Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Si Bongkok yang enggan tunduk

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KOLUM | Barangkali saya ini manusia jenis yang pernah dikatakan songsang oleh Latiff Mohidin dalam sajaknya, Songsang, yang dibaca Pyanhabib dalam filem Kembara Seniman Jalanan:

Apabila semua orang
telah sedia duduk
aku bangun berdiri.

Apabila orang
bangun bertepuk
aku duduk.

Apabila orang
ghairah berbincang
aku tidur
.

Sewaktu Pengarah Pilihanraya Amanah Nasional, Asmuni Awi, sibuk mengajak orang Johor keluar mengundi, saya bermalam-malam dengan kereta api dari Kelantan ke Johor untuk memeriahkan lagi kempen.

Di tangan saya ketika itu ada satu kertas cadangan dibawa bersama. Tapi ia akhirnya ditolak.

Sewaktu Asmuni meminta semua petugas turun bertemu pengundi dan merayu undi, saya pula pergi cari kubur Si Bongkok Tanjung Puteri dan ayah kepada Allahyarham Mat Indera yang tidak pernah mengundi.

Wajar juga itu disebut sebagai kerja songsang kerana lawatan tersebut boleh saja dibuat selepas Johor selesai memilih, tapi saya melakukannya ketika orang lain sibuk merayu undi.

Pilihan raya sebegini kadangkala perlu juga pendekatan songsang.

Setelah kecundang di Melaka dan Sarawak, laluan Pakatan Harapan (PH) memang sukar. PH menyongsang arus. Semangat penyokong ada yang jatuh tetapi masing-masing memiliki jati diri sebagai pejuang sebenar.

Lagi ditekan, lagi bertambah semangat ke depan. Begitulah adat berjuang pada jalan kebenaran.

Akan tetap bangkit

Hadir ke Johor kali ini bukan kerana membawa bantuan kemanusiaan kepada mangsa banjir seperti di Segamat. Di tengah-tengah kemelut Covid-19 dan kepayahan hidup rakyat bawahan, satu lagi pilihan raya negeri (PRN) diadakan demi sebuah kebongkakan kuasa politik.

Sejarah tidak pernah menjadi pengajaran kepada manusia yang sombong dan angkuh. Rakyat terus dikerah mengibar panji-panji perjuangan.

Dalam lautan bendera biru yang berkibar di tepi jalan, di situ terselit bendera merah PH. Itulah songsangnya PH.

Semboyan dan nafiri dibunyikan. Berantakan sepurnama ini demi menyempurnakan idealisme masing-masing. Yang menang akan menjadi arang; yang kalah menjadi abu. Akan tetapi pepatah itu jarang tertanam dalam jiwa orang politik.

Biar abu sekalipun, tetapi mereka tetap bangkit.

Sengaja saya ke Johor kali ini untuk mendekatkan diri dengan rasa kemanusiaan dengan mengimbau sejarah Si Bongkok sambil menyongsang arus. PRN ini hanyalah kantung mimpi buat pengundi. Ia jauh dari roh kemanusiaan dan satu pelacuran terkutuk demokrasi.

Si Bongkok dulu hidup dalam negara bukan demokrasi. Bahasa politik ketika itu ialah keris dan mentera dan ia berlangsung  dari istana hingga ke pondok usang.

Bimbang diketahui orang

Si Bongkok ialah pahlawan Johor yang melawan Temenggong yang dibantu Inggeris pada awal kedatangan mereka di rantau ini. Si Bongkok dituduh sebagai lanun oleh Inggeris dan juak-juaknya termasuk saudagar Cina yang mempunyai kepentingan perniagaan di selatan Tanah Melayu.

Si Bongkok sebenarnya sekadar mahu mengembalikan kuasa Sultan Ali yang tersisih dalam pergolakan politik sesama pembesar Melayu di dalam kerajaan Melayu Johor - Riau.

Makam Si Bongkok terletak di lereng bukit di Tanjung Belungkur yang menghadap sungai. Kedudukannya terasing dan sepi. Seperti juga makam Tok Janggut di Pasir Pekan di pinggir Sungai Kelantan.

Jasad Tok Janggut digantung secara songsang sebelum dikebumikan di situ. Tok Janggut dihukum sebagai penderhaka dan dia telah kehilangan pembelaan selama berpuluh-puluh tahun. Itulah harga berjuang dengan menyongsang.

Manakala Si Bongkok dimakam secara tersembunyi kerana bimbang diketahui tempat kuburnya oleh Inggeris dan pembesar negeri yang menjadi musuhnya. Sejarah Si Bongkok masih samar-samar seperti bayang-bayang di tengah malam.

