Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Selut Ukraine

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Dalam sistem ekonomi kapitalis jual beli ialah kunci induk penggerak. Tanpa jual beli sistem ekonomi kapitalis akan malap dan runtuh. Justeru untuk mengalahkan musuh ekonomi negara musuh wajib dihancurkan. Justeru muncul strategi perang yang dikenali sebagai sekatan ekonomi.

Apabila Perang Ukraine pecah pada 24 Februari 2022 ayat: economic sanction - dalam Bahasa Inggeris semakin kerap kita dengar. Ini kerana langkah pertama yang diambil oleh seteru Rusia dan sahabat Ukraine ialah melakukan economic sanction - sekatan ekonomi.

Seyogia diberi tahu bahawa strategi sekatan ekonomi ini bukan satu perkara yang baru. Raja Haji (1727-1784) dari Riau pernah melakukan sekatan ekonomi terhadap Belanda. Pahlawan dan pendekar Raja Haji telah menyerang, melanun, merompak untuk menghalang kapal pedagang keluar masuk ke pelabuhan Melaka yang dikuasi oleh Belanda.

Pada tahun 1959 kerajaan Cuba di bawah pimpinan Fulgencio Batista ( 1901-1973) yang setia kepada Amerika telah dijatuhkan oleh Fidel Castro (1926 -2016). Pada tahun itu Amerika mula menyekat ekonomi Cuba.

Sebelum Cuba, Amerika telah menjalankan sekatan ekonomi ke atas Korea Utara pada tahun 1950. Ini ketika Amerika berperang dengan China dalam Perang Korea (1950-1953).

Sekatan ekonomi ke atas Iran bermula tahun 1979 apabila Shah Reza Pahlavi (1919-1980) yang setia kepada Amerika dijatuhkan oleh Ayatolah Khomeini (1902-1989). Sekatan ini ditarik pada tahun 1981 dan dikenakan kembali pada tahun 1987 hingga ke hari ini.

Ekonomi NIcaragua disekat pada tahun 1985. Syria dikenakan sekatan ekonomi pada tahun 1986. Sekatan ekonomi keatas Iraq bermula pada tahun 1990 sesudah Iraq melanggar Kuwait.

Sekatan ekonomi ini akan menyekat produk eksport daripada dapat dijual. Menyekat barangan import dari dapat dibeli. Tujuan sekatan ekonomi ini untuk menyusahkan negara itu.

Menyusahkan negara bermakna menyusahkan warga negara yang kena sekat. Bertujuan untuk melumpuhkan ekonomi. Bertujuan untuk memufliskan negara. Bertujuan untuk menurunkan nilai mata wang negara yang dijadikan sasaran.

Bila warga negara jadi susah, hilang mata pencarian, susah untuk mendapat barang keperluan luar. Contohnya di Iraq, ubatan dari luar negara tidak dapat dibeli. Warga terseksa dan negara jadi muflis.

Berdasarkan teorinya, orang ramai akan marah terhadap kerajaan. Kehidupan payah lagi susah ini akan menaikkan semangat warga untuk bangun memberontak melawan kerajaan.

Dalam kata lain sekatan ekonomi ini menganjurkan dan mengapi-apikan pemberontakan. Rakyat dalam negara yang ekonomi disekat wajib bangun memberontak. Memberontak untuk menjatuhkan kerajaan yang sedia ada. Bila kerajaan sedia ada jatuh maka sekatan ekonomi akan dibatalkan.

Ini teori strategi sekatan ekonomi. Dari segi praktikalnya sekatan ekonomi tidak berjaya menukar kerajaan. Belum ada kerajaan jatuh kerana sekatan ekonomi.

Cuba, Korea Utara, Syria, Iran dan Nicaragua - masih gah berdiri sebagai negara yang berdaulat. Negara-negara ini dikacau diganggu tetapi tidak runtuh.

Betul warga negara yang dikenakan sekatan menjadi susah dan marah. Tetapi kemarahan mereka diterjemahkan bukan terhadap rejim yang memerintah tetapi kepada kuasa imperialis Amerika.

Kebencian dan sikap anti Amerika meledak naik. Malah sentimen nasionalisme memuncak dan diarah untuk memperkuat kerajaan yang sedia ada.

Malah, sekatan ekonomi ini juga mewujudkan industri dan pasaran dalaman. Bahan luar tidak dapat dibeli – dilupakan. Dalam negara muncul sikap berdikari.

Contoh terbaik ialah Korea Utara. Semenjak sekatan ekonomi dikenakan rejim Korea Utara telah menjalankan dasar Juche. Dasar ini mengajukan kekuatan diri, berdikari dan membina kekuatan jati diri. Juche mengajukan negara kukuh berdaulat tanpa melanguk menadah tangan meminta bantuan negara lain.

