Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Mercun wajar diharamkan kecuali… 

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Saya kira, hampir semua rakyat Malaysia mengakui bahawa membakar mercun ada kaitan dengan kebudayaan masyarakat Cina ketika sambutan tahun baru mereka. 

Saya tidak tahu berkenaan kepercayaan masyarakat Cina di sebalik amalan tersebut.

Apa yang pasti, dalam agama Islam tidak ada amalan membakar mercun. Islam mengharamkan pembaziran dan perbuatan sia-sia. Jika ada kaitan dengan kepercayaan tertentu pula, sudah pasti Islam menolak amalan membakar mercun kerana kerana ia tidak munasabah pada akal. 

Islam juga amat tegar menolak amalan khurafat. 

Di Malaysia, Islam sering dikaitkan dengan orang Melayu. Apabila orang Melayu bermain mercun, perlu diingat bahawa tidak semestinya menggambarkan ajaran agama Islam. 

Hal ini kerana terdapat ramai orang Melayu tidak mengikut ajaran Islam.

Di musim raya seperti Aidiladha dan Aidilfitri, tidak sedikit daripada kalangan orang Melayu bermain mercun. Amalan bidaah budaya dan agama ini, belum lagi ditegur oleh mana-mana mufti di Malaysia.

Saya tidak tahu apa kebaikan yang ada pada mercun. 

Untuk saya, mercun ini tidak lebih sekadar gangguan suara, bising, menyusahkan anak-anak kecil tidur, menganggu ketenangan awam dan pembaziran serta membuka ruang kepada kebakaran dan kerosakan. 

Atas alasan ini, saya fikir mercun wajar diharamkan di Malaysia. 

Namun begitu, satu sahaja yang saya masih tidak tahu, iaitu kaitan mercun dengan kepercayaan masyarakat Cina. 

Jika ia tidak ada kaitan dengan kepercayaan bangsa Cina, saya mahu mencadangkan kepada masyarakat Cina agar bersedia membuang amalan ini.

Namun, jika ia ada kaitan dengan kepercayaan yang dianggap tidak boleh dibuang, saya mencadangkan agar:

Membakar mercun hanya dibenarkan kepada sesuatu badan yang diizinkan oleh kerajaan. Mereka tidak dibenarkan membakar mercun kecuali setelah mendapat keizinan pihak berkuasa.

Kawasan perumahan adalah tempat yang perlu diharamkan pembakaran mercun.

Perlu disediakan satu tempat yang khusus untuk dibenarkan bakar mercun, seperti di kawasan ibu kota sahaja.


WAN JI WAN HUSSIN ialah seorang pendakwah dan penulis.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.