Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Hilangnya 'kambing hitam'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | Selepas mendengar berita pengunduran Lim Kit Siang daripada politik, saya membaca kembali buku yang ditulis Ooi Kee Beng tentang politikus veteran itu.

Membaca sejarah pengalaman Kit Siang berpolitik selama lebih lima dekad sangat menarik. Selama 56 tahun dia bergelumang dalam politik terutama melalui DAP sebagai wadah perjuangannya.

Memang sebelum ini sudah berkali-kali dia menyuarakan hasrat untuk bersara tetapi dia kembali muncul dalam dunia yang menjadi darah dagingnya itu.

Justeru ini bukan pernyataan tidak percaya kepada Kit Siang, cuma ini adalah dunia politik dan entah apa-apa saja boleh berubah. Sedangkan Dr Mahathir Mohamad pun berubah, apatah lagi Kit Siang.

Pengunduran Kit Siang dijadikan bahan kepada sesetengah pihak mendesak ahli politik yang seangkatan - atau sebaris - dengannya agar turut bersara. Tetapi ketahuilah bahawa hujah sebegitu tidaklah kuat untuk orang politik berundur demi memberi ruang kepada tokoh yang lebih muda mengambil tempat.

Di dalam buku itu, Kit Siang bercerita tentang perdebatan di antara dia dengan Prof Naguib al-Attas mengenai asas kebudayaan dan persuratan Malaysia. Ia merupakan debat mencari identiti negara dan bangsa yang berlangsung di auditorium Mara suatu ketika dulu.

Kit Siang juga pernah berucap di hadapan mahasiswa Universiti Malaya pada 1968.

Berhak berbeza pendapat

Saya kira suasana begitu adalah antara kehilangan yang sangat merugikan dalam dunia intelektualisme negara selepas universiti-universiti tempatan didinginkan dengan wacana.

Saya tidak memiliki momen menarik bersama dengan Kit Siang. Pertama kali saya mendengar dia berceramah ialah sewaktu malam pelancaran Gerak di Markaz Tarbiyah PAS di Taman Melewar, Gombak. Ia berlaku beberapa hari selepas Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri.

Kit Siang berpidato dalam bahasa Melayu dan dia ada kelas tersendiri. Namun pidato Presiden PAS ketika itu, Fadzil Noor, lebih berbisa dan menyengat.

Pendirian dan pandangan politik Kit Siang sering mengocak pemikiran saya, terutamanya dalam aspek kebudayaan dan idea politik Malaysian Malaysia. Dia juga mengkritik konsep ‘bumiputera’ yang dilihat oleh generasi baru di sekolah sebagai konsep yang ‘menyampah’ dan berasa ‘kecewa’.

Ia dengan mengambil contoh Syed Jaafar Albar yang lahir di Sulawesi dan Syed Naquib yang lahir di Bogor dianggap sebagai bumiputera tetapi Chen Man Hin yang lahir di Seremban dan DR Seenivasagam (lahir di Ipoh) dianggap bukan bumiputera.

Seperti kata Kit Siang, semua orang berhak untuk berbeza pendapat. Berbeza pendapat tidak menghalang kita mewujudkan keserasian berjuang. Kualiti kepimpinan Kit Siang memang diperlukan untuk negara kita.

Kelemahan Kit Siang tetap ada kerana dia adalah sama seperti kita iaitu manusia biasa. Di sebalik perbezaan pandangan dan kelemahan itulah manusia wajar mencari titik persamaan.

Asas pembinaan negara bangsa

Kegagalan paling ketara dalam pembinaan negara bangsa kita selama ini ialah mewujudkan titik pertemuan di antara dialog yang berbeza idea. Orang Melayu gagal memberi kefahaman tepat kepada golongan bukan bumiputera. Melayu gagal menjadi bangsa pentakrif tentang negaranya sendiri.

Pada masa yang sama, golongan bukan bumiputera tidak cukup meyakinkan orang Melayu untuk hidup bersama. Ia tidak berlaku pada semua orang bukan bumiputera, tetapi tetap memberi kesan.

Idea Malaysian Malaysia terus menjadi matlamat perjuangan DAP. Dengan menggunakan ideologi sosialis demokrat, Kit Siang meneroka jalan-jalan kemungkinan pelaksanaannya di Malaysia.

Idea tentang setiap warganegara mempunyai hak dan tanggungjawab yang saksama adalah suatu yang sukar diterima oleh Melayu yang terikat dengan latar belakang sejarah, psyche, geografi dan budaya yang tersendiri.

