang 'tenggelam' seperti Bandar Baru, Kota Lumut, Pulau Indera Sakti dan sebagainya.

Uri saya ditanam di tanah daerah tersebut. Darah ibu saya menitis kerana melahirkan saya di tanah ini. Saya lazimnya memperkenalkan diri sebagai anak kelahiran muara besar itu.

Muara ini adalah pertemuan air masin Selat Melaka dengan air tawar Sungai Perak yang berpunca dari Banjaran Titiwangsa. Jalur keturunan saya berlayar mengharung ombak laut dengan perahu dari tanah seberang.

Bukan berpindah, tetapi merantau. Bukan pendatang, tetapi bangsa perantau mencari bangsa serumpun untuk hidup bermasyarakat. Sejak ribuan tahun, muara Sungai Peraklah gerbang kebesaran tanah bonda pertiwi.

Ia juga menjadi saksi mentari tenggelam ke perut laut dan bulan bercahaya di langit. Pohon nipah dan nibung menggigit kuat bibir tebing berlumpur. Pohon bakau memacak batang kerasnya ke tanah berlumpur, menyolok akar tunjang yang besar dan berkayu, pucuk yang tertutup daun penumpu yang meruncing, menghijau serta buah yang berkecambah serta berakar ketika masih di pohon.

Selut berlumpur hitam itu berbau sedikit masam. Pohon nyiur sayup-sayup dari kejauhan melambai pelaut, pedagang dan nelayan. Belangkas, ketam dan ikan belacak mencari laluan rezeki masing-masing. Sekawan monyet bergayutan antara pohon yang berdiri tegak dalam rimbunan pokok api-api. Suara dari pelbagai jenis burung yang hidup bebas kedengaran meriah. Burung cak, murai dan belatuk saling berkicauan bercerita tentang hadirnya seorang putera raja dari tanah seberang yang ditabalkan menjadi sultan dan pengasas kerajaan Melayu Perak.

Daripada jurai keturunan Kesultanan Melaka, Raja Muzafar Shah menjadi Sultan Perak yang pertama pada 1528. Sultan sekarang Sultan Nazrin Shah ialah sultan ke-35. Baginda menjadi Raja Muda Perak pada 1984.

Baginda memilih untuk tidak bersemayam di Istana Raja Muda di Teluk Intan. Sejak itu, istana Raja Muda tiada berpenghuni.

Pernah ada laksamana

Dalam mukadimah tulisan William R Roff, dia menghuraikan tabiat orang Melayu yang mendiami lembah-lembah sungai di beberapa negeri di Tanah Melayu. Orang Melayu menjalani ekonomi secukup hidup di bawah penguasaan pemerintah yang mempunyai hubungan dengan pendatang dan kemudian dengan kuasa barat khususnya Inggeris.

Kesederhanaan hidup masyarakat Melayu biasa dan kemakmuran golongan atasan terbentuk secara politiknya oleh kepercayaan bahawa golongan raja mempunyai kuasa daulat yang perlu dituruti.

Berbeza dengan Melayu perantau dan pedagang yang mahu hidupnya bukan sekadar menghabiskan usia dan masa yang ada. Melayu perantau dan pedagang mempertaruhkan tulang empat kerat dalam membina kehidupan baru.

Akhirnya perubahan zaman mengubah pemikiran Melayu di pesisir tepi Sungai Perak. Mereka sedikit demi sedikit berhijrah ke kota dan pinggir pekan untuk mengubah kehidupan. Meninggalkan pesisir Sungai Perak.

Pada zaman sungai menjadi laluan utama, muara Kuala Bidor khususnya dijadikan tempat pembesar mengutip cukai barang perdagangan yang keluar masuk.

Muara Kuala Bidor sekarang berada berdekatan dengan Kampung Terengganu, Kampung Durian Sebatang, Sungai Nibong dan Kampung Beca. Bekas tapak istana Raja Muda Perak terletak di sekitar kawasan itu juga.

Para pembesar dilantik oleh Sultan Perak dengan bidang-bidang kuasa tertentu bagi mentadbir negeri. Selain Raja Muda Perak, di Teluk Intan dulu juga ada laksamana sebagai pembesar yang berkuasa.

Beberapa petempatan perdagangan wujud di sepanjang Sungai Perak. Antaranya ialah Batak Rabit, Durian Sebatang yang akhirnya berkembang menjadi sebuah pekan yang dikenali Teluk Mak Intan. Nama Teluk Mak Intan ditukar pada 1988 dengan nama Teluk Anson dan 100 tahun kemudian ditukar menjadi Teluk Intan.

Dahulu, Teluk Anson adalah sebuah pelabuhan penting yang dihubungkan dengan jalan kereta api dari Tapah. Oleh itu, Teluk Anson mempunyai sistem pengangkutan yang baik dan memudahkan mobiliti masyarakat.

Semua itu menyumbangkan beberapa faktor penting kepada pembentukan gerakan siasah di sepanjang Sungai Perak khususnya di daerah Hilir Perak.

Di sebelah persisir Sungai Perak, mereka ada pengangkutan jalan air. Di sebelah lagi, mereka dihubungkan dengan kemudahan jalan kereta api yang menghubungkan Teluk Intan - Tapah Road - Kuala Lumpur - Port Kelang.

Kerajaan Inggeris juga membina jalinan jalan raya dan saliran bagi memajukan sektor ekonomi seperti pertanian padi dan tanaman getah.

Sebagai penjajah, mereka mempunya misi tertentu di sebalik pembangunan namun dalam masa yang sama, penduduk tempatan juga mendapat manfaat juga. Masyarakat dididik oleh Inggeris agar berdikari dan bebas daripada khurafat dan metos ciptaan pembesar.

Pada masa sama, Inggeris menanamkan nilai-nilai barat ke dalam benak anak tempatan melalui sistem pendidikan, ekonomi dan politik.

Pesisir Sungai Perak menjadi saksi perubahan demi perubahan yang berlaku. Tiada siapapun ingin bertanya kepada Sungai Perak yang mengalir lesu.


MUHAIMIN SULAM ialah penyelidik, penyair dan pengarang buku 'Menang Dan Terbuang – Demokrasi, Deep State dan Darurat’ yang akan berada dalam pasaran pada Oktober 2021. Dia juga penasihat Sekretariat Pemuliharaan Khazanah Teluk Intan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.