Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Ukraine dan senjata nuklear

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Memiliki senjata nuklear ini dari segi teorinya adalah untuk mempertahankan diri dari diserang musuh. Contoh terbaik, bom nuklear dijadikan benteng oleh Korea Utara agar tidak diserang Amerika.

Amerika ada bom nuklear. Korea Utara juga ada bom nuklear. Kau ada bom. Aku pun ada bom. Kalau aku diserang  maka sebelum aku mati aku akan ledakkan bom nuklear.

Bom nuklear juga digunakan untuk menakut-nakutkan musuh. Israel memiliki bom nuklear. Musuh Israel ialah negara Arab, di sekeliling Israel, yang tidak memiliki bom yang sama. Justeru tujuan Israel ialah untuk menakut-nakutkan negara-negara Arab agar jangan berani bersepakat menyerang Israel.

Dalam dunia hari ini ada sembilan buah negara yang memiliki bom nuklear – Amerika, Rusia, China, United Kingdom, India, Pakistan, Israel, Perancis dan Korea Utara. Dalam dunia hari ini ada kurang lebih 13,000 bom nuklear.

Ada disimpan di tempat rahsia, tertanam dalam silo. Ada tersangkut dalam kapal terbang. Ada terpasang di dalam kapal selam.

Negara terbanyak memiliki peluru berpandu berkepalakan bom nuklear ialah Rusiadengan 5,977 biji, diikuti oleh Amerika (5,428). China memiliki  350 biji. Israel ada 90 biji. Korea Utara ada 20 biji. India ada 160 manakala Pakistan ada 165 biji. United Kingdom ada 225 dan Perancis ada 290 biji peluru berpandu nuklear.

Mazhab yang menyokong bom nuklear mengajukan pandangan bahawa dunia jadi aman kerana ada bom nuklear. Contohnya dua negara super–Rusia dan Amerika–berbalah tapi tidak berperang.

Mazhab ini berhujah, Eropah aman damai sesudah ledakan bom Atom di Nagasaki dan Hiroshima. Little Boy meledak di Hiroshima pada 6 Ogos 1945. Fat Man diletupkan di Nagasaki pada 9 Ogos 1945. Dua ledakan bom atom itu menamatkan Perang Dunia Kedua pada tahun 1945.

Teknologi senjata nuklear yang dimonopoli oleh Amerika satu ketika dahulu  kini diketahui juga oleh banyak negara.

Pada tahun 1962 Rusia ingin memasang misil nuklear di Cuba yang hanya 90 batu jauhnya dari Amerika. Kehadiran senjata Rusia ini  mengancam Amerika. Senjata nuklear hampir digunakan dalam babak sejarah yang dikenali sebagai Cuban missile crisis. Hakikatnya pada tahun 1962  Amerika hampir berperang dengan Rusia dengan menggunakan bom nuklear.

Seperti tahun 62

Pada masa yang sama, tiga buah  negara pemilik senjata nuklear terus hidup dalam suasana perang. India memusuhi Pakistan. China memusuhi India. Korea Utara pula menayangkan senjata nuklearnya kepada Korea Selatan dan Jepun.

Kali ini pada tahun 2022 dunia berhadapan sekali lagi dengan senjata nuklear. Ini sama seperti tahun 1962.

Perang Ukraine  kini sedang membawa kehancuran ke atas banyak pekan dan bandar Ukraine. Perang ini juga  sedang menghuru harakan dunia.

Tidak ada negara – sama ada penyokong Amerika – penyokong Rusia atau berkecuali tanpa pendirian – terlepas daripada bencana dan tempias perang  ini.

Rusia dan Ukraine adalah  pengeluar dan pengeksport gandum terbesar dalam dunia. Perang mengganggu laluan gandum. Di Turki, di Pakistan dan di Timur Tengah harga  tepung  melonjak naik.

