Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Kalau saya Elon Musk

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kalau saya Elon Musk, saya akan membandingkan antara Jokowi dengan Ismail Sabri Yaakob, antara dua negara Asean yang berebut mahu mencuri hatinya untuk melabur.

Dengan kira-kira 270 juta orang, Indonesia adalah negara keempat paling ramai penduduk di dunia. Ia juga negara majoriti Muslim paling ramai penduduk.

Penduduk Malaysia pada 2021 dianggarkan 32.7 juta berbanding 32.6 juta pada 2020.

Dalam kalangan 11 negara Asia Tenggara, Malaysia berada di kedudukan ketiga dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita berjumlah AS$11,414 (RM47,782).

Indonesia berada pada tempat kelima dengan AS$4,135 (RM17,310).

Malaysia mempunyai keluasan 329,847km persegi. Indonesia sebagai negara kepulauan terbesar di dunia memiliki 18,018 pulau, dengan sekitar 7,000 pulau yang berpenghuni. Keluasan keseluruhannya 1,904,569km persegi.

Statistik ini cukup untuk membezakan antara dua negara berjiran dan berkongsi pulau Borneo–tempat ibu kota baharu Indonesia, Nusantara.

Dalam ekonomi sedang pesat membangun, Malaysia menyaksikan inflasi melonjak sehingga lapan peratus tahun ini. 

Perang di Ukraine dijangka mengekalkan peningkatan kos tenaga manakala kesesakan bekalan global yang berterusan menghalang pertumbuhan, menurut ramalan IMF.

Konflik Rusia-Ukraine memberi tekanan kepada harga komoditi–minyak dan gas–selepas bertahun-tahun pelaburan lemah dan ketidaktentuan geopolitik.

Media Indonesia seolah-olah menyindir Malaysia dengan laporan dengan tajuk “Bye-bye Malaysia-Thailand, ekonomi RI pulih duluan”. 

Indonesia dikatakan menyertai Singapura, Amerika Syarikat, Korea Selatan dan China yang sudah pulih sepenuhnya dari segi ekonomi.

Ekonomi Indonesia kini setanding dengan beberapa negara maju dan berada di paras prapandemik. Ekonomi Indonesia sudah 1.5% di atas prapandemik.

Kedudukan Indonesia sekarang berada di kedudukan yang lebih baik berbanding negara jiran seperti Malaysia dan Thailand, berbanding sebelum wabak Covid-19. 

Laporan itu memudahkan Elon Musk membuat pilihan. 

Terbaca pula berita dakwaan Jokowi tidak dihormati sebaik tiba di Washington DC untuk menghadiri Sidang Kemuncak Khas Asean-AS pada 12-13 Mei.

Tiba tak disambut?

Perkara yang diperkatakan seperti adegan Jokowi turun dari pesawat dan tidak disambut mana-mana pegawai tinggi Amerika. 

Pengkritik presiden itu berkata ia menunjukkan betapa tidak pentingnya Jokowi dalam politik dunia.

Di tengah-tengah keriuhan itu, pegawai Amerika yang menyambut Jokowi berkata ia sememangnya selaras dengan protokol. Perkara ini dikesalkan kerana orang membuat kesimpulan sendiri tanpa memahami keadaan sebenar.

Tiada seorang pun perdana menteri–baik Kemboja (Hun Sen), Malaysia (Ismail Sabri), mahupun Vietnam (Phạm Minh Chính)–disambut oleh pegawai Amerika sebaik tiba di Washington DC.

Sidang Kemuncak Khas Asean-AS menandakan 45 tahun hubungan AS dengan blok Asia Tenggara itu.

Pada masa yang sama, Malaysia melalui Ismail Sabri di Washington menjemput kumpulan perniagaan Amerika untuk melihat dengan lebih dekat Malaysia sebagai destinasi pelaburan pelbagai bidang, termasuk sektor automotif. 

Ismail Sabri mengalu-alukan syarikat, khususnya Fortune 500, untuk melabur atau meningkatkan pelaburan mereka di Malaysia, khususnya dalam bidang ekonomi digital dan teknologi hijau serta sektor kenderaan elektrik (EV). 

