Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | 40 hari tidak menulis

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | Selama 40 hari saya tidak menulis apa-apa kecuali menghantar mesej melalui WhatsApp. Sepanjang tempoh itu tiada sebarang kemas kini atau hantaran di mana-mana media sosial.

Empat puluh hari itu adalah tempoh saya membiarkan mata dan otak membaca pemikiran serta tingkah laku sekeliling.

Namun ia adalah tindakan atas pilihan sendiri, bukan kerana dihukum, menghukum atau terkena sekatan.

Juga bukan kerana terpengaruh mogok seni seperti Pak Samad lakukan suatu ketika dahulu. Kerana jika saya mogok pun, tiada siapa yang kecewa atau rugi.

Berhenti menulis sebenarnya bermakna separuh daripada diri kitra tidak berfikir. Itu petanda detik-detik berakhirnya sebuah kehidupan. Ia juga merupakan detik hilangnya harapan, kepercayaan yang meluput.

Tidak menulis juga bermaksud seseorang itu boleh memilih menjadi abid yang bertafakur di dalam masjid. Mengisi ruang Ramadan dengan sebanyak-banyaknya sembahyang, zikir dan munajat di depan Kaabah.

Ke Tanah Suci untuk menziarah makam Rasulllah SAW dan para sahabat di Baqi' sambil merenung panjang di pergunungan Badar, Uhud dan menikmati kesyahduan bacaan Imam Sudais di Mekah adalah momen-momen mendekatkan diri dengan Tuhan.

Tetapi syair Hamzah Fansuri tiba-tiba mengingatkan:

Hamzah Fansuri di dalam Mekah
Mencari Tuhan di Baitul Kaabah
Dari Barus ke Kudus terlalu payah
Akhirnya ditemukan di dalam rumah
.

Tanah air ini adalah rumah kita. Di sinilah kita dapatkan kebenaran, keadilan, kedamaian daripada Tuhan. Tanah air ini memberi kita banyak makna kehidupan. Di sini kita boleh temui kebesaran Tuhan dan kebenaran.

Kemeriahan sambutan Aidilfiti yang tertangguh bertahun-tahun lalu adalah kesempatan mengisi kekosongan dalam jiwa bangsa ini. Kebebasan bergerak, berhimpun dan berjumpa yang dinikmati sekarang seharusnya bukan sekadar mengisi roh Syawal tetapi boleh membangkitkan semangat bernegara yang kian padam.

Adakah mereka terjangka

Betapa tanah air ini telah dibebani dengan derita dan berita duka bertimpa-timpa. Ia bukanlah merujuk kepada tempoh 22 bulan yang sering diserapahkan bersama falasi serta tohmahan yang sarat kebencian itu.

Kebencian selalu menerbitkan rasa permusuhan. Untuk apa harus meratap, kecewa atau pasif pada masa hadapan. Untuk apa menunggu dua atau tiga kali pilihan raya untuk kembali berkuasa? Itu petanda kematian jiwa sebelum waktunya. Itu isyarat kalah sebelum berlawan.

Lihatlah PAS yang kalah dalam pilihan raya umum (PRU) lalu, tetapi Tuan Ibrahim Tuan Man, Takiyuddin Hassan dan Idris Ahmad tetap menjadi menteri. Apakah mereka menjangkakan hal itu?

Seperti juga Mohamad Sabu dan rakan-rakannya yang tidak pernah terfikir untuk menjadi menteri selepas 9 Mei 2018? Di ceruk-ceruk kampung, masih ada orang yang masih terkejut kerana menjadi ketua kampung, ahli majlis kerajaan tempatan atau memegang jawatan atas ihsan.

Lihatlah Najib Razak yang sudah disabitkan bersalah oleh - bukan satu tapi - dua mahkamah negara namun dia masih dapat bermegah dan mendabik dada ke seluruh negara dengan banggsa.

Dia masih menjadi tetamu kehormat dan diraikan dari rakyat di bawah hingga ke istana. Bibir merahnya tetap menguntum senyuman panjang.

Lihatlah juga lucunya aksi pengkritik kerajaan yang pada masa sama masih kekal bersedap-sedap dengan jawatan yang diberikan atas ihsan politik.

Masalah bersifat sementara

Itulah makna nikmat kehidupan dunia yang tidak pernah padam. Untuk apa mereka melepaskan jawatan jika semata-mata tidak sehaluan dalam politik? Zaman berteguh dengan prinsip idealisme seperti sudah berakhir. Ini zaman politik kekuasaan yang mesti dinikmati.

Apakah nikmat yang diperolehi daripada tarikh 9 Mei 2018 dan nikmat beribadah di Tanah Suci semasa Ramadan? Jangan melarikan diri daripada realiti dengan mencipta ‘kambing hitam’ dan ‘syurga’ yang boleh memberikan jalan kebenaran dan ketenangan sementara.

Tarikh 9 Mei 2018 sangat bermakna kepada semua warganegara Malaysia. Itulah detik bagaimana tuntutan beragama dan bernegara tercapai. Sekali gus memecah khurafat politik paling lama di tanah air ini.

Abaikan sementara permasalahan titik bengik yang ada di sana sini yang bersifat sementara.

Detik kejatuhan rejim Umno-BN adalah titik tolak kesedaran bernegara dalam kalangan masyarakat. Ini berlaku apabila penggemblengan seluruh kekuatan yang ada kepada matlamat mewujudkan negara yang baru, dinamik dan bebas daripada khurafat politik yang panjang.

Ini kerana detik itu menyuntik kebangkitan kepada semua pihak. Daripada kaum liberal hinggalah kepada kaum fasis dan juga fanatik agama hingga ateis. Sehingga masing-masing mendapat nafas baru dan meraikan kehidupan yang lebih bebas.

Masing-masing cuba membina ‘syurga’ dan sekali gus mencari ‘kambing hitam’ untuk dihumban ke neraka.

Inilah zaman anarki. Zaman tiada kerajaan yang benar-benar berkuasa. Yang lemah menjadi pemimpin; yang kalah, menjadi kerajaan; manakala yang menang tinggal berangan.

Zaman ketidaktentuan yang sedang mencari jalan ke arah ketentuan.

Kerana itu, kita mesti menulis. Supaya semoga masyarakat tidak berhenti membaca. Berhenti menulis bermakna berhenti berfikir dan berhenti membawa negara keluar dari kerangka anarki ini.

Kita mesti bawa masyarakat kepada zaman sebuah kerajaan yang berwibawa, bermaruah dan mantap menjadi pelindung rakyat dan warganya.

Kerana itu, semakin dada kita hampir dengan Kaabah, sepatutnya semakin hampir diri kita dengan masyarakat di tanah air. Semakin hampir kaki kita dengan makam Rasullullah, semakin hampir diri kita dengan umatnya dengan kasih sayang.

Semakin hampir mata kita dengan Saqifah Bani Sai’dah, semakin kita memahami perbezaan dan konflik politik umat.

Kerana itu, semakin luput tarikh tempoh PRU, semakin perlu kita memperkuatkan kedudukan masing-masing. Bersiap siaga menghadapi PRU yang dianggap semakin sengit. Masing-masing sudah menikmati kesedapan dan keenakan kuasa.

Ini pertarungan paling epik dalam sejarah demokrasi tanah air; merebut kekuasaan. Apakah zaman idealisme politik sudah ke penghujungnya?


MUHAIMIN SULAM ialah penulis dan penyelidik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.