Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Ignoran terdidik

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Saya pernah menjalani kursus sarjana di sebuah universiti tempatan dan kemudian berkhidmat sebagai karyawan tamu di universiti di Pantai Timur. Saya mendapat pengalaman bergaul dengan mahasiswa yang jauh lebih muda dan dengan graduan universiti secara langsung. 

Terus terang saya katakan saya bimbang dengan situasi hari ini. Seramai 17,613 pelajar universiti awam tidak meneruskan pengajian tahun lalu. Seramai 5,165 pelajar lagi menangguhkan pengajian tanpa mengemukakan alasan, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Noraini Ahmad.

Bagi pelajar universiti swasta seramai 20,577 pelajar menangguhkan pengajian.

Antara faktornya kerana masalah kesihatan, masalah peribadi atau keluarga, masalah kewangan dan untuk mendapatkan kerja.

Saya perhatikan keadaan di negara ini dengan teliti untuk memahami keadaan di sebalik wabak. Saya mendapat kesimpulan yang membimbangkan.

Mungkin saya tidak faham dan masih terperangkap dengan ruang lingkup 30 tahun dahulu.

Pada dasarnya lebih ramai rakyat berpendidikan tinggi berbanding 30 tahun lalu. Ramai orang memiliki ijazah, sarjana dan PhD. 

Kita mempunyai lebih banyak maktab, kolej, universiti, sekolah, madrasah dan institusi pembelajaran tidak formal yang lain. 

Kita mempunyai lebih ahli akademik terdiri daripada profesor, pensyarah dan guru. Banyak kertas penyelidikan dihasilkan ssusulan ledakan pendidikan diseluruh negara. 

Itu satu perkembangan yang boleh dibanggakan.

Sebaliknya, saya melihat banyak isu penting yang nampaknya tidak berubah atau semakin meruncing dari hari ke hari dalam hal ehwal domestik.

Ekstremisme agama dan ketaksuban berkembang pesat secara terbuka dan tidak dikawal.

Intoleransi budaya berada pada kemuncaknya dengan isu-isu bodoh menjadi tumpuan netizen yang asyik dengan media sosial.

Setelah 18 tahun duduk di luar negara–Timur Tengah–apabila berhijrah balik kerana sakit strok hampir empat tahun lepas, saya mendapati Malaysia masih jauh di belakang. Politik terus menguasai.

Masalah banjir di Lembah Kelang adalah perkara biasa sekarang. Suatu ketika dahulu banjir kilat jarang berlaku. Denggi makin meningkat walaupun kita tidak banyak mendengar tentangnya, apa lagi kanser dan strok.

Penggunaan dadah masih wujud dalam kalangan kanak-kanak, remaja dan pelajar universiti secara meluas. Pelacuran, gelandangan, warganegara tidak berdaftar, pendatang tanpa izin seperti Rohingya– semua ini isu yang masih ada dan tidak akan ke mana-mana dengan kerajaan yang tidak menentu.

Kedai buku berganti komik

Hutang isi rumah yang tinggi terus membimbangkan. Ahli politik korup masih ada dan menentukan dasar dan menyebarkan politik pragmatik, seolah-olah kita masih dalam tahun 80-an.

Kita melihat semakin sedikit kedai buku yang memberikan ilmu pengetahuan. Ia digantikan dengan kedai komik, majalah peleseran dan novel romantik.

Apa yang sedang berlaku sungguh membimbangkan.

Selepas bergelar graduan setelah meninggalkan universiti di New Zealand hampir 30 tahun saya merasakan sistem pendidikan Malaysia sebenarnya menyebarkan satu bentuk ignoran kepada mahasiswa. 

Menurut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2019, graduan Malaysia meningkat kepada 5.29 juta atau 6.9 peratus lebih tinggi pada 2019 berbanding 4.94 juta (2018). 

Peratusan graduan dalam tenaga buruh pula meningkat 6.8 peratus daripada 4.14 hingga 4.42 juta orang pada 2018 hingga 2019. 

Begitu juga kadar penyertaan tenaga buruh graduan pada 2019, menurun 0.1 peratus iaitu daripada 83.6 peratus kepada 83.5 peratus, menurut Mariatul Qatiah Zakaria.

Pada tahun sama, jumlah penganggur siswazah adalah seramai 170,300 orang. Dan jumlah ini meningkat sebanyak 5.5 peratus berbanding tahun 2018 sebanyak 161,300.

Sementara itu, laporan kajian Institute of Student Employers (ISE) pula menyatakan, tahap pengambilan pekerja atau pasaran buruh graduan dan pelajar latihan atau penempatan Malaysia turun 15 peratus kepada 29 peratus tahun lalu.