Dalam masa yang sama harga bahan bakar petrol dan gas mendadak naik.  Bahan bakar ini diperlukan untuk mengangkut bahan makanan. Ini menjadikan bukan hanya harga tepung naik malah hampir semua bahan  makanan dalam dunia ini meledak naik.

Perang Ukraine membawa inflasi. Harga pengangkutan naik maka harga bahan yang diangkut juga naik. Inflasi bermakna bahan jualan kurang. Pemintasan tidak kurang. Dalam masa yang sama  duit banyak maka harga bahan menjadi mahal. Siapa  berani bayar lebih akan dapat barang yang diperlukan.

Pada ketika ini ekonomi negara terutama di negara membangun sedang kacau dan huru hara. Pandemik serangan Virus Wuhan baru hendak reda. Selama dua tahun ketika Covid-19 mengamuk, ekonomi semua negara terganggu gugat.

Membaiki kekacauan ekonomi akibat Virus Wuhan beluam selesai lagi. Tetiba dunia berhadapan pula dengan Perang Ukraine.

Politik, ekonomi dan  kestabilan sosial dalam banyak negara sedang tergugat. Lebanon kini menjadi negara muflis dan negara gagal. Sri Lanka dan Pakistan sedang dalam keadaan huru-hara.

Turki dilanda kenaikan harga bahan makanan yang belum pernah dialami. Agensi berita Reuters  melaporkan pada 4 April 2022 inflasi untuk bahan konsumer di Turki telah meledak naik ke 61.14%. Nilai lira–matawang Turki–merudum jauh.

Di Pakistan krisis ekonomi memangkin krisis politik. Perdana Menteri Imran Khan dijatuhkan melalui undi tidak percaya. Kini politik jalan raya sedang menjadi politik arus perdana di Pakistan.

Tempias perang

Sri Lanka dihempap hutang. Kerajaan Rajapaksa adik-beradik–abang presiden dan adik perdana menteri–sedang memutar cerita menggoreng rakyat untuk menyelamatkan diri dan keluarga Rajapaksa.  Rakyat telah keluar ke jalan raya menuntut  perubahan. Sri Lanka sama seperti Lebanon yang telah muflis tanpa dana untuk membeli barang import.

Apa yang berlaku di negara-negara ini adalah sebahagian dari tempias dan kesan Perang Ukraine.

Mari kita fahami apa yang tersimpan dalam perancangan Vladimir Putin ketika dia melancarkan operasi istimewa terhadap Ukraine pada 24 Februari 2022.

Laporan berita dan propaganda media  Barat membawa cerita tentang niat Putin untuk membangunkan semula  Empayar Soviet Union. Mereka menggambarkan Putin memasang cita-cita untuk memperluas wilayah Rusia ke zaman Empayar Czar.

Ini laporan karut. Bukan sahaja cerita yang dijual oleh media Barat ini karut malah ia amat berbahaya. Semua berita ini dirancang untuk menutup cerita yang sebenarnya.

Media dan propaganda  Barat cuba mengabur dan menenggelamkan sebab-musabab yang memangkin Putin menjalankan special operation terhadap Ukraine.

Barah Ukraine telah lama menanah. Dunia tidak di heboh-hebohkan bahawa sebelum  perang pecah, Amerika telah menghantar banyak senjata ke Ukraine. Pelbagai jenis senjata termasuk senjata berat bukan untuk bertahan tapi untuk menyerang telah diterima oleh Ukriane dari Nato.

Pada 24 Januari 2022  akhbar New York Times melaporkan sepintas lalu tentang 150 pakar tentera Amerika berada di Ukraine. Juga terdapat 30 pakar tentera British memberi latihan penggunaan kereta kebal buatan United Kingdom di Ukraine.

Malah ketika tulisan ini digarap, hampir 1,500 penasihat dan pakar tentera Amerika dan sekutu dalam Nato  sedang dan beroperasi di Ukraine. Penasihat  dan pakar Amerika dan Nato ini telah  berada di Ukraine sebelum perang  pecah. Fakta ini tidak dihebohkan  oleh Media Barat.

