Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Buruknya mengkhianati agama

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

"Supi terjun ke dalam laut, kemudian dia lekat di celah buluh unjang," kata Boha semasa kami duduk sambil berbual-bual di surau beliau baru-baru ini. Raya, abang si Boha, juga ada sama.

Kami bersepupu sebelah ibu manakala di sebelah ayah kami masih ada pertalian keluarga.

Kami duduk bercerita mengenai masa lalu. Mengenai sahabat-sahabat yang masih ada, yang sudah mati dan juga yang tidak diketahui wujud tidaknya lagi.

Di tempat kami - sebuah perkampungan nelayan - memang banyak buluh yang ditebang untuk dijadikan rumah ikan. Batang-batang buluh itu diikat di tepi jeti sebelum diheret keluar oleh bot-bot ikan.

Boha pernah menjadi penasihat agama kepada raja sebelum beliau berhenti kerana mahu berniaga. Setelah jatuh dan bangun dalam perniagaan, beliau kini menumpukan perhatian kepada belajar serta mengajar agama.

Beliau menuntut lama di al-Azhar di Mesir sana. Kami selalu suka jika beliau dari dulu hanya menumpukan perhatian kepada belajar dan mengajar. Pengetahuan Boha dalam hal agama adalah amat baik namun kerana sibuk dengan hal mencari rezeki, beliau tidak mahu memberikan perhatian kepada hal menyebarkannya.

"Dulu aku tak mengajar sebab sibuk. Takut kalau janji dengan orang, lepas tu aku tak datang," kata beliau memberi alasan. Dan memang pun begitu jadinya.

Jangan sampai orang tak nak

Kami pernah mencadangkan Boha mengajar di masjid kami dan beliau setuju. Ketika itu masjid kami tidak ramai jemaahnya namun setelah beberapa kali datang, semakin ramai jemaah yang menunggu kelas Boha.

Namun seperti yang kami katakan - dan seperti apa yang beliau bimbangkan - bukan sekali dua kami terpaksa menebalkan muka apabila jemah bertanya: "Cik Dolloh, ustaz tok mari pulok ke hari ning?"

Lama-kelamaan orang pun tidak lagi menunggu kelas beliau. Dan beliau kembali disibukkan dengan hal mencari rezeki. Sehinggalah baru-baru ini beliau kembali aktif dalam hal beragama.

Menurut Boha, antara sebabnya ialah kerana beliau teringat pesan Alang, arwah abang beliau yang juga diantara sepupu kami yang paling kacak.

Alang meninggal dunia pada usia yang agak muda. Awal 50-an. "Mengajarlah," kata Alang kepada Boha pada suatu hari, "nanti jangan sampai orang dah tak hendak baru awak sibuk nak mengajar."

Boha ini jika kamu jumpa di luar hal beragama, kamu tidak akan syak beliau orang yang boleh membaca kita Arab. Dengan seluar jeans biru dan kemeja T saja kalau beliau ke mana-mana.

Cuma sekarang ini kepalanya ditutup oleh kopiah yang beliau beli di Uzbekistan.

Dalam hati kami berkata, kalau aku ambik video dia ceramah dan letak tajuk Ustaz Pakai Jin, boleh viral ni. Mujur kami tidak ada telefon genggam.

"Dulu ada sepuluh, entah aku buang kemana. Tinggal satu ni je," kata beliau meminta kembali kopiah tersebut daripada kami selepas selesai berkuliah.

Gosipnya ialah beliau pernah bernikah dengan perempuan Uzbek. Entah betul entah tidak. Kami tidak pernah bercerita mengenai hal dalam kain orang. Buang masa dan menjengkelkan.

Tak menolak nak bergasak

Menurut Boha, nenek moyang kami asalnya tinggal di Sungai Karang.

"Orang Pahang yang buka Sungai Karang, bukan orang Terengganu," kata Boha lagi. Tetapi kerana waktu itu tidak ada sekolah di sana, keluarga kami telah berpindah ke kawasan Batu 17 Jalan Pekan.

Tidak pula kami ketahui sama ada di sana ada sebarang sekolah, namun pak cik-pak cik kami semua orang yang belajar dan memegang jawatan dalam kerajaan.

"Keturunan kitalah yang pegang acu tampang," kata Boha.

