Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Wan Zawawi (1947 – 2022)

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Aku mula berkenalan dengan Dr Wan Zawawi bukan dengan sosok Wan Zawawi sendiri tetapi dengan isterinya Leslie O’Brien pada tahun 1975. Kami berjumpa di Bangkok.

Aku datang dari Baghdad bersama delegasi NUIS – Natonal Union of Iraqi Students. Leslie datang dengan delegasi AUS (Australia Union of Student).

Aku sampai ke Bangkok untuk hadir ke Persidangan Dwi Tahunan ASA – Asian Students Association. Kesatuan Pelajar Asia ini awalnya dikepalai oleh PKPM – Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia dan beribu pejabat di Rumah Persatuan Universiti Malaya.

ASA diharamkan oleh kerajaan Malaysia sesudah Mei 13.

Ketika aku sampai ke Siam menghadiri persidangan ASA di Chiengmai, waran telah dikeluarkan untuk menangkap aku.

Aku telah berjaya meloloskan diri dan tinggal sementara di Baghdad, Iraq.

Di Bangkok Leslie menerangkan bahawa di Australia khususnya di Monash Universiti di Victoria ramai pelajar Malaysia. Malah pelajar Malaysia adalah yang paling aktif di Australia.

Leslie datang ke Bangkok bersama T.M.B Krishnan dari O.S.S – Overseas Students Service – anak syarikat AUS. T.M.B Krishnan yang juga siswa dari Malaysia akan cuba menjemput aku datang ke Australia.

Janji Krishnan dikotakan. Pada awal tahun 1976 ketika di Baghdad aku telah dijemput ke persidangan tahunan AUS di Monash University Melbourne Victoria Australia.

Aku menjadi tamu AUS dan diminta menyampaikan ucapan tentang perjuangan pelajar Malaysia di persidangan AUS tersebut.

Ini kali ke dua aku sampai ke Monash Australia. Kali pertama tahun 1974 untuk menghadiri ke Persidangan ASA di Melbourne. AUS menjadi tuan rumah.

Di Melbourne sekali lagi aku bertemu dengan Leslie. Kali ini Leslie datang dengan seorang lelaki Melayu. Leslie kemudian memperkenalkan lelaki Melayu ini sebagai Wan. Kemudian aku diberitahu bahawa Wan Zawawi adalah suaminya. Mereka berdua pelajar pasca ijazah di Universiti Monash di bidang sains sosial.

Universiti Monash tersohor di kalangan pelajar Malaysia. Malah ramai pelajar Melayu belajar dalam kampus ini.

Ketika aku singgah di Melbourne (1976-1977) telah ada ‘kampung Melayu' di pinggir Universiti Monash.

Pelajar Melayu ini kebanyakan ditaja oleh Commonwealth Scholarship. Universiti Monash terunggul dalam bidang ilmu kajian politik Asia Tenggara, terutama Indonesia dan juga keilmuan sosiologi antropologi dan sains sosial.

Profesor M.G. Swift (1930-1984) yang terkenal dengan kajian Malay Peasant Society in Jelebu adalah Ketua Jabatan Sosiologi Antropologi Monash Universiti.

Manakala Profesor Herbet Feith ( 1930-2001) adalah pakar dalam kajian politik Indonesia.

Dua sosok ini - Feith dan Swift - adalah diantara guru dan profesor yang mendidik Wan Zawawi.

Sesudah Persidangan Tahunan AUS aku mengambil peluang untuk terus tinggal di Australia. Aku tinggal di Melbourne yang jauhnya hanya 6 batu dari Monash.

Satu hujung minggu aku telah menjadi tamu Wan Zawawi dan Leslie. Mereka tinggal tidak jauh tidak jauh dari universiti.

Untuk makan malam Wan telah memasak. Sungguh enak makan malam itu bersama Fosters dan Air Anggur merah dari Selatan Australia. Sesudah makan, Wan menghulurkan aku

Gudang Garam. Rokok ini tidak asing lagi dengan aku. Sosok yang memperkenalkan aku dengan Gudang Gram ialah Tongkat Waran a.k.a Usman Awang.

Di ruang tamu Wan membuka satu majalah filem dari Indonesia. Lalu Wan bercerita tentang filem. Ketika ini aku hanya mendengar apa yang disurahkan kepada aku. Dalam majalah ini ada gambar W.D Mochtar ( 1928- 1997) dan Wim Umboh (1933-1996). Dua-dua sosok ini pernah aku kenali.

Wim Umboh pengarah Matchan Kemayoran (1965 ) manakala W.D Mochtar pelakon utama. Filem ini menjadi filem pertama masuk ke Malaysia sesudah Konfrontasi tamat. Aku berpeluang menontun filem ini pada tahun 1967.

Sesudah bersembang hal filem Wan bermain gitar. Jelas kepada aku bahawa anak kelahiran Terengganu ini bukan saja ilmuwan malah Wan juga tukang masak dan seniman.

Sang Isteri menjadi kurang selesa kerana bau asap rokok dan bunyi muzik. Lalu Wan mencadangkan kita keluar mencari kedai kopi untuk bercanda-canda.

Dengan kereta tangan keduanya Wan membawa aku ke wilayah St Kilda.

"Kita pergi ke cafe di mana The Seekers.... selalu bermain.. mengasah bakat ... sebelum mereka menjadi terkenal di seluruh dunia....’ Wan memberi penerangan tentang kedai kopi yang dituju.

Wan kemudian menerangkan bahawa kita boleh dapat minum kopi percuma. Bayaran : Wan hanya perlu memetik gitar dan menyanyikan sebuah lagu untuk menghibur para pelanggan.

