Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Buat pembenci politik

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KOLUM | Ada pepatah Inggeris menyebut, don't judge a book by its cover. Pepatah itu tidak boleh digunakan dalam kebanyakan keadaan terutama dalam memasarkan suatu barangan khususnya buku.

Sememangnya dari segi falsafah sebuah buku, kekuatan atau kelebihan sesebuah naskhah itu terletak kepada isi kandungannya berbanding perkara-perkara lain.

Artikel ini adalah perkongsian pengalaman antara penerbit dengan saya sebagai penulis dalam merangka penerbitan buku.

Setelah manuskrip siap ia dihantar kepada penerbit untuk proses semakan pruf dan dinilai semula dengan beberapa cadangan baru bagi meningkatkan kualiti buku. Ia termasuk memperbaiki atau memperbetulkan fakta serta cadangan-cadangan baru kepada penulis.

Antara isu tabu dalam masyarakat kita ialah mengenai politik. Mereka benci, muak dan getik, tetapi pada masa yang sama menerima kesan langsung daripada angkara politik. Oleh itu, saya berhasrat menulis tentang politik di luar kerangka kebiasaan.

Bukan bermaksud untuk menanam minat kepada politik. Ia adalah analisis politik dan upaya pemahaman kepada pembaca mengenai bagaimana kehidupan sebagai manusia bermasyarakat dan bernegara.

Ramuan menarik minat pembaca

Harapan saya adalah pembaca buku ini tidak lagi membenci politik dan ahli politik. Malah lebih daripada itu ia akan menjadi seorang warganegara yang lebih bertanggungjawab.

Soal sokong mana-mana parti, itu perkara lain. Dan yang lagi penting, negara kita tidak dirosakkan oleh setan bertopeng manusia atau manusia berwajah malaikat.

Proses ini berlaku berulang kali sehinggalah semua pihak berpuas hati dari segi fakta, pengolahan dan sebagainya. Kemudian barulah dihantar untuk proses susun atur dalaman dan luaran. Pemilihan jenis dan saiz huruf, warna, pernomboran dan pembahagian bab.

Salah satu langkah yang penting diambil ialah pemilihan konsep kulit buku dan pemilihan tajuk.

Ia dianggap penting kerana tajuk yang menarik akan menimbulkan keinginan kepada orang ramai untuk memberi perhatian terhadap buku tersebut. Ia juga merangsang orang awam ingin mengetahui kandungan tentang buku tersebut.

Tajuk yang ada nilai kontroversi boleh menarik minat orang tetapi pada masa yang sama mungkin menarik perhatian pihak Kementerian Dalam Negeri yang menjaga penapisan penerbitan.

Ada buku yang diharamkan kerana pemilihan tajuk yang kurang sesuai seperti buku tulisan Wan Ji Wan Hussin yang bertajuk Ulama Yang Bukan Pewaris Nabi. Buku itu terbitan Ilham Books.

Tajuk buku boleh saja berubah-ubah. Kadang-kadang diubah oleh penerbit, editor atau atas pemintaan penulis sendiri. Biasanya beberapa kali tajuk buku berubah. Untuk buku Menang dan Terbuang, pemilihan tajuk itu dibuat pada saat-saat akhir selepas kerja-kerja penyuntingan oleh editor selesai.

Apabila sesuatu tajuk diubah, perlu ada pembaikan dalam manuskrip. Ini bagi memastikan ada penyelarasan antara tajuk buku denga isi kandungan. Proses ini memerlukan kesabaran dan tumpuan tinggi bagi memastikan tidak ada bahagian yang tertinggal.

Saya dari awal meletakkan tajuk buku ini sebagai Menunggu Revolusi Kedua. Pemilihan itu mungkin pengaruh daripada buku Ahmad Lutfi Othman yang bertajuk, Revolusi Tanpa Darah. Ia diterbitkan sejurus Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14.

Empat cadangan tajuk

Ahmad Lutfi Othman bertindak sebagai editor dan penulis, selain mengandungi rencana beberapa penulis lain tentang perkembangan politik semasa.

Pemilihan Menunggu Revolusi Kedua adalah berasaskan sejarah politik yang mendapati bahawa sesuatu perubahan besar akan disusuli satu lagi perubahan besar yang lain. Salah satu tajuk bab dalam buku Menang dan Terbuang itu ada yang mengunakan tajuk Menunggu Revolusi Kedua.

Bagaimanapun penerbit dan editor berasakan tajuk itu tidak cukup kuat menjadi magnet kepada orang ramai.

Menurut editor, tajuk Menunggu Revolusi Kedua tidak relevan dalam situasi politik tanah air dan istilah itu terlalu asing dalam kamus pemikiran orang Melayu khususnya.

