Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Wartawan dan orang politik

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | Hujung minggu lalu, mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (PH) Perak diadakan di sebuah hotel di Ipoh. Meskipun sesetengah pimpinan PH Perak berada di Johor kerana pilihan raya negeri (PRN) dan PKR berhadapan musim pemilihan, namun program yang telah dirancang awal itu diteruskan.

Lebih 30 wartawan dan jurugambar dari pelbagai agensi berita tanah air hadir. Saya mewakili Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi, diberi kesempatan berucap sebelum Pengerusi PH Perak, Mujahid Yusof mengambil gilirannya.

Takrif  wartawan - jika dilihat dari sudut yang lebih luas - meliputi editor, pereka grafik, pelukis dan mereka yang terlibat dalam menerbitkan sesuatu berita. Ia termasuk juga penyampai berita sama ada di televisyen atau radio.

Mujahid dalam ucapannya menyatakan bahawa PRN Johor dan Melaka sebelum ini tiada keperluan  untuk diadakan. PH memberi komitmen tinggi bagi mengekalkan kestabilan politik tanah air, termasuk dengan menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan kerajaan.

PRN diadakan hanya untuk memenuhi nafsu kerakusan politik sempit dan meneruskan amalan pengkhianatan politik sedia ada.

Lewat petang hari itu, berita mengenai ucapan tersebut disiarkan di beberapa media arus perdana. Tentu sekali berita tersebut akan dibaca oleh puluhan ribu pelayar internet dalam masa yang singkat.

Ternyata begitu perlu kerjasama erat di antara ahli politik dengan wartawan.

Galas tanggungjawab bersama

Dunia kewartawanan dan penulisan sangat rapat dengan kehidupan saya sejak di kampus hinggalah kini. Walaupun tidak menjadi wartawan, sebahagian daripada kerja kewartawan - seperti menulis - sudah menjadi antara tugas utama saya.

Seperti kata Pramoedya Ananta Toer, kerjaya menulis adalah tugas nasional.

Wartawan kerjanya menyaring maklumat untuk dijadikan berita. Sudut pandang dipilih dan ayat disusun untuk menggambarkan keadaan sebenar di medan. Tidak semua peristiwa yang berlaku memiliki nilai yang berbaloi untuk diberitakan.

Wartawan bukan kerjaya spontan atau bersahaja. Nilai kewartawanan yang berkualiti terletak kepada analisis dan pemberitaan, sudut pandangan yang fokus dan objektivitinya.

Samalah dengan ahli politik. Mereka menggalas tanggungjawab untuk mewujudkan sebuah negara yang teduh untuk dihuni rakyatnya.

Mujahid beramah mesra bersama wartawan

Wartawan menyiarkan berita yang boleh memberi manfaat kepada pembaca, manakala orang politik mengemukakan dasar pentadbiran untuk membina kerajaan yang berintegriti serta beramanah.

Wartawan memiliki kekuatan setara dengan senjata di lapangan peperangan konvensional. Penulisan dan bahan berita yang disampaikan memiliki pengaruh sangat besar dalam membentuk pemikiran dan juga menyentuh emosi pembaca.

Kesedaran semangat kemerdekaan terutama sebelum Perang Dunia Kedua menyaksikan bagaimana kesungguhan wartawan anak watan memikul tanggungjawab besar dalam proses paling kritikal.

Membina bangsa bermaruah

Ia berlaku sehinggalah perubahan menjadi kerajaan - negara ini ditadbir sepenuhnya oleh anak tempatan.

Kebanyakan pemimpin yang terawal meniupkan semangat kemerdekaan ialah penulis-wartawan, seperti Abdul Rahim Kajai, Abdul Hadi Hasan, Harun Aminurrashid, Ibrahim Yaakob, Pak Sako, Ahmad Boestamam dan lain-lain.

Sebahagian daripada mereka adalah pengarang novel, pemuisi dan cerpenis. Mereka menggunakan bahasa sebagai wahana kuasa yang membangkitkan kesedaran semangat kebangsaan.