Justeru Rusia mengetahui niat dan  strategi Amerika dan Nato. Terbukti sebelum menjadi anggota Nato, Ukraine telah dibekalkan dengan senjata berat dan ringan. Bayangkan jika menjadi anggota Nato, pasti senjata nuklear milik Nato akan dipasang di Ukraine.

Menyedari hakikat ini pada hemat Vladimir Putin, Ukraine  bukan lagi tentang  keselamatan Rusia. Ukraine tidak lagi dilihat sebagai ancaman ke atas Rusia. Kini Vladimir Putin sedang   berhadapan dengan krisis kewujudan  Rusia. Ukraine membawa persoalan  hidup atau matinya negara yang bernama Rusia.

Apabila Putin menjalankan operasi istimewa, dalam kepala Putin, yang dihadapi bukan Ukraine tapi kuasa bala tentera Amerika dan Nato.

Krisis kewujudan Rusia

Putin melihat dengan jelas bahawa Amerika sedang melengkapi persenjataan Nato untuk menyerang Rusia. Amaran dan ingatan Rusia agar Nato tidak menambah dan memperluaskan ahli tidak dipedulikan oleh Amerika.

Tekanan Amerika terhadap Rusia dirasakan oleh Jerman dan Perancis. Justeru Perjanjian Minsk pada 2014 ditandaitangani antara Rusia dengan Ukraine. Jerman dan Perancis menjadi saksi. Perjanjian ini bertujuan untuk mengendurkan ketegangan dan bentrokan yang sedang berlaku di wilayah Donbass. Gencatan senjata dipersetujui.

Perjanjian Minsk Dua ditandatangani pada Februari 2015. Ini bertujuan untuk bertukar tahanan perang.

Semua ini diperhatikan oleh Amerika dengan sebelah mata. Amerika kurang senang dengan apa yang dilakukan oleh Jerman dan Perancis. Perjanjian Minsk ini mengalih niat Amerika yang mahu perang antara Ukraine dan Rusia berlaku.

Perjanjian Minsk gagal. Rusia menuduh Ukraine dan Ukraine menuduh Rusia tidak menepati janji.

Perang pecah. Bila perang pecah Putin dan Rusia tidak ada pilihan melainkan menang. Menang maknanya Putin berjaya menjadikan Ukraine negara berkecuali seperti Austria.

Ukraine menjadi negara berkecuali adalah agenda asas untuk Rusia. Ukraine tidak memihak kepada Amerika dan Nato. Ukraine  juga tidak memihak kepada Rusia dan tidak pula memusuhi Rusia.

Inilah agenda Rusia.

Jika agenda asas ini gagal maka Putin akan berhadapan dengan krisis kewujudan Rusia. Justeru Putin tidak ada jalan lain melainkan wajib berjaya dengan agenda asas.

Justeru dunia telah dua kali  mendengar Putin memberi ingatan kepada pasukan askar yang bertanggungjawab menjaga senjata nuklear Rusia agar terus bersedia.

Apakah Putin akan meledakkan senjata nuklear?

Dunia mengharapkan tidak. Tapi Putin berhadapan dengan krisis kewujudan Rusia. Gagal dengan agenda asas Putin sendiri akan tersingkir dan Rusia akan terbarai.

Inilah dilema yang sedang dihadapi Putin. Amerika tahu akan fakta ini. Maka presiden Biden terus meneruskan pembekalan senjata kepada Ukraine.

Akan samai satu tahap Rusia tidak dapat bertahan lagi maka Putin akan menekan butang senjata nuklear. Warga dunia  berharap tahap ini tidak akan sampai. Ledakan bom atom di Nagasaki dan Hiroshima menamatkan Perang  Dunia Kedua. 

Jika bom nuklear meledak di Kyiv, ia akan menamatkan semua perang dan juga umat manusia. Amin.


HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.