KOLUM | Bukit yang tenggelam
KOLUM | Banjir penghujung tahun lalu bukan sahaja mengenggelamkan lembah atau tanah rendah, tetapi bukit dan tanah tinggi juga habis diredah air. Khabarnya banjir sebesar itu hanya berlaku 100 tahun sekali. Entah betul, entah tidak.
Nama Bukit Lanchong memang tidak segah Bukit Damansara, Bukit Kiara atau Bukit Perdana. Apatah lagi apabila ia menjadi Damansara Height, Kiara Height atau nama-nama Inggeris lain.
Kegilaan menggunakan istilah atau nama Inggeris ini samalah seperti menenggelamkan sejarah tempat-tempat yang bersejarah. Samalah juga seperti nasib bahasa Melayu yang ditenggelami dengan keangkuhan pihak yang percaya bahasa Inggeris adalah lambang kemajuan dan kebanggaan.
Banjir besar pada Dis lalu menemukan saya dengan sebuah bukit yang tenggelam – Bukit Lanchong.
Menurut rakan lama saya, Hamdan Taha, yang tinggal di situ, Bukit Lanchong asalnya diteroka oleh orang Jawa dari Jalan Kebun, Kelang untuk dijadikan kebun mereka pada 1950-an. Perkataan ‘lanchong’ itu bermakna bersiar-siar.
Barangkali peneroka awal menjadikan kawasan itu yang berbukit itu sebagai tanah kebun yang boleh juga dijadikan tempat melancong.
Ketua Amanah Cawangan Bukit Lanchong, Md Jaya bin Afandi, pula berkata tempat itu mulai diduduki pada tahun 1967. Kemudian sedikit demi sedikit pembangunan kawasan sekitarnya mengepong kawasan berbukit itu menjadi petempatan ramai orang.
Kena ada di semua tempat, semua masa
Terdapat kira-kira 2,000 hingga 3,000 rumah di situ dan didiami lebih kurang 6,000 hingga 7,000 orang. Pusat pemindahan sementara (PPS) terletak di Sek Keb Putra Height, Sek Men Alam Mega 3 dan Masjid Baitul Rahman.
Turut menjadi PPS ialah Surau al-Mutawakkil Billah di Seksyen 9 Putra Height dan banyak lagi tempat lain.
Bukit Lanchong terletak di antara kawasan membangun seperti Subang Jaya, Putra Height, Alam Megah, Kota Kemuning dan Saujana Height. Dari segi daerah politik, Bukit Lanchong terletak di bawah parlimen Kota Raja. Dari segi pentadbiran, ia di bawah kuasa Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).
Ahli majlis yang dilantik atas kapasiti politik mempunyai peranan besar untuk mewujudkan peraturan dan polisi yang boleh memastikan kehidupan penduduk selamat, memiliki kemudahan asas dan sebagainya. Banjir besar tahun lalu memaksa ahli politik menjadi ‘Superman’ yang perlu ada di mana-mana dan pada bila-bila masa.
Moto MBSJ ialah untuk mewujudkan sebuah bandar smart vibrant yang mempunyai keunikan tersendiri dengan memberikan sepenuhnya ruang dan peluang kepada warganya terlibat dalam merancang dan membangunkan urbanisasi fizikal, ekonomi, sosial dan alam sekitar dengan memanfaatkan sepenuhnya penggunaan teknologi dan komunikasi moden untuk memenuhi keperluan dan gaya hidup semasa dan masa hadapan.
Istilah smart vibrant bermaksud sebuah bandar raya yang hidup, bersemangat, bertenaga, mesra, hijau dan pintar.
Apabila banjir melanda, semua istilah tersebut ditenggelami kesukaran, rasa cemas dan tidak selamat penduduk. Ketika itu mereka tidak perlukan kata-kata yang sedap didengar.
Ini bukan soal menuding jari kepada sesiapa. Ini adalah persoalan kita semua dalam menangani tuntutan pembangunan dan kemajuan negara serta mengimbangi keperluan kesejahteraan dan keselamatan warga setempat.
Garis sempadan pentabdiran dan politik diwujudkan adalah bagi memastikan penyelarasan dan pembangunan yang lebih teratur serta fokus kepada keperluan tempatan. Namun kadangkala sempadan itu bahkah memecah-belahkan kemanusiaan.
Bau menyambut kedatangan
Justeru ada yang sehingga terlalu terikat dengan segala peraturan dan kerenah birokrasi. Ia semakin sukar apabila pihak yang memegang kuasa terlalu lurus mengikut buku. Itu baru isu yang dilihat dari sudut kuasa kerajaan tempatan.