Sebahagian daripada tokoh terbabit tidak pula menyertai politik kepartian tetapi karya mereka sendat dengan idea membangun kesedaran. Akhbar-akhbar seperti Saudara, Majlis, Warta Jenaka dan Utusan Melayu menyediakan ruang untuk membina naratif membina bangsa bermaruah.

Abdullah Munsyi

Idea ‘kemerdekaan’ adalah asing dalam kamus pemikiran masyarakat ketika itu. Sedangkan golongan kelas atasan - termasuk bangsawan - hidup di atas kemiskinan marhean yang tidak terbela serta tersisih daripada arus pembinaan negara.

Oleh  sebab itu, perkembangan persuratan khususnya akhbar Melayu subur di Negeri-negeri Selat yang lebih bebas, demokratik dan berpendidikan moden.

Dalam sejarah persuratan di negara ini, Abdullah Munsyi dianggap sebagai tokoh awal yang membawa pendekatan realis ke dalam kesusasteraan Melayu moden. Ada sesetengah pihak menafikan peranan Abdullah yang dilihat lebih berpaksikan kepentingan penjajah Inggeris.

Meski ada beberapa perbebatan di sebaliknya, namun abaikan titik bengik yang lebih berkisar soal sekunder sahaja.

Dalam angan-angan kosong

Karya Abdullah, Hikayat Pelayaran Abdullah merupakan titik tolak peranan penulis dalam dunia Melayu keluar dari kepompong dongeng kayangan. Karya Abdullah meski dilihat begitu kritis terhadap gaya dan falsafah hidup masyarakat Melayu ketika itu, dia menulis sesuatu yang berlaku di hadapan matanya sendiri.

Pelayaran Abdullah ke negeri-negeri Melayu di pantai timur menemukan dia dengan kemiskinan dan sikap malas yang tumbuh dalam budaya orang Melayu.

Menjadi cabaran besar kepada wartawan pada hari ini mengemukakan naratif kehidupan sebenar masyarakat seperti yang dilakukan oleh Abdulah.

Jika keberanian Abdulah dilindungi Raffles, siapakah yang akan mempertahankan keberanian wartawan tanah air?

Selagi masyarakat diberikan naratif yang tidak realistik, negara akan berada dalam angan-angan kosong dan fatamorgana yang menghampakan.

Sama keadaannya dengan cabaran ahli politik masa kini. Apakah mereka terus sanggup meletakkan kepentingan watan lebih daripada kepentingan peribadi dan kelompok sendiri?

Tindakan sesetengah ahli politik yang melacurkan idealisme perjuangan dengan melakukan pengkhianatan sesama sendiri membawa dunia ke arah kehancuran.

Tak boleh terikat sangat

Ahli politik dan wartawan perlu keluar dari kerangka yang memenjara diri mereka bagi membebaskan rakyat daripada cengkaman kuasa jahat yang dipandu oleh syaitan berwajah manusia mulia.

Ahli politik dan juga wartawan yang bersifat populis, picisan atau jumud (parochial) akan membawa negara tenggelam dalam kegelapan pemikiran dan kesedaran.

Oleh sebab itu, ahli politik, wartawan serta rakyat secara keseluruhan tidak boleh terikut sangat dengan rentak semasa.

Perlu ada keseimbangan di antara agenda negara, tafsiran peribadi dengan keperluan kontemporari.

Majlis tersebut berakhir kira-kira jam 12.30 tengah hari tetapi sebahagian wartawan masih berada di dalam dewan bagi menyiapkan tugasan masing-masing. Mungkin agar berita itu disiarkan secepat mungkin.

Hujung minggu itu mereka memperuntukkan waktu hidup sebagai wartawan ketika orang lain sedang bersantai bersama keluarga, bersiar-siar atau bermalas-malasan.


MUHAIMIN SULAM ialah ahli Majlis Pimpinan Pakatan Harapan Perak merangkap Naib Pengerusi Amanah Perak.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.