Gambar fail, perarakan tentera Korea Utara di Pyongyang.

Jangan lupa kita juga pada satu ketika mengamalkan Juche. Daripada apa yang dicatat sejarah ketika Jepun menduduki Tanah Melayu – kita berdikari.

Orang kampung bercucuk tanam makanan, membuat minyak dari kelapa, membuat sabun sendiri dan membuat garam dari air laut.

Keperluan menjadi pemangkin ciptaan. Apa dampak sekatan ekonomi ke atas Rusia sekarang?

Sekatan ekonomi terus diperketat. Satu demi satu tindakan sekatan dijalankan oleh Amerika. Semua bertujuan untuk melemahkan ekonomi Rusia dengan harapan Rusia akan bertaubat.

Bank Negara Rusia dan pelbagai bank Rusia yang lain telah dikenakan sekatan. Rusia dikeluarkan dari SWIFT – (Society for Worldwide Interbank Financioal Telecommunication). Ini adalah pengurusan perniagaan antara bank Rusia dengan bank luar negara.

SWIFT ini dikatakan bom nuklear yang akan menghancur musnah ekonomi Rusia.

Apakah ekonomi Rusia runtuh?

Ini menjadi lawak kerana sekatan ekonomi ini juga dikenakan ke atas individu yang dikatakan rapat di sekeliling Putin. Penasihat politik, oligarch-cukong, ahli perniagaan yang rapat dengan Putin semua disekat kewangan bank mereka.

Lawak bodoh menjadi lawak bangang apabila Presiden Biden dari Rumah Putih telah mengumumkan sekatan ekonomi menutup akaun bank dan membekukan harta Maria Voronsova dan Katerina Tikhonova jika ada di Amerika.

Minah dua orang ini adalah anak gadis kepada Presiden Putin. Maka dua perempuan Rusia menjadi susah lagi sulit untuk membeli burger dari Mek Dogal dan kempunan dari merasa nikmat Kentaki Fried Fak. Dan tidak dapat minum kopi dari Starbucks. Kah kah kah.

Sekatan ekonomi ini menjadi lawak kerana ekonomi dunia sekarang bukan lagi di zaman Raja Haji. Juga bukan di zaman Castro atau Ayatollah Khomeini. Sistem ekonomi kapitalis hari ini adalah jaringan ekonomi global. Ikat-berikat, kait-berkait.

Sistem ekonomi kapitalis yang bersifat global ini menjadi musuh kepada strategi sekatan ekonomi.

Justeru Karl Marx ahli falsafah German 100 tahun dahulu telah menunjukkan bahawa sistem ekonomi kapitalis ini akan membunuh diri sendiri.

Ini dibuktikan dengan tindakan balas Presiden Putin. Rusia memberi arahan semua bahan bakar minyak dan cecair gas yang dibeli dari Rusia wajib menggunakan Ruble bukan Dolar atau Euro.

Sebelum dan ketika perang berjalan negara-negara Eropah Barat masih mengimport 40 peratus tenaga bahan bakar mereka dari Rusia.

Untuk lari dari SWIFT China bersama Rusia berjaya membuat satu saluran perniagaan bank yang baru. Sistem CIPS (Cross-Boder Interbank Payment System) yang masih kecil tapi berpotensi untuk menjadi pesaing hebat kepada SWIFT.

India tak ambil ‘pot’

Dalam masa yang sama bukan semua negara bersetuju tunduk kepada permintaan Amerika untuk tidak berniaga dengan Rusia. Negara contoh terbaik ialah India. Kini India semakin banyak membeli minyak dan gas dari Rusia.

Jelas projek boikot minyak dan gas Rusia ini gagal. Ini menaikkan kemarahan Amerika terhadap India. India tidak ambil 'pot' bila berhadapan dengan kemarahan Amerika. Untuk India yang penting ialah kepentingan ekonomi India sendiri.

Sikap India ini sama seperti sikap Jerman, Hungary, Perancis dan Itali yang perlu bahan bakar minyak dan gas dari Rusia. Norway, Bosnia, Serbia dan Belarus mengimport 99 peratus gas keperluan negara dari Rusia.

Data tahun 2020 menunjukkan negara Kesatuan Eropah mengimport 2.2 juta tong minyak sehari dari Rusia. Apa yang jelas tanpa minyak dan gas dari Rusia ekonomi negara-negara ini juga akan runtuh. Amin.

Jika sekatan ekonomi gagal maka timbul persoalan apa yang akan dilakukan seterusnya oleh Amerika?

Perang Ukraine akan masuk ke bulan ketiga. Tidak ada tanda-tanda jalan penyelesaian akan dicapai.

