Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | MB Selangor datang rumah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Baru-baru ini selepas satu lawatan kerja di Kajang, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari singgah di rumah saya. Beliau bersama-sama pegawai khas duduk makan, berbual dan membelek buku-buku saya menganjur sehingga sejam lebih.

Sebaik sahaja masuk ke rumah, beliau meminta izin untuk membelek rak buku saya. Kepadanya, saya mengeluh buku-buku saya yang banyak. Bahawa yang beliau lihat hanya sebahagian kecil daripadanya. MB dengan segera menawarkan untuk menempatkan buku-buku yang mungkin tidak lagi dihargai oleh anak-anak saya kelak, di sebuah koleksi khas.

Menurut beliau, kini sedang diatur satu rencana untuk menghimpunkan buku-buku simpanan figur tertentu, khusus yang langka; agar kelak dapat dimanfaatkan orang terbanyak. Kerajaan Selangor ingin menjadi pihak contoh.

Di luar duga saya, MB Selangor memiliki pengetahuan yang agak mendalam mengenai kesusasteraan. Maksud saya, tiadalah MB itu menerbitkan idea acara sastera dan seni daripada kesia-siaan. Melainkan memang nampaknya dia seorang pembaca sastera dan pengekor seni juga. Sebagai contoh, tidak ada lagi ahli politik yang saya temui mengenali mendiang Francisco Sionil Jose. MB nampaknya mengetahui karya-karya penting Frankie, seorang sasterawan besar dari Filipina. Malah menyatakan dukacitanya kerana Frankie meninggal dunia baru-baru ini.

Saya cuba membetulkan kenyataan MB bahawa Frankie belum meninggal. Tetapi ternyata yang silap saya, sungguhlah Frankie telah meninggal dunia awal tahun 2022. Saya yang tertinggal.

Ada ramai ahli politik yang saya kenal berpura-pura menunjuk minat dan arif akan bidang seni budaya. Ternyata mereka berpura-pura. Namun, MB Selangor yang ini sungguh berminat dengan bidang seni. Beliau mengenal karya-karya Dr Othman Puteh (walau tidak semua) sebagai misalan, menangkap dengan jelas dan yakin akan kerja-kerja besar Gabriel Garcia Marquez, salah seorang penerima Hadiah Nobel.

Keterbukaan beliau juga nampaknya mekar pada ruang wacana dan falsafah. Beliau tidak kekok berbicara soal adab dan etika, arif dan mahir siapa yang dipetik namanya; sehingga apabila sembang kami itu tergusur masuk ke wilayah politik, saya tidak lihat sebarang pertentangan dan ambiguiti. 

Apa yang menjadikan MB Selangor (yang baru berusia awal 40-an ini) menyinggah di rumah saya mungkin kerana kebetulan saya adalah ketua juri Hadiah Sastera Selangor. Di saat Dewan Bahasa dan Pustaka memperkecilkan saya, entah kenapa sekretariat hadiah itu memberikan saya status tegak sebagai penunjuk karya yang segak, dan yang tidak. Suatu tugas dan tanggungjawab yang besar di saat ada aneka tohmahan terhadap saya. Tambahan pula hadiah sastera itu kini sudah pun mengatasi Hadiah Sastera Perdana Malaysia dari segi nama dan gengsi. Lihat sahaja tumpuan pengarang baru dan juga yang lama terhadap penganjuran hadiah ini.

Orang awam tidak menyedari anugerah ini barangkali. Pun Hadiah Sastera Selangor dengan kesederhanaan yang menggigit telah memasuki tahun ketujuh pada tahun ini. Meskipun namanya itu Hadiah Sastera Selangor, penganjur memutuskan untuk membuka pertandingan kepada semua rakyat Malaysia dan tidak terhad kepada anak Selangor atau mereka yang menetap di Selangor sahaja.

Saya difahamkan ini adalah gagasan MB ini. Oleh sebab itu, tidaklah menghairankan hadiah ini dijadikan medan oleh pengarang muda seluruh negara untuk berkincah, selain mula diberi perhatian oleh karyawan mapan, untuk sama-sama ikut bersaing mempertahankan gelar dan nama.

Harus dinyatakan di sini untuk sekian kali, idea Hadiah Sastera Selangor ini merupakan idea daripada MB Selangor sendiri.

Dalam sejam lebih hampir dua jam itu, kami berbincang bagaimana untuk memperkukuhkan lagi anugerah berprestij ini dan terdapat beberapa idea MB yang saya rasa sangat baik, dan pasti memberikan kekuatan kepada kesusasteraan tanah air kelak. Saya amat teruja untuk merealisasikannya. Malah, saya menjelaskan, hadiah atau anugerah itu juga tidak sewajarnya mengesampingkan mereka daripada sastera Inggeris dan Mahua (sastera Mandarin tempatan). Maka nama-nama seperti Hanna Alkaf yang tidak mengenal siapa pun saya, dan Shih Li-Kow yang menurut saya sasterawan besar kita, nama mereka itu bergantian di mulut kami. 

Pada tika lain, kami bercakap pula mengenai teater dan filem tanah air. Sekali lagi saya terkesima kerana penguasaan beliau dalam genre teater tertentu, misalnya tragedi. Sehingga apabila kami menghubungkan tragedi dengan nasib politikus tertentu, ia menjadi renungan dan muhasabah yang buat seketika, sungguh mengkhayalkan.

Ada banyak yang saya kurang pasti menjadi lebih putih dan jernih apabila saya bertanyakan beliau sendiri. Satu dua isu hangat di Selangor yang sebetulnya tenggelam dek keruh siasah musuh. Saya faham sendiri sikap beliau terhadap agamawan misalnya. Atau apa yang mengganjalkan reformasi di negeri ini. Jikalau pembaca biasa menuruti rencana saya, penyakit yang saya selalu sebutkan itulah yang juga diconteng oleh MB.

Saya dapat mereguk dan menimbang buah fikir mengenai politik matang dan lemau. Kami sama-sama bimbang dan penat akan geruh yang sedang menimpa negara dan bersetuju kalau berhenti sekarang (kerana capek) akan hanya membiarkan negeri jahanam di tangan anjing liar keparat.

Tentu sahaja saya ingin melepaskan beliau dari percekcokan politik (dan khianat) di luar. Saya kira beliau pun lelah dengan politik dan hanya ingin bertukar fikiran mengenai arena yang menjadi minat dan kesungguhannya. Maka kami bercakap tanpa henti soal budaya dan pembudayaan yang betul. Betul-betul, sastera tidak akan meletakkan nasi dan sardin di atas permukaan meja kita. Namun, seniman yang ikut sama bergelut dengan nasib masyarakat ketika saat juang dan getir dapat menggerak dan memandu masyarakat secara waras tentang apa yang sedang menimpa.

Di saat masyarakat terlena, atau meraba, sasterawan adalah manusia jaga yang mengejutkan. Sastera dengan itu menjadi manual. Jika ada negarawan mahu ikut bersama, ya, itu kompas terbaik.

Maka saya amat girang kerana ada pemimpin yang tersingkap hijab seninya.

MB memberitahu saya, beliau ingin menulis banyak tentang insiden dan episod tertentu dalam hidup politiknya. Saya merangsang agar segera dikarang (meski bukan segera diterbitkan) moga-moga akan menjadi pedoman generasi mendatang.

Setelah MB beredar, merapikan sisa hidangan berupa nona manis, popia sira dan roti jala, kuih tart nanas dan seteko teh tanpa gula, saya menggulana dan tergundah betul dalam cepu kepala; sebenarnya kita kadang tercari-cari pemuka masa hadapan. Kita terlupa ada intelligentsia dalam kalangan kita kerana kita terlalu mencari.

Padahal mereka mungkin sahaja ada di sisi.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.