Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Mengenang Mustafa yang sederhana

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Selang beberapa hari takbir raya Aidil Fitri berakhir, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Mustafa Shaari meninggal dunia. Dia ialah Yang Dipertua PAS Pasir Salak mulai 1998 hinggalah hayatnya berakhir.

Cuma ada beberapa kali dia terpaksa melepaskan amanah itu kerana masalah kesihatan.

Pada musim pemilihan kepimpinan PAS Pusat pada 2015, ada orang yang berbisik ke telinganya: "Muhaimin tu jebon". Maknanya, saya patut disingkirkan daripada barisan kepemimpinan parti. Namun arwah tetap pertahankan saya.

Dalam pemilihan di peringkat kawasan, kami teruskan kepimpinan sedia ada. Dia menjadi yang dipertua, manakala sebagai timbalannya. Pasir Salak itu kawasannya sekangkang kura-kura. Tidak berbaloi untuk sesiapa pun bertegang urat, berkerat rotan.

Ketika PAS berdepan dengan gejolak dalaman, saya membuat permintaan khusus kepada arwah. Sebagai timbalan yang dipertua, saya memohon Ustaz Mustafa memanggil mesyuarat khas PAS Pasir Salak.

Kepada arwah itu saya maklumkan bahawa agenda mesyuarat khas tersebut hanya satu: saya mahu mengumumkan peletakan jawatan dan menyertai Amanah sebagai bahtera baru.

Arwah setuju dengan permintaan saya. Ahli mesyuarat pula hanya mengetahui agenda tersebut pada malam mesyuarat diadakan. Kisah itu ada saya rakamkan dalam novel Pembunuhan di Tanah Perkebunan.

Muncul ketika ada krisis

Tidak mungkin dia bersetuju mengadakan mesyuarat itu hanya kerana saya adalah timbalannya di Pasir Salak. Ia lebih kerana kami percaya bahawa parti politik itu hanyalah wadah perjuangan.

Dia tentu sekali tidak bersetuju dengan keputusan yang saya buat, tetapi itu bukanlah bermakna segala-galanya berakhir dan terputus di antara kami.

Ustaz Mustafa berasal Kampung Tanjung, Kampung Gajah. Bapanya, arwah Haji Shaari ialah bekas Ketua Pemuda PAS Kampung Gajah pada era 1960-an. Sekitar kawasan itu merupakan kubu kuat PAS. Surau Kampung Tanjung dijadikan markas dan tadika PAS, Pasti, dibuka di bawah surau berkenaan.

Ia merupakan antara PAS awal yang ditubuhkan oleh Pemuda PAS Pasir Salak pada penghujung 1980-an.

Nama arwah Ustaz Mustafa mula muncul di celah-celah penghujung krisis dalaman di antara Pemuda PAS Pasir Salak dengan PAS kawasan itu pada 1998.

Ketika itu, dia baru sahaja kembali ke tanah air selepas menamatkan pengajiannya di Universiti al-Azhar.

Nama Ustaz Mustafa dicadangkan untuk dicalonkan bertanding sebagai yang dipertua bagi mencabar penyandangnya, Ustaz Ibrahim Ariffin. Ustaz Ibrahim merupakan lulusan Universiti Islam Sumatera pada 1970-an. Ustaz Ibrahim - orang Banjar Sungai Manik - pernah menjadi Ketua Pemuda PAS Hilir Perak.

Dia pernah terlibat sebagai calon dalam PRU. Misalnya pada 1982 Ustaz Ibrahim mewakili PAS untuk cuba menawan kerusi parlimen Grik, dan empat tahun kemudian menjadi calon parti itu untuk DUN Sungai Manik.

Pada PRU 1990, dia terpaksa memberi laluan kepada bendahari PAS kawasan, Ali Daud, menjadi calon DUN Sungai Manik sebagai langkah mengendurkan konflik dalaman sekali gus seluruh parti dapat memberikan fokus melawan Umno.

Namun usaha itu tidak memadamkan api pertelingkahan dalaman parti.

PRU 1995, Ustaz Ibrahim dicalonkan untuk bertanding atas tiket PAS di DUN Sungai Manik namun Pemuda PAS Pasir Salak memboikot. Mereka membawa jentera pilihan raya pemuda ke kawasan DUN Rungkup untuk membantu calon PAS di situ, Mohd Arif Yasin.