Dari segi bala tentera Ukraine ini kacang putih untuk Rusia. Kekuatan dan teknologi Rusia berlipat ganda berbanding dengan Ukraine. Tapi dari laporan media dunia diberitahu bahawa warga dan tentera Ukraine telah berjaya memberi tentangan yang hebat.

Dari mana datangnya kekuatan Ukraine?

Apa yang jelas Ukraine terus bertahan kerana di belakang Ukraine ini ialah negara Nato (North Atlantic Treaty Organisation). Perjanjian Persenjataan dan Pertahanan ini dianggotai oleh 30 buah negara. Kepala besar Nato ialah Amerika.

Justeru taktik dan strategi Nato adalah taktik dan strategi untuk merealisasikan kepentingan Amerika.

Punca numero uno awal wahid Perang Ukraine ialah niat Ukraine untuk menjadi anggota Nato. Jika Ukraine dalam Nato ini akan mengancam keselamatan Rusia.

Rusia telah menjelaskan bantahan dan memberi amaran menentang niat Ukraine ini secara terbuka kepada Kesatuan Eropah, Nato dan Amerika. Fakta dan amaran Rusia pasti akan membawa bencana. Ini diketahui oleh Amerika.

Jika Amerika tahu bencana akan timbul kenapa disokong niat Ukraine untuk menjadi anggota Nato?

Amat jelas Amerika sekali lagi mengulangi taktik dan strategi yang telah Amerika lakukan di Afghanistan.

Pada ambang Hari Krismas 24 Disember 1979 tentera Rusia telah masuk ke Afghanistan. Dengan cekap lagi pantas Amerika telah mewujudkan pasukan bersenjata penentang Rusia.

Kumpulan yang dikenali sebagai Mujahidin diberi senjata, diberi dana dan disokong secara gelap dan secara terbuka oleh Amerika.

Hasil strategi Amerika ini Rusia terjerut ke dalam Selut Afghanistan. Selama sembilan tahun Mujahidin bergerila melawan tentera Rusia. Akhirnya pada 15 Februari 1989 tentera Rusia mengundur dari Afghanistan. Rusia kalah di Afghanistan.

Kali ini, Amerika sedang memasang perangkap untuk menjerut leher Rusia masuk ke Selut Ukraine. Seperti di Afghanistan Amerika akan terus mempersenjatai rakyat Ukraine untuk memerangi Rusia.

Pada tahap ini jelas kelihatan taktik ini berjaya. Dari hari ke hari tentera Rusia sedang disedut masuk ke dalam Selut Ukraine .

Sama seperti di Afghanistan Amerika mahu perang ini berpanjangan. Lagi lama perang ini berterusan lagi baik untuk Amerika. Perang membawa harga yang mahal. Nyawa dan harta benda akan musnah.

Lagi lama Rusia berperang dengan Ukraine lagi huru-hara, kucar-kacir ekonomi Rusia.

Niat dan cita-cita Amerika cukup jelas. Bumi Rusia yang kaya dengan hasil bumi yang masih dara wajib di teroka oleh syarikat multi nasional milik Amerika.

Menurut kajian ilmu alam dan kaji bumi Rusia terbukti kaya dengan sumber alam. Minyak, gas dan bahan galian masih melimpah ruah dalam perut bumi Rusia. Siberia – wilayah besar dari Eropah hingga ke Asia – masih lagi berhutan dara belum dirogol oleh jentolak Caterpillar.

Kota, bandar dan pekan Ukraine akan runtuh rantah punah ranah. Ratus ribu warga Ukraine akan tewas gugur. Jutaan warga Ukraine akan menjadi statistik warga pelarian perang.

Semua imej perang, data perang dan fakta kemusnahan ini akan digunakan oleh media arus perdana Amerika dan jaringan di seluruh dunia bukan untuk menghentikan perang. Malapetaka dan kesengsaraan warga Ukraine ini akan digunakan untuk mengolah persetujuan warga dunia untuk menyokong Amerika terus membekal senjata kepada Ukraine.

Amerika mahu sekali lagi melihat Rusia terus berdarah meleleh seperti terjerut leher dalam Perang Afghanistan. Amerika mahu melihat tentera Rusia bercawat ekor pulang ke Moscow.

Amerika masih berdegil dan terus membekal senjata kepada Ukraine. Presiden Putin telah memberi amaran. Langkah Amerika ini akan membawa mudarat.

Bencana dan tempias dari Perang Ukraine ini sedang mengampuh dunia.

Apakah Perang Ukraine akan membawa ke Perang Dunia Ketiga? Paling menakutkan apakah amaran Presiden Vladimir Putin ini mencakupi juga amaran penggunaan senjata nuklear? Tunggu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.