Kemerdekaan Malaya pada 1957 dan penubuhan Malaysia pada 1963 tidak hanya bermula pada tarikh tersebut. Rentetan sejarah sebelum itu seharusnya dijadikan asas kepada pembinaan negara bangsa di Malaysia.

Juga tentang konsep masyarakat Kepulauan Melayu dan Melayu itu sendiri perlu diperbahaskan secara meluas.

Hal-hal inilah yang menjadi perbezaan yang ketara dalam pemikiran Kit Siang dengan saya.

Saya berpegang bahawa asas-asas kenegaraan mestilah berasaskan kombinasi sejarah dan wawasan bersama. Ia tidak semata-mata bergantung kepada perlembagaan tetapi falsafah negara ini terbentuk.

Legasi perjuangan Kit Siang akan tetap diteruskan sama oleh para pengikutnya. Kit Siang akan kekal sebagai ‘Tok Guru’ kepada DAP. Bayangan Kit Siang itu akan tetap ada, bahkan namanya diletakkan sebagai ‘mentor’ sebagai penghargaan kepada tokoh berkenaan.

Mungkin status itu tidak berkuasa sebagaimana jawatan mursyidul am dalam PAS.

Pilih untuk menongkah arus

Anak kelahiran Batu Pahat itu pernah menjadi wakil rakyat di Johor, Melaka, Pulau Pinang, Selangor dan Perak. Sewaktu ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) mengintai kerusi kabinet Mahathir, dia seperti ingin mencontohi Ghandi atau Khomeini.

Walaupun tiada kuasa eksekutif tetapi memiliki kuasa de facto. Percaturan politiknya memang kamikaze.

Pengembaraan politik Kit Siang ibarat seorang pahlawan nomad. Dia menjadi ahli politik yang nomad dari satu wilayah ke satu wilayah lain untuk memperkukuhkan organisasi.

Dia datang dan membina tapak, kemudian bergerak meninggalkan wilayah yang sudah kukuh itu untuk pergi beradu tenaga di wilayah baru yang asing. Kadang-kadang kalah, kadang-kadang menang.

Jika mahu membina keyakinan nasional, dia melawan tokoh nasional. Begitulah sewaktu partinya ingin menguasai Pulau Pinang daripada Gerakan. Dia mengambil keputusan untuk menentang tokoh besar BN di pulau itu, Lim Chong Eu.

Kit Siang kalah kepada Chong Eu yang ketika itu menjadi ketua menteri Pulau Pinang.

Tetapi bagi Kit Siang, biarlah dia kalah berlawan di gelanggang lawan daripada menang di gelanggang sendiri. Ia merupakan pendekatan politik yang jarang diambil atau dicontohi orang lain. Ia bolehlah dianggap sebagai 'kerja gila' kerana dari Pulau Pinang hingga ke Tambak Johor, habis dikerjakannya.

Ketika ramai ahli politik mengintai wilayah-wilayah selamat untuk menjamin kelangsungan diri mereka, Kit Siang memilih untuk menongkah arus. Dia melangkah dengan mencari ruang orang lain membina wilayahnya sendiri.

Itu benar-benar langkah anak jantan!

Tidak seperti orang lain - jika sekali di Pasir Salak, hidup dan mati biarlah di Pasir Salak. Jika sekali di Marang, Pokok Sena atau Pasir Mas, maka mereka akan seboleh mungkin mahu kekal di situ hingga ke sudah.

Cuma Mat Sabu memiliki sedikit ciri-ciri nomad Kit Siang. Dia pernah bertanding di Kepala Batas, di Permatang Pauh, di Kuala Kedah, di Pendang, di Nilam Puri.

Malah dia pernah ke Kuala Terengganu dan kemudian terkini di Kota Raja. Namun bezanya Mat Sabu dengan Kit Siang, dia lebih banyak kalah daripada menang.

Mereka berdua pernah ditahan di bawah ISA semasa Operasi Lalang pada 1987. Itu merupakan tahanan kali kedua bagi mereka Mat Sabu dan Kit Siang.

Pengalaman bergaul dalam tahanan semacam memberi resipi bagi mengolah perbezaan perjuangan antara mereka.

Di sebalik semua itu, perlu juga diingat - jika Kit Siang benar-benar bersara daripada politik kali ini, mungkin ada Melayu yang akan mengalami kerugian politik. Kerana untuk mereka hilanglah satu kambing hitam untuk ditunjuk dan dipersalahkan bagi apa saja kebejatan yang terjadi.


MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan aktivis politik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.