Tampang ialah nama mata wang kerajaan Pahang lama. Katanya keluarga datuk nenek kami diamanahkah untuk menjaga acuan wang berkenaan (dan sekarang kamu tuduh kami kaya kerana makan duit DAP. Baser).

Supi yang di ceritan awal tadi adalah legenda. Bersama Zahi Botok dan juga Raya, mereka adalah orang yang apabila disebut namanya akan datanglah ketakutan kalau ia melibatkan hal-hal pergaduhan.

Tiga orang itu bukan besar mana tubuhnya, namun tidak pernah sekali pun menolak jika diajak bergasak.

Menurut Raya: hati mesti berani walau kekuatan tidak seberapa.

Ada pelbagai versi mengenai mengapa Supi terjun ke laut. Paling popular ialah kerana pada waktu itu beliau dikejar polis. Kerana bimbang ditangkap, beliau melarikan diri dan terjun ke laut.

Kebetulan pada malam itu ribut amat kuat disertai dengan hujan lebat. Mayat beliau ditemui beberapa hari kemudian.

Tidak lama sebelum kejadian tersebut, sekeping kayu dengan paku dihujungnya tercacak dikepala Supi. Ini berlaku dalam satu pergaduhan. Bergaduh hanya kerana hal-hal remeh adalah biasa pada waktu itu, yakni pada tahun-tahun 1980-an dan 1990-an.

Zahi Botok - yang semasa zaman kegemilangannya tidak pernah menyentuh sebarang jenis dadah - terperangkap dalam dunia khayal selepas dari itu dan akhirnya meninggal dunia akibat bahan terlarang tersebut.

Raya juga pada hari ini sudah tidak segagah dulu. Mahu berjalan tiga langkah pun dirasa menyusahkannya. Namun kedegilan masa lampaunya masih bersisa.

Sentiasa sedia di masjid

Dilawannya serangan angin ahmar sepertimana beliau melawan siapa saja sewaktu remajanya.

"Hati mahu kuat," katanya. Beliau kini banyak menghabiskan masa melayan Boha di surau milik keluarga mereka.

Surau ini diasaskan oleh Boh, iaitu bapa mereka. Boh penyokong PAS yang tegar dan meninggal dunia ketika partai berkenaan masih lagi digelar sebagai partai kekampungan.

Seluruh keluarga kami pada waktu itu adalah penyokong Umno. Hanya Boh dan anak-anaknya yang menyokong PAS. Namun begitu, biarpun pada zaman kafir-mengkafir, hubungan kekeluargaan kami mengatasi semuanya.

Haji Hadi pernah bersembahyang di surau kecil tersebut, dan ia tidak pula merenggangkan hubungan Boh dan Dabas, pak saudara kami yang memegang jawatan setiausaha Umno bahagian pada waktu itu.

Dabas - walaupun Umno - tidak pernah meninggalkan solat lima waktu. Sejak muda beliau akan sentiasa berada di masjid apabila masuknya waktu sembahyang.

Sebelum meninggal dunia beliau dilantik sebagai pengerusi masjid kami. Masjid berkenaan terletak di sebelah jeti tempat Supi meninggal dunia.

Beliau juga bersabahat baik dengan Tuan Ibrahim Tuan Man dan mereka sering pergi menjala, memukat dan berburu bersama-sama.

Hari ini Boha dan Raya tidak lagi percaya kepada politik. Malah hampir semua daripada kami kini sekarang berpendirian begitu. Kami sendiri, sejak dari sedar, tidak pernah menyokong apa-apa partai politik.

Walaupun demikian semasa masih terlalu muda kami sempat terfikir mahu menjadi komunis akibat terpengaruh dengan mitos keajaiban Rashid Maidin.

Dalam satu kuliahnya yang kami hadiri, Boha menceritakan akibat buruk atas sesiapa yang mengkhianati agama dan juga perlunya kita semua ini berhati-hati menjalani hidup.

"Ada orang yang hidupnya diawali sebagai ahli syurga tapi akhirnya menjadi ahli neraka; dan ada orang awalnya kelihatan seperti ahli neraka namun mati sebagai ahli syurga," kata Boha. "Atas kita la nok jadi hok mana," tambah beliau lagi.


ABDULLAHJONES ialah penulis, pelukis dan anak jati Pahang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.