Gerakan reformasi beri kesan

Ketika itu Ustaz Mustafa masih di Mesir dan saya membantu jentera pilihan raya PAS di DUN Sungai Manik. Tiga atau empat tahun selepas itu pergolakan dalaman PAS Pasir Salak semakin tajam.

Ia semakin meruncing menjelang pemilihan kepimpinan parti yang berlangsung pada 1998.

Politik kita ialah politik "hitam atau putih" dan bukan yang lain-lain. Sejak dulu hingga kini. Politik sejahtera dan matang, misalnya, hanyalah pembungkus kata untuk sedap didengar saja.

Saya dan Ustaz Mustafa berada di tengah-tengah krisis di Pasir Salak itu. Kumpulan yang menentang kepimpinan Ustaz Ibrahim mengadakan perjumpaan dengan wakil-wakil cawangan di sebuah bekas kilang padi di Kunci Air 12.

Kampung itu merupakan tempat cawangan pengasas PAS Sungai Manik, Ustaz Rais Kadri.

Kebanyakan ahli yang mengambil pendekatan menentang kepimpinan Ustaz Ibrahim adalah dari cawangan yang baru ditubuhkan. Gerakan reformasi yang berlaku di peringkat nasional memberi impak besar kepada PAS.

Kemasukan ahli dan penubuhan cawangan baru tumbuh bagai cendawan selepas hujan.

Itu adalah hasil kebijaksanaan dan kewibawaan pemimpin PAS ketika itu, Fadzil Noor, menguruskan kemelut politik tanah air ketika itu. Anwar Ibrahim dalam tahanan tetapi presiden PAS itu mengangkat Anwar sebagai calon perdana menteri.

Dia juga berjaya membawa parti-parti pembangkang lain dan pertubuhan sivil duduk bersama-sama di bawah khemah besar yang bernama Gerak. Beberapa personaliti bukan politik juga menyokong gerakan itu.

Antaranya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad, bekas Imam Besar Masjid Negara, Taib Azamudden Md Taib dan banyak lagi.

Wujudkan hubungan baik

Limpahan perubahan itu juga dirasai di peringkat akar umbi. Beberapa tokoh tempatan di Pasir Salak mula menyertai - atau sekurang-kurangnya mendekati - PAS.

Antaranya arwah bapa saya sendiri, Ustaz Bunyamin Ahmad, Ustazah Zaimah Kuswadi, Ustaz Asmuni Pangat, Pak Long Dahari, Pak Lah Seram dan banyak lagi.

Pada masa yang sama, perubahan itu juga membawa pergeseran atau perubahan baru dalam parti. Ini merupakan fitrah berorganisasi. Organisasi yang dinamik sentiasa mengalami perubahan. Justeru hanya kebijaksanaan mengurus perubahan itu yang membezakan perubahan itu positif atau sebaliknya.

Berbalik dengan pergolakan dalaman PAS Pasir Salak. Meski bilangan cawangan yang menyokong Ustaz Ibrahim melebihi daripada cawangan yang mencalonkan Ustaz Mustafa, kem penyandang membuat keputusan menarik diri daripada bertanding.

Antara yang menarik diri dan mengikut langkah Ustaz Ibrahim ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Fakhruddin Ghazali, dan bekas bendahari Pemuda PAS Pusat 1970-an, Darji Mutalib.

Dengan penarikan diri itu, PAS Pasir Salak dipimpin orang baru yang kebanyakannya tidak terikat dengan krisis lampau.

Kami selepas penamaan calon untuk PRU ke-10 (1999) di Pejabat Daerah Kampung Gajah.

Langkah awal yang diambil oleh Ustaz Mustafa ialah terus bersikap berkecuali dengan kedua-dua pihak yang bertelagah sekian lama. Pada masa sama, dia mewujudkan hubungan baik dengan kepimpinan lama PAS Pasir Salak.

Itu juga sikap yang saya ambil sebagai Ketua Pemuda PAS Pasir Salak. Kami sebagai barisan kepimpinan baru tidak mahu terlibat dengan krisis lampau.

Akhirnya krisis dalaman itu beransur-ansur kendur dan biduk berlalu kiambang pun bertaut. Ia adalah proses yang memakan masa bertahun-tahun.