Untuk tujuan ini, Ismail Sabri berkata beliau telah menjemput pembuat kereta elektrik Amerika Tesla untuk melihat Malaysia sebagai hab pengeluaran.

"Saya telah mencadangkan kepada Tesla untuk melabur di Malaysia dalam mengeluarkan kereta elektrik," katanya kepada wartawan Malaysia.

Ismail Sabri berkata beliau telah meminta US-ABC, yang mewakili 170 perniagaan utama Amerika di Asia Tenggara, memainkan peranan lebih besar dalam menarik pelaburan ke Asean, khususnya Malaysia. 

Beliau menambah bahawa majlis itu menganggap Malaysia sebagai rakan dagang penting Amerika Syarikat.

Tawaran Malaysia kepada pembuat EV Amerika adalah jauh di belakang perbincangan sebenar yang dicapai oleh Indonesia. 

Telah lama Indonesia berbincang dengan Tesla mengenai kebarangkalian untuk membangunkan kilang di republik itu untuk membuat bateri untuk EV-nya.

Mulanya, perbincangan gagal pada bulan Mac kerana Tesla hanya berminat untuk membina bateri untuk sistem penyimpanan tenaga dan bukannya untuk keretanya. 

Bagaimanapun, dilaporkan bulan lepas Indonesia memulakan semula perbincangan dengan Elon Musk untuk menyertai industri nikel dan EV yang sedang berkembang di Indonesia.

Rizab nikel terbesar di dunia

Indonesia telah lama mendesak untuk pelaburan dalam EV dan pembuatan bateri dengan menggembar-gemburkan rizab nikel dan kobaltnya yang digunakan dalam pengeluaran bateri litium ion serta bauksit yang boleh diubah menjadi aluminium. 

Indonesia yang mempunyai rizab nikel terbesar di dunia ingin membina rantaian bekalan penuh untuk mengekstrak bahan kimia bateri daripada logam itu dan bukannya mengeksportnya sahaja.

Jokowi bertemu Elon Musk di Texas untuk membincangkan potensi pelaburan dan teknologi selepas perbincangan peringkat kerja mengenai potensi pelaburan dalam industri nikel Indonesia dan pembekalan bateri untuk kenderaan elektrik.

Wakil Tesla berada di Indonesia untuk mesyuarat mengenai potensi pelaburan berkaitan bateri namun Tesla tidak memberikan komen segera berhubung perkara itu.

Indonesia selama bertahun-tahun cuba memuktamadkan perjanjian dengan Tesla mengenai pelaburan bateri dan berpotensi untuk syarikat aeroangkasa SpaceX milik Musk.

Jokowi menjemput bilionair itu melawat Indonesia pada November kerana Indonesia menjadi tuan rumah sidang kemuncak Kumpulan 20 ekonomi besar di Bali pada November. 

“Mudah-mudahan pada bulan November,” kata Elon Musk dengan menambah mungkin ada ruang untuk perkongsian dalam banyak perkara, kerana Indonesia mempunyai banyak potensi dan ruang untuk perkembangan.

Indonesia mempunyai rizab nikel terbesar di dunia, dan Jokowi berminat untuk membangunkan industri EV berasaskan nikel. Daripada membuat logam nikel, kepada menghasilkan komponen bateri dan memasang kenderaan elektrik. 

Pada masa lalu, Jokowi juga menggesa Elon Musk untuk mempertimbangkan tapak pelancaran roket di Indonesia.

Dua perjanjian memberikan momentum baharu kepada dorongan Jokowi untuk membangunkan industri berkaitan EV ketika pembuat kereta global bergelut untuk mendapatkan bekalan bahan bateri dan mengurangkan pergantungan kepada China.

Masih belum kedengaran dari Ismail Sabri yang mungkin masih mencari idea.

Untuk itu, jika saya Elon Musk, siapa yang akan saya pilih, Malaysia atau Indonesia?


MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE, Arab Saudi dan New Zealand. Dia pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta CEO dan pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan 20 buah judul buku dan pemenang lima Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Dia kini menjadi OKU setelah diserang angin ahmar.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.