Kedai kopi ini agak ‘trendy dan chic’ – ia terkenal – kerana semua warga Australia tahu di sinilah The Seekers mula-mula menyanyi dan mencuba bakat. Malam itu Wan Zawawi dari Terengganu mencuba bakat.

Hah! Pelanggan agak ramai malam itu. Di atas pentas Wan memetik gitar dengan lagu Burung Kakak Tua. Aku menunggu di bawah. Lagu pertama mendapat sambutan. Penonton meminta lagu ke dua. Kali ini Wan menyampaikan Bengawan Solo. Dia mendapat tepukan hebat.

Aku pula merasa bangga dapat berkenalan dengan Wan Zawawi seorang seniman dan ilmuwan yang bukan kecil anak.

Tahun 1977 – di dewan RMIT ( Royal Melbourne Institute of Technology ) diadakan Konferensi Pelajar Malaysia. Aku ingat lagi pada malam penutup konferensi Wan Zawawi naik ke atas pentas memetik gitar berdendang. Di pentas yang sama yang sama aku telah membaca sajak Said Zahari.

Ketika ini banyak kesatuan pelajar di Australia dipengaruhi oleh politik kiri. Ada yang pro China dan ada yang Pro Russia. Justeru tempiasnya sampai juga telah gerakan pelajar Malaysia.

Wan Zawawi walau pun tidak terlibat dalam arus kiri persatuan pelajar di Australia tetapi dari segi analisis keilmuan – Wan Zawawi mengambil garis kiri memperjuangkan rakyat tertindas.

Awal tahun 1977 kawan aku zaman UM - Yunus Ali dari Hong Kong telah datang ke Australia. Kami tinggal di Rae Street Melbourne. Kadang kandang di hujung minggu kami mengadakan ‘soiree’ minum-minum dan makan-makan. Aku selalu mengajak Wan Zawawi bersama.

Sambil minum dan sambil membakar satay Wan akan berdendang memetik gitar. Kadang-kadang lagu nostalgia tentang kampung halaman yang ditinggalkan. Tentang hidup berkelana di negeri orang.

Pernah satu soiree aku telah menjemput Wan datang ke Rae Street. Dia memberi tahu aku bahawa Shamsul Amri ada datang ke Monash Universiti. Aku memanjangkan jemputan kepada Shamsul Amri. Sosok ini memang aku kenal dari Universiti Malaya lagi.

‘Shamsul tak berani datang..... dia takut nak bersosial dengan kau...’ Wan Zawawi menerangkan apabila hanya dia seorang yang datang.

Aku tidak akan melupakan soiree akhir aku di Rae Street. Aku menjemput kawan-kawan rapat datang. Malam akhir sebelum esok paginya aku dan Yunus Ali terbang keluar meninggalkan Australia.

Wan Zawawi adalah antara jemputan yang hadir.

Masa berjalan. Aku terus berkelana. Belasan tahun kemudian aku pulang ke Kuala Lumpur. Tiga hari selepas menjejakkan kaki ke bumi Malaysia aku ditahan di bawah ISA.

Dua minggu aku ditahan kemudian aku dibebaskan.

Bila aku keluar aku menumpang di Palms Court Brickfields di rumah Redha Ahmad yang bekerja sebagai guru di Universiti Malaya.

Dua hari setelah dibebaskan pintu flat kami diketuk. Muncul Wan Zawawi kawan lama aku yang aku kenali di Australia.

Malam itu Wan dengan kereta empat rodannya telah membawa aku bersiar-siar melihat Kuala Lumpur yang telah 20 tahun aku tinggalkan. Malam itu aku tidak tahu di ceruk mana dibawanya aku mundar mandir hingga lewat malam.

Di Kuala Lumpur sekali sekala kami bertemu. Di forum, di pelancaran pameran seni – aku selalu bertemu dengan Wan Zawawi. Satu malam kami secara tak sengaja berjumpa di Telawi Bangsar - di kedai makan Nirvana. Wan baru sahaja pulang dari Finland. Dia menyampaikan kertas kajiannya di Universiti Helsinki.

Sebelum berpisah Wan telah menghulurkan kepada aku 100 dolar duit Amerika. Lebihan dari perbelanjaan dirinya di Helsinki.

Kini Wan Zawawi telah menjadi ilmuwan yang bertaraf antarabangsa. Berseminar di sana sini. Dia sering menjadi profesor tamu di pelbagai Universiti. Kali akhir dia menjadi pensyarah di Berunai.

Ketika di Berunai Wan Zawawi telah mempelawa Dr Zarni ilmuwan dari Myanmar untuk mengajar sama di Berunai Universiti. Sosok ini adalah intelektual aktivis Asia Tenggara yang aku kenal.

Sebelum virus dari Wuhan melanggar dunia Zarni telah melancarkan bukunya tentang Myanmar di kedai buku Pak Chong di Seksyen 12 Petaling Jaya. Kedai buku Gerak

Budaya ini letaknya tidak jauh dari rumah Wan Zawawi. Pada malam pelancaran buku ini Wan Zawawi dijemput untuk hadir memberi ucapan.

Wan Zawawi gagal sampai. Dia kurang sihat. Dia menghantar anaknya untuk menyampaikan satu lagu di majlis pelancaran The Enemy of the State - buku Dr Zarni.

Pada pagi Rabu 18 Mei 2022 – aku menerima berita pesanan ringkas memberitahu Dr Wan Zawawi telah meninggal dunia.

Aku berbangga sempat berkenalan dengan Dr Wan Zawawi - seorang intelektual, seorang ilmuwan dan seniman. Dr Wan Zawawi adalah sosok intelektual pro-rakyat. Al-Fatihah.


HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.