Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Anak muda - api, banjir, Undi18 dan politik

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Saya tak perlu bercakap tentang orang muda hanya untuk 'nampak muda' atau menarik minat anak muda kepada saya. Atau saya tidak wajib bercakap tentang orang muda hanya kerana umur saya masih muda.

Zaman telah berubah. Daripada satu sudut, saya lihat perubahan ini seakan kembali ke zaman sebelumnya. Zaman Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Kesatuan Melayu Muda (KMM).

Sebab hari ini, peranan dan suara anak muda sudah menjadi arus perdana. Anak muda sudah tak mahu lagi bercakap tentang ‘padang futsal’ semata-mata. Orang muda juga sudah tidak lagi setakat merengek tentang ‘permit untuk main gigs’.

Sebaliknya, anak muda zaman ini sudah mula bercakap tentang isu dan agenda yang lebih merakyat seperti isu ekonomi, pendidikan, kos sara hidup, demokrasi, reformasi institusi dan juga isu-isu rasuah serta integriti.

Melihat senario ini, jelas sekali anak muda sudah kembali membawa obor suara rakyat sepertimana zaman API dan KMM. Mereka bukan hanya mewakili suara anak muda di zamannya sahaja, sebaliknya mewakili suara akar umbi rakyat keseluruhannya.

Perubahan ini saya lihat sebagai ‘kebangkitan sebuah bangsa’ – the resurrection of nation.

Saya menyambut baik apabila kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengabsahkan kewujudan parti Muda. Tahniah saya ucapkan kepada rakan-rakan Muda yang berjiwa kental.

Namun harus diingat, Muda bukanlah satu-satunya parti yang berasaskan kaum muda yang pertama sekali muncul di negara kita. Seperti yang saya sebutkan, Angkatan Pemuda Insaf (API) telah muncul lebih awal sekitar tahun 1946.

API yang dipimpin oleh pemimpin muda berumur 26 tahun bernama Ahmad Boestamam telah meletakkan agenda kemerdekaan Tanah Melayu sebagai hadaf perjuangnnya. Kemerdekaan Tanah Melayu ini bukan agenda anak muda sahaja, ia agenda bangsa.

Ahmad Boestamam memimpin API ketika umurnya 26 tahun 

Bahkan lebih awal daripada API, Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang dipimpin oleh Ibrahim Yaakob dan Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) telah muncul pada 1938. Agenda utama mereka juga besar ketika itu iaitu mahu melindungi hak-hak orang Melayu dan menentang penjajahan British. Ini juga agenda kebangsaan, bukan agenda anak muda samata-mata.

Baru-baru ini negara kita dilanda bencana banjir yang dahsyat. Banyak kawasan terjejas teruk khususnya di Selangor. Bencana ini tanpa kita sedari telah menjadi manifestasi bagaimana kaum muda paling terkehadapan dalam menjalankan misi bantuan dan menyelamat mangsa-mangsa banjir.

Bukan bertujuan menafikan peranan agensi kerajaan atau mana-mana pihak. Tetapi apa yang saya maksudkan, jelas kelihatan bagaimana anak-anak muda begitu berani dan pantas keluar membantu menyelamatkan mangsa tanpa menunggu arahan pihak berkuasa atau sesiapa pun.

Ini menjadi naratif bagaimana anak muda kini telah duduk di barisan paling hadapan untuk membantu rakyat dalam apa juga keadaan yang memerlukan. Ini luar biasa.

Saya ulangi, hari ini anak muda bukan lagi merengek pada kerajaan 'mahu padang futsal' di tepi surau kampung mereka atau mahu jadi ahli ‘Rakan Muda’. Anak muda mahu peranan mereka diiktiraf sebagai suatu kelompok masyarakat yang sangat penting dalam agenda pembangunan negara terutamanya dalam akses ekonomi.

Sukan futsal, gambar hiasan

Mengapa saya sentuh soal ‘akses ekonomi’? Saya sebut kerana ia terkait langsung dengan demokrasi.

Dalam praktis demokrasi kita, kek-kek ekonomi dipotong mengikut kelas atau segmen. Sebelum ini segmen anak muda ada kek ekonominya yang tersendiri. Namun hari ini dan seterusnya, suara dan peranan anak muda pastinya melebihi dari sepotong kek yang dibekalkan kepadanya.

Mengapa? Kerana pada saat ini anak muda telah menjadi kelompok undi terpenting dalam daftar pemilih selepas kerajaan dengan rasminya melaksanakan Undi18. Kini, sekitar empat ke lima juta jiwa anak-anak muda yang layak mengundi akan menjadi suara paling signifikan dalam menentukan jatuh bangun ekonomi negara menerusi pilihanraya.

Saya ingin mengingatkan kerajaan khususnya, suara anak muda hari ini tidak lagi boleh dibungkam seperti zaman sebelumnya Anak muda tidak lagi boleh dilayan ibarat memberi 'gula-gula' dari kedai runcit.

Kami adalah kunci utama kepada pembangunan negara. Kami penentu hala tuju masa depan negara. Kami mahu akses ekonomi yang adil buat semua, bukan retorik. Kami mahu integriti dalam berkerajaan, keberkesanan dalam pentadbiran, imej negara dipulihkan dan suara rakyat yang paling hadapan.

Anak muda akan bersatu menempa sejarah baharu Malaysia. Paling dekat, dalam PRU 15 yang semakin menghampiri. Ucapan selamat buat anak muda Malaysia!


SHEIKH UMAR BAGHARIB ALI ialah Adun Paloh merangkap naib pengerusi sekali gus ketua Pemuda DAP Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.