Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Peluang Pejuang

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Nampaknya Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berjaya menjadikan Pilihan Raya Negeri Johor sebagai medan untuk mereka membicarakan isu rasuah menerusi kempennya.

Ekoran daripada itu, parti-parti lain yang ikut bertanding terheret sama dengan rentak yang diketengahkan oleh Pejuang.

Umno pula nampaknya bagai cacing kerawit kepanasan.

Penumpuan kempen terhadap isu rasuah ini tentulah memberi kelebihan kepada parti-parti pembangkang kerana, pertamanya, Umno memang terpalit serba-serbi dengan isu rasuah. Ini menjadikan kempen PRN Johor lebih terarah berbanding kempen PRN Melaka.

Keduanya, selain perbicaraan rayuan bekas perdana menteri Najib Razak yang masih berlangsung serta perbicaraan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkenaan rasuah, pengundi Johor masih mengingati kes bekas exco mereka, Abdul Latif Bandi, yang membawa kepada undi besar untuk Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU ke-14 pada 2018.

Harus diingat, Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 7 Nov 2021 memerintahkan Abdul Latif untuk membela diri terhadap 37 pertuduhan rasuah.

Ia mengetepikan keputusan dibuat Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 21 April 2019 yang membebas dan melepaskan Abdul Latif bersama dua lagi tertuduh.

Bahkan Timbalan Pengarah I, Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Shaharuddin Wan Ladin menegaskan, keputusan mahkamah tinggi itu menunjukkan keputusan Mahkamah Sesyen Johor Bahru terdahulu adalah salah.

Abdul Latif Bandi

Pada 2017, SPRM juga merampas 21 kenderaan mewah termasuk Porsche Cayenne, Bentley, lima motosikal berkuasa tinggi, wang tunai RM500,000 serta membekukan 45 akaun bank bernilai RM15.5 juta bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Suka atau tidak, ikrar Pejuang untuk membersihkan Johor, justeru Malaysia juga, daripada rasuah memberi kelebihan kepada parti itu. Ini pada saat beberapa pemimpin utama PH mahupun Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sedang berdepan dengan dakwaan rasuah atau korupsi di mahkamah, selain ada yang disiasat oleh SPRM.

Lebih menjadikan Umno kepanasan ialah siri pembongkaran mantan pengerusi Goldman Sachs Group Inc Asia Tenggara, Tim Leissner, di Mahkamah Amerika Syarikat mengenai amalan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan institusi Malaysia. Leissner menyebut banyak nama, termasuk pemimpin-pemimpin Umno.

Rasuah kian membarah

Selain itu peluang Pejuang di atas kertas nampaknya lebih baik berbanding PH yang masih belum memaparkan manifesto yang jelas. Pejuang telah menggariskan keinginan kepada ‘pembaharuan politik di Johor dengan mengetengahkan pemimpin yang bersih, kredibel, amanah dan benar-benar mahu berkhidmat untuk rakyat’.

Sudah tentu ada antara kita akan skeptikal dengan tawaran Pejuang itu. Namun Pejuang - sebagai parti pembangkang - terlihat lebih awal menekankan slogan untuk Johor yang bersih, cekap, amanah dan bermaruah.

Hal ini seiring pula dengan ‘dakwaan’ yang agenda utama kepada asas penubuhan Pejuang ialah untuk menentang serta membanteras budaya rasuah yang semakin membarah dan memberi kesan besar kepada negara.

Sementara itu parti pembangkang lain pula asyik bertingkah sesama sendiri, selain tiada kejelasan manifesto.

Nornekman Osman, iaitu anak bekas Menteri Besar Johor pada zaman PH, arwah Osman Sapian, turut melaungkan retorika bahawa semua barisan kepimpinan parti itu mempunyai tahap integriti tinggi dan kekal berprinsip terutamanya bebas daripada budaya rasuah.

Nornekman Osman

Nornekman ialah Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Pejuang Johor.

Untuk menonjolkan kesungguhan, Pejuang malah mengarahkan calon parti itu menduduki ujian psikometrik antirasuah (RBTAG) bagi menolak dan memerangi rasuah. Tidak pasti bagaimana ia dapat meraih perhatian pengundi luar bandar, tetapi aspek kecil begini tidak boleh dientengkan.

Pejuang menerusi taruhan Dr Mahathir Mohamad seterusnya menajamkan serangan terhadap Umno dengan lanyak dan henyak yang keras. Kata-kata pedas Mahathir membuatkan Najib - misalnya - kecilian pedas dan terdesak menjawab serangan negarawan berusia itu.

Mahathir terlebih dahulu mendakwa bangsa Melayu memandang ringan hal-hal rasuah. Oleh sebab itu aspek berkenaan boleh diguna oleh pihak tertentu untuk menyelewengkan bangsa Melayu daripada menolak sesuatu yang salah.

Sembilan aspirasi Pejuang

Mahathir seterusnya dalam amanat kepada pengundi Johor menggasak Umno dan Perikatan Nasional (PN) sebagai "amat korup dan menghilangkan duit rakyat" serta “sudah dikalahkan dalam PRU lalu.”

Mahathir tanpa segan silu menamakan musuh Pejuang iaitu “kumpulan dipimpin oleh Najib Razak yang telah dihadap ke mahkamah dan didapati bersalah, bersamanya ialah Ahmad Zahid”.

Dalam siri surat kepada pengundi itu juga Mahathir memuji usaha pengundi Johor - pada 2018 - menjadi antara kuasa rakyat yang berjaya menyekat kemaraan kleptokrat. Mahathir tidak berhenti di situ, malah turut menghalakan mortar kepada bekas Menteri Besar Johor, Muhyiddin Yassin yang dianggapnya "terlalu ingin menjadi perdana menteri" sehingga "menyebabkan kerajaan PH tumbang."

Mahathir menggunakan naratif mudah untuk difahami oleh orang kampung, bahawa tindakan Muhyiddin bekerjasama dengan kumpulan Umno merosakkan perubahan yang telah dijayakan pada 2018.

Pejuang mengetengahkan 42 calon dalam PRN Johor ini. Seperti dinyatakan terdahulu, parti yang dipengerusikan Mahathir itu telah mengusahakan sembilan aspirasi untuk rakyat Johor sekiranya mandat diberikan kepada mereka pada 12 Mac nanti.

Sekiranya Umno dan PN dikalahkan di kawasan pedalaman; manakala PH dapat mempertahankan kerusi bandar dan separa urban, tidak mustahil Pejuang akan menjadi blok pengimbang yang menarik untuk diperhatikan.

Juga menjadi perhatian penganalisis politik ialah, sehingga hari ini juga, Pejuang (selain Muda dan Warisan) adalah antara parti yang masih belum kelihatan bergambar di istana Johor.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.