Editor mencadangkan empat tajuk iaitu, Pena Melawan, Menang dan Terbuang, Dongeng Merdeka dan Kerajaan Bawah Tanah. Keempat-empat tajuk cadangan itu merupakan tajuk-tajuk bab dalam buku tersebut.

Akhirnya kami bersepakat untuk memilih tajuk Menang dan Terbuang tetapi ia masih terawang-awang. Oleh kerana proses penulisan buku ini memakan masa dua tahun, banyak perkara yang dikaji dan dijadikan sebagai satu analisis awal tentang sifat politik Malaysia.

Ketika buku ini di peringkat akhir menjelang masuk ke kilang untuk menunggu giliran dicetak, darurat sudah berakhir.

Saya sempat menulis tentang darurat dan mengaitkannya dengan beberapa persoalan lain tentang sifat politik yang liar dalam keadaan tertekan. Oleh itu, di samping tajuk Menang dan Terbuang menjadi tajuk utama, kami memilih tiga tajuk kecil iaitu "Demokrasi, darurat dan deep state" sebagai pelengkap kepada tajuk utama.

Deep state dari segi istilah bermaksud ‘daulah terpendam’ atau ‘negara bawah tanah’ namun penggunaannya agak janggal. Lalu kami kekalkan penggunaan istilah dalam bahasa Inggeris. Maafkan saya DBP.

Menang dan Terbuang bukan buku yang sekadar berlegar dalam kandang parti politik tetapi melangkaui persoalan psikologi serta antropolopi politik Malaysia. Buku ini bukan berfokus mengenai ahli politik sahaja, tetapi bagaimana peranan rakyat menghidupkan atau memandulkan roh demokrasi negara.

Namun yang lebih utama ialah bagaimana politik berperanan menggerakkan kerajaan ke arah yang diimpikan oleh pelbagai pihak. Pertembungan pelbagai kelompok berkepentingan yang tidak menggunakan bendera parti politik jarang dikupas dan dibahaskan.

Buku ini menghuraikan sudut-sudut yang sering diabaikan oleh kebanyakan rakyat Malaysia.

Simbol demokrasi dan darurat

Menang dan Terbuang menawarkan dimensi lebih luas bagi memahami situasi kemenangan. Bagaimana kemenangan berpotensi mengubah corak dan pendekatan politik individu dan juga berkumpulan.

Awalnya penerbit mencadangkan hitam sebagai warna utama untuk kulit buku. Dua buku saya sebelum ini, Pembunuhan di Tanah Perkebunan dan Akar Bangsa berwarna hitam dan kelam.

Biarlah kali ini buku ketiga saya dengan Ilham Books berwarna cerah, garang atau ceria. Untuk itu ada tiga pilihan warna: merah, oren dan kuning.

Bangunan parlimen dipilih bagi menjadi gambar buku ini sebagai menggambarkan keseluruhan kandungan buku yang membicarakan persoalan institusi penting negara iaitu parlimen.

Ia juga simbol kepada demokrasi sekali gus darurat. Duit syiling pula menggambarkan faktor kewangan yang begitu dominan dalam menentukan jatuh bangunnya parlimen sebagai insitusi penting dalam negara demokrasi.

Duit syiling itu juga boleh ditafsirkan dari pelbagai sudut pandangan. Mungkin ada yang mengatakan betapa murahnya harga sesetengah ahli parlimen dan demokrasi di negara ini.

Terserahlah kepada pembaca untuk menilainya sendiri.

Suatu ketika dahulu, banyak penerbit indie menerbitkan buku dengan kaedah pemasaran yang sangat progresif. Antaranya ialah Dubook, Thukul Chetak, Fixi dan sebagainya.

Jika di pesta buku, gerai-gerai mereka menjadi tumpuan pengunjung khususnya anak muda. Konsep penerbitan mereka segar, radikal dan mudah. Bahkan beberapa penulis terkenal sanggup menerbitkan karya mereka di bawah penerbitan indie seperti Azhar Ibrahim, Faisal Tehrani, Muhamad Khalid dan banyak lagi.

Antara kekuatan mereka ialah persembahan buku yang menarik terutama dari segi pemilihan kulit luar. Sayangnya era buku indie tidak lama dan ia mengalami garis kemuraman apabila satu demi satu penerbit bungkus atau mengundur diri dalam ekonomi perdagangan bebas.

Penerbitan buku adalah salah satu indikator kepada kemajuan bangsa dan negara.


MUHAIMIN SULAM ialah penyelidik, penyair dan pengarang buku Menang dan Terbuang - Demokrasi, Deep State dan Darurat yang sudah berada dalam pasaran.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.