Kebanyakannya diselesaikan secara alamiah seperti usia pihak yang bertelingkah semakin tua, meninggal dunia ataupun hilang semangat bersiasah.

Tumpu pendidikan berbanding ceramah

Bagi Ustaz Ibrahim sendiri, dia berjiwa besar untuk menerima kepimpinan Ustaz Mustafa apabila hadir dalam majlis rasmi parti walaupun tidak lagi memimpin parti. Bertahun-tahun berkrisis dalam sebuah parti pembangkang di kubu Umno - seperti Pasir Salak - memang memenatkan.

Umno Pasir Salak pernah melahirkan menteri besar Perak, exco, menteri dan timbalan menteri. Ia bukan calang-calang punya kawasan. Di Pasir Salak jugalah mula termeterinya janji setia Muafakat Nasional (MN) di antara PAS dan Umno pada November 2018.

Ia wajar dikenang-kenang oleh kedua-dua parti walaupun kini pelamin angan mereka itu kian terbiar dan menanti masa untuk roboh. Pelamin itu hanya diikat oleh rasa kesedapan berkuasa kedua-dua parti.

Dari segi pidato, Ustaz Mustafa persis Abdul Hadi Awang. Kelebihan itu menjadi kekuatan kepadanya di pentas ceramah. Namun dia lebih menumpukan perhatian kepada pendekatan pengajian terutama di masjid di sekitar Kampung Gajah, selain bidang pendidikan berbanding ceramah politik.

Ceramah politik seperti pentas mahkamah - hanya ada hitam atau putih. Sebaliknya pengajian lebih menjurus kepada tradisi ilmu yang menuntut penjelasan fakta serta rasional.

Begitu juga dengan pendekatan pendidikan, ia bersifat jangka panjang.

Oleh kerana itu, Ustaz Mustafa turut menubuhkan sekolah rendah Islam persendirian di kampungnya.

Dari sisi lain dia tidak begitu aktif dalam proses pentarbiyahan dalam PAS. Dia lebih menonjol dalam bidang kebajikan. Bahkan dia mengetuai Lajnah Kebajikan PAS Perak. Walaupun agak aktif dalam Dewan Ulama tetapi fokus Ustaz Mustafa lebih kepada pendidikan, pengajian dan kebajikan.

Namun dia tetap mementingkan tarbiyah dalam konteks kawasannya. Dia menjadi naqib dalam usrah-usrah kami. Dia menggalakkan kepimpinan PAS Pasir Salak menghadiri usrah negeri yang dikenali sebagai liqa’ fikr di Markaz Tarbiyah PAS Perak di Air Kuning, Taiping.

Antara 2011 hingga 2015, program liqa fikr itu menjadi medan suatu pihak menancapkan doktrin untuk menyingkirkan pemimpin PAS yang mereka label sebagai liberal dan sekular.

Ia terus berlangsung begitu walaupun PAS Perak - dalam mesyuarat bulanannya - memberikan teguran kepada lajnah tarbiyah PAS negeri.

Ustaz Mustafa tidak menyertai ‘Geng Ustaz’ yang ketika itu berusaha kuat menyingkirkan kumpulan ‘Jebon’ dalam kepimpinan utama parti. Barangkali dia tidak mahu terperangkap dalam pendekatan politik sebegitu.

Arwah Ustaz Mustafa amat menghargai kepelbagaian dan perbezaan pendapat.

Kini bukan sahaja PAS kehilangan tokoh yang sederhana dalam berpolitik, saya juga terasa kehilangannya. Kehilangan itu mengingatkan diri betapa bernilainya ukhwah dan perjuangan politik yang menuntut fikiran terbuka dan yakin pada jalan yang dipilih.

Ya, ini bukan sebuah belasungkawa, tetapi ucapan selamat jalan buat seorang sahabat.


MUHAIMIN SULAM ialah ahli jawatankuasa Amanah Nasional dan juga naib pengerusi Amanah Perak.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

1. Kami selepas penamaan calon pada PRU10 1999 di Pejabat Daerah Kecil Kampong Gajah.

2. Kami semasa perasmian majlis Himpunan Pemuda Pas Perak (HEMPAP) dalam tahun 1998 di Kampong Gajah.