Sedikit sinar purnama bisa menyuntik semangat perjuangan baru kepada orang Johor.

Penghujung Johor ialah Tanjung Puteri yang kini diberi nama sebagai Johor Bahru. Nama itu pada kami - orang luar Johor - banyak dikaitkan dengan nyanyian asli Tanjung Puteri.

Tersohor pada zamannya

Mungkin ramai yang sudah melupakan lagu tersebut dan ramai juga langsung yang tidak pernah tahu. Lagu itu pernah dinyanyikan oleh Aziz Ahmad, Rosiah Chik dan Othman Hamzah.

Ia juga pernah diberikan nafas baru oleh beberapa penyanyi termasuk kumpulan Loving Born iaitu sebuah kumpulan rock dari Perak.  

Lagu tersebut sarat dengan naratif politik kepada mereka yang dapat memahami makna bait-bait liriknya. Secara tersirat, lagu itu mencatatkan dua darjat sejarah di Johor. Darjat di antara sejarah pemenang dan sejarah yang tenggelam – pejuang yang tewas. Satu perjuangan yang songsang.

Lirik lagu Tanjung Puteri adalah karya Ali Othman. Dia seorang pemuzik dan penggubah lagu yang tersohor pada zamannya malah mempunyai orkesnya sendiri.

Lirik yang menyebut “Istana Hinggap di Kuala Danga, pantai berkelah keluarga diraja” diikuti dengan “Pusara Si Bongkok di lereng bukit, di tepi pantai Tanjung Puteri” jika didengar dengan telinga hati, sangat dalam maknanya.

Ada dua unsur saling bertentangan yang disatukan dalam satu lagu.

Jika kita ke Kuala Danga sekarang, Istana Hinggap itu sudah tiada lagi kerana telah dirobohkan. Namun pusara Si Bongkok masih bertahan daripada tekanan arus pembangunan di kawasan sekelilingnya.

Pada lagu Tanjung Puteri itu, penulis liriknya menceritakan kehidupan rakyat bawahan dengan menyatakan: “Tanjung Sekijang nun di kuala, tempat nelayan mengail gelama”.

Nama Tanjung Sekijang sudah hilang dari peta Johor. Menurut penduduk tempatan, ia terletak di Tebing Runtuh yang kini dibangunkan menjadi kawasan baru yang dikenali sebagai Nusajaya.

Dari sebuah perkampungan nelayan ia kini menjadi pusat pentadbiran negeri. Ia adalah proses pembandaran yang memaju dan membawa Johor jauh ke hadapan. Namun di sebalik itu, tentu ada yang terpaksa dikorbankan demi pembangunan dan kebanggaan.

Hanya tinggal sejarah

Penyajak kelahiran Sedili, Usman Awang, pernah menulis puisi begini:

Kepada Datuk Bandar
Kami masyarakat burung telah mengadakan mesyuarat agung
pada suatu pagi yang manis dan ranum
di atas bangunan parlimen yang kosong.

[...]

[...]

Sejak lumpur kota ini menjadi batu-batu
Kami masyarakat burung menjadi mangsa yang bisu
.

Puisi itu jika dibaca bersama lirik lagu Tanjung Puteri memang menarik jika makna burung diluaskan kepada manusia yang hilang kuasa.

Pada perenggan seterusnya, penulis lirik Tanjung Puteri menulis: Dari Tebrau orang berakit, singgah Stulang membeli kopi”.

Tebrau dan Stulang masih ada tetapi mereka tidak lagi menggunakan jalan air untuk ke Stulang.

Berniaga dan menjadi nelayan adalah kehidupan masyarakat ketika itu. Namun kini, semua pekerjaan sebagai nelayan itu hanya tinggal sejarah.

Apabila penambakan laut dilakukan secara mega demi memenuhi kantung segelintir kelompok, rakyat bawahanlah yang paling terkesan. Nelayan tidak lagi memukat jaringnya. Tiada lagi Selat Tebrau airnya biru, di Pantai Lido tepian mandi. Semuanya tinggal kenangan dan sejarah.

Tidakkah kamu boleh memahami wahai Bangsa Johor? Menentang arus, berlaku songsang demi kemaslahatan bangsa dan tanah air ini.


MUHAIMIN SULAM ialah penasihat Nusantara Malaysia. Maklumat lanjut mengenai misi bantuan mangsa banjir boleh dilihat pada pautan ini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.