Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Biarlah kami berpecah-belah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | Gurdians, Tigris, Black Panthers, Pistons, Warriors dan Titans adalah nama-nama pasukan yang bersaing dalam liga sepak takraw negara, atau nampaknya lebih gembira disebut sebagai Sepak Takraw League.

Jika sukan  yang sudah sebati dengan masyarakat berkulit sawo matang ini pun mendabik dada menggunakan nama dalam bahasa Inggeris, apa lagi harapan yang ada untuk kamu menang dalam apa yang kamu katakan sebagai perjuangan memartabatkan bahasa Melayu di negara ini?

Jika kamu memandu pergi dan balik dari Seremban ke Kuala Lumpur, kamu akan berjumpa kawasan perbandaran baru dengan nama-nama seperti Southville, Ainsdale dan juga Hamilton.

Bukan kita saja yang akan keliru akan di manakah kita ini berada, bahkan Superman juga akan keliru apabila dia mahu pulang ke Smallvile yang mana.

Dalam satu wawancara webinar di Singapura, Pricilla Shanmugam, seorang pereka fesyen terkenal dari republik tersebut mengatakan, perempuan Cina adalah kaum pertama yang memeluk kemajuan.

Bukti kepada perkara tersebut - menurut beliau - ialah kerana perempuan-perempuan Cinalah yang mula-mula sekali sudi berjabat tangan dengan orang asing.

Kata beliau itu adalah petanda betapa perempuan Cina menjadi maju pada hari ini.

Timur jadi teladan Barat

Secara peribadi kami ingin sekali mengatakan bahawa kami ada pandangan peribadi yang lebih daripada itu namun biarlah kami simpan saja pandangan tersebut sebagai ingatan kepada diri sendiri.

Pendewaan kepada apa saja yang asing - atau dibaca sebagai apa yang dibawa oleh orang putih seperti yang dicontohkan Priscilla itu - tidak terhad kepada satu-satu kaum sahaja.

Ada sesetengah pihak berpendapat, sebaik saja seseorang itu sudi bercium di khalayak ramai, memakai pakai yang terbelah hingga ke pangkal paha atau pun meraikan minuman keras maka secara automatik mereka perlu digelar sebagai orang yang maju.

Dari mana datangnya idea bahawa untuk maju semua orang wajib mencontohi bangsa Barat?

China jauh lebih maju dalam banyak hal sejak lebih dari 1,000 tahun lalu. Negara yang lain di sebelah Timur pula telah menjadi contoh teladan kepada Barat sejak beberapa lama.

Hatta untuk membawa fikiran bahawa hanya dengan menerangi lorong-lorong di bandar-bandar dapat mengurangkan jenayah, ideanya datang dari negara sebelah Timur.

Mungkin kerana giatnya promosi tentang betapa lazatnya hidup ini jika tidak dihalang daripada melakukan apa saja yang terlintas di hati oleh sesetengah orang Barat maka kamu yang tak cerdik ini pun tergesa-gesa mengikutnya.

Lalu kita kembali kepada cadangan sia-sia entah siapa baru-baru ini tentang bagaimana perlunya usaha memertabatkan bahasa Melayu di tanah air kita ini.

Kepada mereka kami katakan: Tak payahlah. Buang masa dan menghabiskan beras saja.

Di negara kita sendiri terdapat ramai Priscilla. Terdapat terlalu ramai mereka yang duduk di antara kita akan segera berteriak sebaik saja terdengar sepatah kata untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan semua bangsa di negara ini.

Kebencian yang datang kepada bangsa Melayu dijadikan alasan betapa adalah sesuatu yang menjijikkan jika semua orang harus menggunakan bahasa tersebut dalam semua urusan di negara ini.

Sudah-sudahlah berjuang

Tidak boleh juga salahkan mereka kerana memang ada antara orang dalam bangsa Melayu ini memang busuk lagi menjijikkan. Apabila diberi kuasa, dikhianatinya; apabila duduk berjawatan, habis segala isi negara menjadi harta peribadi tok wan mereka.

Ditambah pula kegagapan para pemimpin yang dipilih - atau tidak - dalam bertegas menjadikan rakyat negara ini bersatu sekurang-kurang dalam berbahasa.

Semuanya dilakukan mengikut kepentingan politik. Yang Melayu hanya bertempik mengenai bahasa hanya apabila mahu memancing undi bangsanya, manakala yang Cina pula menentang - juga untuk menang pilihan raya.

Jadi seperti yang kami nyatakan tadi, sudah-sudahlah berjuang unuk memertabatkan bahasa Melayu demi negara ini. Biar saja kami rakyat di bawah ini berpecah-belah dan hidup saling syak-mengesyaki.

Bukanlah orang politik lebih suka kami begitu, kerana dengan keadaan sedemikian, kami ini akan lebih mudah dikuasai dan diperhamba. Maka mudahlah 'pejuang' tadi memerintah negara ini dengan tenang, tanpa dibentak-bentak atau dipersoal.

Tidak ada perlunya lagi pemimpin negara ini bertanya akan hal rakyat dan kelaparannya. Bergasaklah kamu sesama sendiri bagi menentukan giliran siapa pula mahu kamu agihkan harta benda yang ada di negara ini.

Baser bodo blaker.


ABDULLAHJONES ialah penulis, pelukis dan pemerhati sosial.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.