Belum lagi melihat penyelasaran operasi antara agensi kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan serta NGO. Dalam keadaan kritikal, hanya arahan tepat dan tegas diperlukan. Di sesetengah tempat, misi menyelamat hanya sampai ke tempat mereka pada hari kedua (Ahad) atau ketiga (Isnin).
Semasa detik-detik kritikal, mangsa banjir terpaksa bertarung antara hidup dan mati. Air yang selama ini sifatnya manja dan menyeronokkan, bertukar menjadi ganas dan menakutkan pada malam tersebut.
Dengan kawasan yang terkesan oleh banjir sangat luas, usaha menyelamat mangsa menghadapi detik begitu kritikal. Banyak pengalaman yang mendebarkan dapat kami dengar daripada luahan penduduk Bukit Lanchong.
Kami ke Shah Alam, Kota Raja, Puchong dan Sepang seminggu selepas surut. Ketika itu keadaan Taman Sri Muda, Padang Jawa, Kebun Bunga, Kampung Tengah, Bukit Lanchong dan di kawasan-kawasan lain. Ia kelihatan seperti sebuah lembah yang berkumpul lumpur di dalamnya dan kemudian kering berdebu.
Timbunan sampah-sarap di tepi jalan, daun-daun pokok yang layu dan bau yang kurang menyenangkan meraikan kami.
Jiwa kemanusiaan yang tidak mengenal erti sempadan politik dan pentadbiran kadang-kadang dikalahkan oleh pertarungan atau persaingan. Namun banjir besar yang berlaku ternyata mengukuhkan kembali kemanusiaan.
Ia segar dan merata dengan mengetepikan segala sempadan terutama penduduk yang terbabit dan juga rakyat keseluruhannya.
Mereka bertungkus-lumus membantu memindahkan mangsa banjir ke kawasan yang selamat. Banjir awalnya dikesan pada petang Sabtu. Ketika itu, beberapa jalan utama di Shah Alam banyak ditutup dan banyak kenderaan terperangkap.
Tak berhenti berdoa
Menjelang Maghrib, banyak sudah kawasan ditenggelami air dan masing-masing mencari jalan untuk ke tempat yang lebih selamat.
Malam yang gelap memang menyukarkan pergerakan. Memang sukar untuk digambarkan detik-detik yang mencemaskan itu. Ini bukan filem yang ada muzik latar yang menggetarkan perasaan. Bunyi air mengalir, suara manusia cemas dan pasrah berbaur dengan pelbagai emosi.
Dalam situasi kritikal itu tentulah rasa kecewa berbaur marah timbul. Ia termasuk kemarahan tentang lambatnya bantuan tiba, kurangnya persediaan pihak berkuasa, kerjasama yang gagal dan bermacam-macam persoalan kemanusiaan wujud ketika itu.
Pun begitu perlu diakui masih ada yang berasa syukur, terharu dan gembira atas pengorbanan dan usaha menyelamatkan sesama anggota masyarakat yang terlibat.
Dalam misi menghantar bantuan, antaranya kami menziarahi rumah Md Jaya Afandi. Ketika di situ, dia sedang melayani penduduk tempatan yang datang untuk mendapatkan bekalan makanan.
Rumahnya terselamat daripada ditenggelami banjir. Bekalan makanan disediakan olehnya atas inisiatif sendiri sebagai tanda syukur rumahnya selamat. Orang lain menanggung kerugian yang tidak terjangka. Dia rela membelanjakan bagi meringankan beban jiran tetangganya.
Malam minggu itu, rumahnya ditumpangi oleh jiran-jiran sebelum mereka dipindahkan ke PPS yang terdapat di situ. Md Jaya sudah tinggal di situ sejak 20 tahun lalu. Katanya tidak pernah berlaku bah seteruk itu.
Ketika itu, air sudah hampir menenggelamkan bumbung rumah jirannya yang terletak di bahagian hadapan rumahnya. Air sudah bergenang-genang di muka pintu pagar rumah Md Jaya. Seorang wanita yang sudah berumur duduk di kerusi tidak berhenti-henti tangannya menadah doa sejak awal lagi.
Dan syukurlah, air itu terhenti setakat pintu pagarnya.
Semua orang berdoa dan mengharapkan diberikan keselamatan. Entah doa siapa yang dimakbulkan Tuhan. Hanya pemilik alam ini yang Maha Mengetahui.
MUHAIMIN SULAM ialah penasihat Nusantara Malaysia. Maklumat lanjut mengenai misi bantuan mangsa banjir boleh dilihat pada pautan ini.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai