Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Bolehkah Islam terus 'survive' di Malaysia?

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Peristiwa-peristiwa yang berlaku di dalam negara yang mencabar kedudukan Islam di negara kita semakin menjadi-jadi. Pihak pelampau yang membenci agama Islam semakin berani mencabar keabsahan dan kedaulatan Islam di Malaysia melalui pelbagai cara dan kaedah sama ada melalui perundangan atau gerakan massa, seperti NGO yang diangkat oleh media-media termasuk media arus perdana.

Paling membimbangkan ialah, usaha mereka ini didukung kuat oleh parti-parti politik, termasuk parti yang dipimpin oleh orang Melayu yang membawa jenama dan slogan-slogan Islamik.

Bukan sahaja institusi agama dipersenda, undang-undang syariah diperlekehkan. Mahkamah Syariah dikecilkan kuasa malah kedudukan Raja-Raja sebagai institusi tertinggi mengawal agama ini juga tidak terlepas dari herdikan dan persendaan.

Adakah semua ini berlaku secara tiba-tiba atau memang ada perancangan dan strategi yang rapi serta tersusun? Itu kita tidak pasti tetapi kalau diteliti secara halus ia seolah-olah seperti satu “grand-design” yang tersusun untuk memastikan Islam kekal hanya sebagai satu agama yang tidak lebih sebagai satu “ceremonial” atau aktiviti ritual semata-mata.

Lebih mencabar ialah apabila watak-watak yang digunakan sebagai “puppet” untuk menyerang Islam adalah terdiri dari umat Islam sendiri. Mereka ini yang berpegang kepada pemikiran Islam liberal ditonjol dan diangkat sebagai satu watak penting dan tokoh yang wibawa. Ini bukan cakap-cakap kosong bukti sudah banyak. Malah, jika ditanyakan kepada orang awam, mereka juga berpendapat sedemikian.

Pada masa yang sama, pimpinan Melayu Islam yang berada di pelbagai peringkat kepimpinan dilihat membisu seribu bahasa. Mereka seolah-olah tidak lagi mengendahkan tekanan yang dilakukan terhadap agama Islam. Bagi mereka, merebut kedudukan politik itu adalah lebih mulia dan bermaruah berbanding membela kedudukan dan maruah Islam yang diinjak-injak itu. Bak kata pepatah Melayu, politikus-politikus Melayu kita hanya “indah khabar dari rupa”. Cakap berdegar- degar tetapi jiwa kering kontang. Melayu dan Islam hanya diguna untuk kempen politik semata- mata.

Kes pengislaman tiga remaja di Perlis baru-baru ini menggambarkan bagaimana Islam boleh dihina dan dicabar oleh beberapa individu ekstremis tanpa sebarang rintangan seolah-olah umat Islam rela sahaja diri diherdik dan dipersenda.

Kali ini, saya tidak mahu sentuh jauh kepada soal perundangan tetapi apa yang saya ingin fokus ialah soal moral dan hati nurani pemimpin-pemimpin Islam kita. Mereka yang memegang kuasa mempunyai tanggungjawab sepenuhnya terhadap cubaan memurtadkan remaja ini. Adakah di sana masih ada bibit kecintaan dan izzah terhadap agama Islam dalam diri mereka dan maka akan berusaha mempertahankannya?

Atau hanya sekadar berserah kepada takdir? Tidakkah Islam mengajar kita berikhtiar, sensitif dan bijak mengatur langkah dalam menghadapi musuh? Apakah hanya disebabkan satu atau dua kalimah dalam perundangan menyebabkan mereka sudah kebingungan dan hilang akal pertimbangan padahal mereka jugalah pembuat segala dasar dan polisi?

Kejadian ini mengingatkan kita peristiwa Natrah 60 tahun dahulu yang akhirnya kita terpaksa akur dengan kehendak penjajah di mana Natrah terpaksa meninggalkan Islam. Kalau dahulu oleh kerana sistem pentadbiran dikuasai penjajah kita mungkin boleh faham mengapa Natrah terpaksa menyerah kalah, tetapi hari ini sistem dan kepimpinan adalah dikuasai oleh umat Islam itu sendiri.

Apakah ini satu aib yang sedang menimpa umat Islam di Malaysia?

Pada minggu yang sama itu jugalah kita juga telah mendengar keputusan mahkamah yang membenarkan sebuah buku tentang seks songsang untuk dijual. Begitu juga keputusan Mahkamah Persekutuan yang telah memutuskan bahawa Mahkamah Syariah tidak mempunyai kuasa untuk membuat semakan kehakiman terhadap fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri.

Walaupun kedudukan Islam sangat jelas diletakkan di posisi yang tinggi dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu dalam Perkara 3 (agama negara), tetapi perlaksanaannya masih jauh daripada pengertiannya yang sebenar. Pada masa yang sama, asakan-asakan yang bertali arus menghentam keabsahannya semakin menolak kedudukan Islam jauh ke bawah.

Persoalannya; dengan keadaan pemimpin Islam yang ketandusan jiwa tentang nilai perjuangan, apakah masa depan Islam semakin cerah atau kelam? Sedikit demi sedikit kedudukan Islam dihakis dan dikesampingkan. Bayangkan 10 tahun lagi? 20 tahun lagi? 50 tahun lagi? Silap-silap, seluruh sistem syariah di Malaysia sudah tiada lagi. Silap-silap, jawatan ketua agama Islam pun sudah tiada lagi nanti. Ingat, penghapusan apa jua sistem bukan berlaku sehari dua, setahun dua, apatahlagi 22 bulan. Ia pasti melalui proses yang panjang, halus, licik dan lemah lembut.

Jika pemimpin Islam tidak lagi menghiraukan agama ini ketika dihina, apakah rakyat marhaen mampu bangkit? Atau apakah rakyat marhaen akan terus wala’ pada politikus kerana sikap ultra-taasub yang menebal?

Jika rakyat tidak lagi sensitif dan bangun mempertahankannya, mampukah Islam ‘survive’ di negara ini?

20 tahun lagi? 50 tahun lagi? 100 tahun lagi?

Saya serahkan kepada rakyat untuk memikirkannya.


AMINUDDIN YAHAYA ialah pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) dan bekas presiden Isma.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.