Dijangka penurunan ini akan berlanjutan sehingga tahun depan dengan lebih 30 peratus penurunan mungkin terjadi khususnya bagi siswazah. 

Trend penurunan ini, bermula 2019, menyaksikan berlakunya lambakan graduan di pasaran tenaga buruh. Perkara ini semakin kritikal. 

Ketika berlaku lambakan, sebanyak 85 program akademik di 20 universiti awam seluruh negara dilupuskan pada tahun lalu.

Kita cenderung untuk berfikir bahawa ignoran bermaksud tidak tahu membaca dan menulis. Itu cuma ignoran dalam satu cara dan bentuk. 

Mungkin ada tanggapan baru tentang ignoran apabila seseorang dididik dalam pengetahuan yang standard dan tidak pernah berfikir untuk mempersoalkan pembinaan itu.

Contohnya seseorang yang masuk madrasah sejak kecil tidak pernah mempersoalkan imannya. Bagi saya dia seorang ignoran tentang persekolahan dan ilmu yang ada hanya dengan belajar di madrasah. 

Baca buku apa, soal profesor

Profesor di universiti tempatan pernah bertanya kepada pelajar jurusan perniagaan yang baru menamatkan pengajian, buku apa yang akan dibacanya untuk memperbaiki dirinya? Buku apa yang akan dibaca untuk menghadapi prospek mencabar ketika 800,000 graduan menganggur?

Graduan merenung dengan pandangan kosong, wajahnya seolah-olah berkata, "Apa kejadahnya? Saya baru menamatkan pengajian. Tidak perlu membaca lagi!" 

Memang siswazah hanya membaca untuk lulus peperiksaan, bukan untuk mendekatkan diri dengan ilmu pengetahuan.

Sewaktu di Universiti Waikato New Zealand, perpustakaan adalah rumah pertama saya. Saya membaca pelbagai buku dan berinteraksi dengan pelbagai mahasiswa sama ada orang Pakeha, Maori, Samoa, Tonga–dari seluruh dunia. 

Saya mendapat ilmu yang akhirnya terserlah dalam bidang penulisan saya.

Berbalik kisah tadi, sang profesor bertanya, syarikat mana yang graduan itu ingin sertai.

Dia menjawab, "Mana-mana syarikat yang akan mengupah sayalah.”

Profesor itu juga bertanya kepada pensyarah yang sangat senior, yang sedang dipertimbangkan untuk jawatan profesor: Kika dia menulis buku dalam bidang  yang akan mengubah masyarakat, apakah mesejnya? 

Pandangan kosong dan senyap.

Sepatutnya pensyarah itu melihat masyarakat dengan terbuka dan memberikan pendapat untuk menambahkan keprihatinan.

Ini sungguh merisaukan. Ada persoalan lebih besar, apakah semua ini disebabkan politik–pencampuran politik dalam pendidikan?

Mahasiswa hanya tahu dan berfikir yang itu sahaja, yang ada dan relevan untuk kehidupan.

Mahasiswa dilatih dalam bidang kemahiran dan bukan untuk berfikir dan melihat luar daripada universiti. 

Mahasiswa hanya belajar kemahiran. Mereka diajar untuk melakukan sesuatu perkara dalam mod standard. 

Kecemerlangan ditakrifkan sebagai mengikut arahan standard yang paling hampir dan pengeluaran banyak kertas akademik standard dengan kertas kerja dan esei.

Masyarakat kita yang berpendidikan ialah masyarakat zombi yang mengikuti aliran gaya hidup, ritual kerja dan struktur ekonomi yang mengekalkan pergantungan sepenuhnya, tunduk kepada pihak berkuasa dan reaksi yang ditentukan terhadap sesuatu isu.

Pencerahan

Perkataan kebangkitan atau pencerahan jarang didengar dalam ceramah, forum, seminar atau dalam buku-buku universiti.

Kebangkitan adalah memerhatikan amalan dan ritual akademik dengan penilaian diri yang kritikal dan sentiasa terbuka dengan pendapat berlainan.

Pencerahan ialah kesedaran bahawa apa yang dialami dalam konstruk standard harus dimasukkan ke dalam kotak dan konstruk yang lebih baru.

Kesimpulannya, kita mempunyai ratusan institusi pendidikan dengan berpuluh-puluh ribu guru dan ahli akademik sedang memandu berjuta-juta pelajar dan graduan ke arah ignoran terdidik.

Umur saya mungkin tidak panjang untuk melihat lebih besar perubahan dan perkembangan anak-anak muda dengan ignoran terdidik.


MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE, Arab Saudi dan New Zealand. Dia pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta CEO dan pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan 20 buah judul buku dan pemenang lima Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Dia kini menjadi OKU setelah diserang angin ahmar.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.