Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | 'Beriman' dengan benda pelik

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Antara cerita yang sering diulang-ulang oleh Acai ialah bagaimana pada suatu hari, ketika beliau memotong sebiji tomato maka terlihatlah akan biji-biji tomato berkenaan berbentuk seperti kalimah Allah.

Hanya kerana mahu agama kelihatan hebat maka ada antara kita sibuk memburu peristiwa-peristiwa yang pada pendapat mereka adalah pelik.

Kejadian paling popular ialah bilamana sebuah masjid tidak terjejas oleh tsunami di Aceh lama dulu. Kejadian itu dilihat sebagai suatu karamah. 

Kami percaya bahawa hari ini ada orang Islam yang mempunyai keyakinan bahawa bersembahyang di masjid berkenaan akan membuahkan pahala yang lebih banyak berbanding di masjid-masjid lain.

Masjid berkenaan kini menjadi tarikan besar pelancong. Berbondong-bondong orang pergi berziarah ke sana. Beruntunglah para peniaga pelancongan kerananya.

Nanti apabila balik daripada menziarahi masjid luar biasa itu, mereka tetap masih malas untuk ke masjid waima yang bersambung atapnya dengan rumah mereka sendiri. Berpuas hati dengan banyaknya pahala bersembahyang di masjid tersebut gamaknya.

Terbaru tentu saja pasal cerita al-Quran yang tidak basah ketika banjir besar melanda negara kita ini.

Menantikan cerita-cerita awan berbentuk kalimah, salji turun di negeri Arab dan sebagainya bagi menguatkan iman samalah seperti perangai mana-mana kaum di zaman dahulukala apabila para nabi dihantar kepada mereka.

Dalam agama lain pun ada

Yang paling utama kepada semua kaum ini ialah bahawa nabi-nabi berkenaan perlu memperlihatkan sesuatu yang luar biasa untuk membuktikan kenabian masing-masing.

Setelah dibuktikan kenabian itu, maka ada sebilangan daripada kaum terbabit menerima, manakala yang lain kekal dalam kegelapan. Lihat ahli sihir yang akur dan menjadi pengikut agama yang benar, dan pada masa sama ada pula yang terus-terusan ingkar. Firaun, misalnya.

Apakah jika al-Quran itu basah ketika banjir maka ianya tidak hebat? Atau jika awan yang dibina tidak bertiang itu tidak menampakan apa-apa kalimah maka ianya bukan bukti nyata kekuasaan Tuhan?

Jika kita mahu tahu, dalam agama-agama lain juga mendakwa perkara yang sama. Ada gereja yang tidak runtuh dilanda gempa dan terdapat patung-patung yang mengalirkan air mata.

Semua pengikut agama tersebut juga akan mendakwa bahawa ia adalah bukti benarnya pegangan mereka.

Maka kembalilah semua manusia ke zaman jahiliah apabila semua orang sibuk memerlukan mukjizat, keramat atau perkara-perkara luar biasa untuk membuatkan mereka percaya kepada kebenaran.

Maka tidak hairanlah segala jenis perniagaan yang bercirikan pembomohan semakin mengambil tempat dalam masyarakat.

Ustaz-ustaz tidak lagi cukup dengan mengajar agama, memberi petunjuk dan berbuat taat kerana terpaksa pula menjadi dukun bagi memenuhi permintaan daripada waris kaum Ad, Samud dan juga Arab Quraish jahiliah itu.

Setelah mengajar di masjid dan surau, bergegas pula mereka ke rumah-rumah orang yang katanya diganggu syaitan, jin dan juga alien mata tiga yang duduk bergantung pada bulu ketiak yang sudah tiga bulan tidak dicabut itu.

Jalan sudah ditunjukkan

Ustaz pun satu hal. Melayan bukan main akan hal-hal hantu yang tidak berfaedah itu. Banyakkanlah masa membaca al-Quran aduhai ustaz. Tak payah sibuk mengepit ibu jari anak dara orang. Kamu pun jika dikepit sedemikian rupa akan menjerit histeria.

Adalah lebih baik jika ustaz dukun itu menumpukan perhatian kepada menghadiri majlis-majlis pernikahan selebriti tanah air.

Kami mempunyai dendam besar untuk mengepit anak-anak jari ustaz yang galak menjadi dukun itu.

Agama Islam tidak memerlukan pelekat kereta, khat pintu Kaabah digantung di rumah, doa di Facebook atau mengigau kononnya bertemu terus dengan nabi di Mekah untuk kelihatan hebat.

Dalam al-Quran telah dinyatakan bahawa telah sempurna agama ini dan redalah Tuhan akannya. Baginda nabi pula telah menunjukan jalan bagaimana beramal dengan agama ini.

Kerana sibuk percaya dengan perkara-perkara ghaib inilah maka siapa saja yang berjual makanan misalnya akan dengan mudah mendakwa bahawa perniagaan mereka tidak laris kerana disihir oleh sang pendengki.

Mereka tidak mengambil kira faktor masakan tidak sedap, mahal tidak pada tempatnya ataupun peniaga terbabit menganggap pelanggan mereka adalah hamba tahanan yang tidak memerlukan sebarang belaian.

Setiap hari hidup kita dihiasi oleh cerita-cerita mistik yang sepatutnya hanya kita tinggalkan dilayar perak sebagai hiburan. Tetapi kerana gemarkan kisah dongeng segi tiga Bermuda misalnya, habis mereka ini ditipu oleh Harun Yahya.

Kepercayaan jadi taruhan

Lihat bagaimana para evangelist yang mendakwa keramat 'menyembuhkan' si buta, penghidap sopak, orang pekak, bisu, pesakit kanser dan cagu menjadi kaya-raya kerana mendakwa mempunyai kuasa luar biasa.

Kita menidakkan mereka tetapi dalam masa yang sama kita sibuk tercari-cari cerita-cerita magis dalam agama kita sendiri.

Mengapa beriman jika masih ragu?

Jika benar dukun-dukun ini mampu memulihkan, maka sayugia hendaknya mereka berkampung di mana-mana wad pesakit mental. Di sana ramai pesakit menanti untuk dirawat.

Keluarga mereka juga rindu untuk melihat si pesakit kembali ke dalam pangkuan masyarakat.

Berhentilah percaya kepada hal-hal yang karut-marut ini. Taatlah dalam mengerjakan suruhan agama. Kamu percaya bahawa dunia ini sudah terlalu tua maka mengapa disibukkan dengan hal-hal yang tidak mendatangkan manfaat itu?

Setelah beberapa rakan memberi komen akan saktinya tomato yang dipotong itu, Acai segera memasukan buah berkenaan ke dalam mulut dan memamahnya.

Terlopong orang di sekeliling beliau.

"Saya tak mboh diorang jadi sesat bang," kata Acai kepada kami mengakhiri cerita.

Acai memang mempunyai hati yang mulia dan pada masa yang sama beliau juga amat percaya akan kekeramatan dirinya. Beliau berasakan bahawa dapat meneka masa depan dengan tepat.

Ini beliau gelar sebagai ilmu laduni. Satu anugerah kepada insan yang terpilih, kata mereka yang malas mengaji tetapi mahu menjadi sakti.

Kerana yakin dengan diri sendiri, Acai telah memperjudikan dirinya dan menjadikan kepercayaan kawan, rakan dan sahabat sebagai taruhan.

Kamu yang membaca tulisan ini agaknya akan bertanya siapa Acai, namun percayalah bahawa mereka yang mengenali beliau pula akan bertanya: di manakah Acai?


ABDULLAHJONES ialah penulis, pelukis, pengembara dan peneliti sosial.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.