KOLUM | Fekah kepelbagaian tunjuk luasnya Islam
Baru-baru ini, tersebar di media sosial isu seorang guru tarikat dari negara luar bersalaman dengan seorang perempuan.
Sebilangan murid-muridnya mempertahankan gurunya itu. Mereka mengatakan bahawa guru mereka bermazhab Hanafi. Menurut mereka lagi, mazhab Hanafi menganggap lelaki yang bersalaman dengan perempuan tidak haram.
Kalangan yang anti kepada tarikat guru terbabit mendedahkan bahawa muridnya pada beberapa tahun lalu pernah menulis dalam laman facebooknya—menyatakan hukum haram bersalaman dengan perempuan.
Kejadian sebegini mengingatkan saya kepada beberapa isu besar yang pernah berlaku di Malaysia. Antaranya, dahulu cukup popular bahawa hukum mengucapkan Merry Christmas adalah haram. Apabila ada pihak yang berhujah bahawa di sana ada pendapat ulama yang kata tidak haram, pihak yang berhujah itu pula dituduh kononnya berfahaman pluralisme.
Namun, beberapa tahun kemudian golongan yang kononnya melawan pluralisme ini pula menyatakan bahawa hukum mengucapkan Merry Christmas tidak haram. Mereka pula mengambil pendapat yang dahulu mereka tuduh pluralisme.
Sekitar tahun akhir 80-an atau awal 90-an, PAS antara parti politik yang menggunakan jenama Islam pernah berhujah bahawa haram mengundi calon Adun atau Parlimen dari kalangan wanita.
Pelbagai hujah dari al-Quran dan hadis telah disampaikan oleh penceramah PAS di pentas politik untuk menegakkan pendapat mereka. Bahkan, mereka menuduh parti yang tidak setuju dengan mereka sebagai kalangan yang hampir dengan gelaran “anti-Islam”.
Namun, tidak sampai 20 tahun kemudian, PAS sendiri sudah menghantar calon Adun dan Parlimen dari kalangan wanita. Hujah dan dalil yang mereka kemukakan dahulu sudah tidak kedengaran lagi.
Saya kira, rata-rata rakyat Malaysia masih tidak lupa dengan “tragedi RUU355” yang dianggap perkara akidah oleh pendukung-pendukung PAS. Kesannya, wujud permusuhan antara muslim yang sama-sama menunaikan solat berjemaah serta mengucap syahadah.
Setelah mendapat peluang, bukan saja PAS tidak bahaskan dalam Parlimen, malah selepas menjadi kerajaan pun, PAS masih “peti sejukkan” RUU355. Persoalannya, di mana hujah rosak akidah yang pernah pemimpin dan ulama PAS hujahkan dahulu?
Masalah besar pada umat Islam di Malaysia (malah di dunia) ialah mereka menilai fekah itu dalam neraca sentimen kepartian dan aliran. Dengan sentimen itu, mereka gagal melihat keluasan Islam. Dengan sentimen itu, mereka telah cetuskan permusuhan sesama muslim dalam hal yang tidak sepatutnya berlaku.
Kenapa kita tidak ajar kepada umat bahawa antara keluasan islam adalah wujudnya perbicangan fekah kepelbagaian. Dalam fekah itu telah diajar kepada umat bahawa sesuatu pendapat yang kita sokong adalah benar, tetapi ada kemungkinan salah. Bahkan pendapat yang kita tidak sokong itu adalah salah, tetapi ada kemungkinan juga benar. Justeru, raikan kepelbagaian pendapat tersebut.
Selagi kita tidak menyedari apa yang telah diajar dalam keluasan Islam ini, mungkin kita akan terus berbalah dalam hal-hal agama yang remeh ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai