Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Bagaimana perkauman jahanamkan kita

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | Kes Sam Ke Ting berlaku pada awal pagi 18 Februari 2017. Lebih malang daripada kemalangan ini, pemandu kereta ialah seorang Cina, dan lapan orang remaja berbasikal lajak yang terbunuh ialah Melayu. Mahu atau tidak, suka atau tidak, hampir pasti tragedi ini akan diwarnai sentimen perkauman.

Mahkamah majistret membebaskan Sam pada 28 Oktober 2019, bulan ke-17 Pakatan Harapan memerintah di Putrajaya.

Jikalau kita terlupa suasana politik ketika itu, tulisan pemimpin PAS, Iskandar Abdul Samad ketika berkongsi pautan berita tersebut boleh menggilap ingatan kita, “Ok Tuan2, faham ye kedudukan kita di negara ini. Skrg Tuan2 nak buat apa?”

Bayangkan, andainya pendakwa raya tidak merayu, lantas membubuh noktah pada kes Sam Ke Ting, apakah yang akan terjadi? Kita semua tahu kesudahannya.

Biar kita bersikap rasional ketika menilai kes ini. Kita mempunyai lapan keluarga yang kehilangan anak mereka, sementara kita mempunyai Sam Ke Ting yang muncul di tempat kejadian dan terlibat dalam kemalangan, pada usia 22 tahun ketika itu. Kesemuanya anak Malaysia.

Sama ada Sam Ke Ting bersalah atau tidak, kita menyerah kepada pertimbangan hakim.

Tidak banyak yang mampu kita lakukan, kerana keputusan mahkamah tertakluk kepada undang-undang yang digubal, dan mengikut prosedur yang sedia ada.

Kita berharap definisi “memandu secara melulu” akan diperincikan pada peringkat Mahkamah Rayuan, mengambil kira segala situasi yang berlaku pada awal pagi 18 Februari 2017.

Netizen yang rasional sudah tentu menyedari impak keputusan mahkamah terhadap dirinya. Ramai yang membayangkan jikalau dirinya Sam Ke Ting.

Andainya seseorang mematuhi semua peraturan keselamatan sebagaimana Sam, iaitu memandu tanpa pengaruh alkohol dan dadah, mengikat tali pinggang keledar dan tidak menggunakan telefon bimbit, pada masa yang sama terserempak dengan sekumpulan remaja berbasikal lajak, apakah mereka juga akan mengulangi jejak Sam?

Saya mengikuti perbincangan netizen. Sesetengahnya mengemukakan persoalan yang wajar kita teliti dengan sebaik-baiknya.

Misalnya, ada yang mempersoalkan, bagaimana jikalau yang melalui tempat kejadian itu adalah sebuah ambulans?

Apakah pemandu ambulans itu juga akan dituduh dan dijatuhkan hukuman yang sama?

Kesemua ini harus kita pertimbangkan, bukan sekadar berlaku adil kepada Sam Ke Ting, tetapi juga bagaimana kita menguruskan konflik kita pada masa depan.

Kaca mata perkauman

Namun perbincangan kita boleh meleset jikalau isu ini ditinjau dari kaca mata perkauman. Bayangkan, betapa bahayanya jikalau ada yang mendakwa “bagaimana seorang Cina boleh dibebaskan setelah lapan orang Melayu terbunuh?”

Jikalau kita terpaksa tunduk kepada sentimen ini, dan menjatuhkan hukuman yang tidak setimpal semata-mata untuk meredakan kemarahan yang dihasut, ia boleh menjadi senjata yang makan tuan.

Bayangkan, andainya tragedi sedemikian berlaku pada masa depan, dengan si pemandunya berketurunan Melayu, dan mereka yang terbunuh adalah Cina, bukankah mahkamah akan juga berdepan dengan tekanan dari masyarakat Cina?

Kerana andainya hukuman itu lebih ringan berbanding apa yang diterima Sam Ke Ting di peringkat Mahkamah Tinggi, bukankah ia mengundang pertikaian bahawa keputusan itu tidak adil kepada masyarakat Cina?

Malah jikalau sentimen ini menular, bukankah ia merobek hubungan masyarakat kita?

Dan inilah bagaimana perkauman boleh menjahanamkan masyarakat Malaysia, tidak kira perkauman itu dari komuniti etnik mana.

Sedangkan kita sedar, bahawa setiap kes berlaku dalam situasi yang berbeza, dan hakim hanya membuat keputusan berdasarkan bukti dan keterangan yang sedia ada.

Sentimen perkauman hanya merumitkan situasi, tetapi tidak menyelesaikan masalah kita buat selama-lamanya.

Saya terserempak dengan komen sesetengah netizen, yang menuduh Sam Ke Ting mabuk ketika memandu, dan ada pula yang menuduh Sam memandu secara menongkah arus.

Saya kurang pasti sama ada tuduhan ini dilontarkan secara sengaja atau tidak, kerana kemungkinan netizen yang melemparkan tuduhan ini terkeliru antara kes Sam dengan kes yang lain.

Namun, kita tidak menolak kemungkinan bahawa mentaliti sedemikian terbentuk dari prejudisnya bahawa semua kes kemalangan yang melibatkan non-Muslim, disebabkan kemabukan.

Dalam kes ini, imej stereotaip perkauman telah memutar-belitkan fakta, lantas tidak berlaku adil kepada Sam. Bagaimana perbincangan kita menuju ke arah kebenaran, jikalau berasaskan maklumat yang palsu?

Ilmu sosiologi

Hakikatnya, perbincangan kita harus tertumpu kepada masalah sosial di sebalik tragedi ini. Jangan sesekali perbincangan kita dialih untuk menuding jari kepada keluarga yang gagal memantau anak-anak mereka, seolah-olah golongan ini pencetus masalah kepada masyarakat.

Saya terpandang perbandingan dengan logik “apakah saya bersalah jikalau melanggar lembu yang melintas jalan?”; dan saya tidak bersetuju dengan analogi sedemikian, kerana ia amat mengguris perasaan keluarga mangsa.

Padahal, aktiviti “basikal lajak” ini harus ditelaah dari segi sosial, yang tidak terpisah dari isu ekonomi, perancangan bandar dan sebagainya.

Tragedi ini mencungkil ingatan saya terhadap kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada September 2017, yang meragut 23 nyawa. Ia tercetus kerana perselisihan antara dua kumpulan remaja, dan berakhir dengan tindakan balas dendam yang membinasakan.

Membaca wawancara dengan jiran di sekitar itu mencelikkan kita betapa parahnya masalah sosial dalam komuniti ini.

Cuma, seperti biasa, isu keluarga ibu bapa tunggal, ibu bapa bekerja dua atau lebih untuk menampung kos sara hidup keluarga, ruang kediaman yang sempit, ketiadaan ruang awam untuk aktiviti remaja dan sebagainya, tidak diberi perhatian yang setimpal.

Krisis ini tidak terserlah selagi tidak melibatkan pertembungan dua etnik yang berbeza. Tetapi inilah krisis sebenar yang menghimpit kehidupan kita saban hari.

Iktibar kepada semua

Saya kurang pasti, berapa nyawa lagi yang diperlukan, sebelum kita menyedari bahawa apa yang kita perlukan adalah penggubalan dasar, perancangan pembangunan yang mampu merungkaikan masalah sosial kita; dan bukannya pemimpin yang lantang melaungkan retorik perkauman untuk menjadi wira bangsa.

Masalah sosial kita tidak selesai dengan menjadikan kaum lain sebagai musuh, dan kemudian menghukumnya, untuk menunjukkan bahawa kaum kita masih mendominasi atas bumi ini.

Sam Ke Ting pada 18 Februari 2017 ialah seorang Cina. Sam Ke Ting pada masa depan boleh jadi seorang Melayu, atau mana-mana kaum.

Sam boleh jadi seorang jurujual, kerani, atau pemandu ambulans. Untuk saya, siapa pun Sam, masalah ini boleh dikendalikan dengan baik selagi kita memiliki sistem kehakiman yang bebas, adil dan profesional.

Gambar fail, hantaran netizen mengaitkan kes Sam dengan DAP.

Lebih penting, lapan nyawa yang melayang dalam tragedi sebegini. Mereka masih muda, dan selayaknya menikmati hidup yang beraneka ragam pada masa depan.

Mereka seharusnya meluncur di landasan hidup yang terang dan masih jauh lagi penghujungnya, bukannya atas jalan raya yang gelap gelita sebelum menempuh kereta.

Saya tiada masalah dengan sesiapa yang mahu memperkasa bangsanya. Cuma, setelah berlakunya tragedi ini, semakin jelas iktibarnya kepada kita semua, bahawa kehebatan bangsa bukan diukur berdasarkan bagaimana kita menghukum Sam Ke Ting, tetapi bagaimana kita mencegah kehilangan nyawa anak-anak muda pada masa depan, lantaran kegagalan kita menangani gejala sosial.

Sam Ke Ting tidak muncul andainya remaja ini tidak berada di jalan raya yang gelap pada awal pagi, dan remaja ini akan berada di tempat yang terang dan selamat, jikalau pemerintah melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik untuk menjamin kepentingan semua.


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).

Artikel ini pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.