Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Ismail Sabri PM paling bertuah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tatkala semua politikus dan parti tanah air menemui jalan buntu dalam senario politik terkini, Ismail Sabri yang tersepit di tengah-tengah kemelut, muncul sebagai perdana menteri Malaysia yang paling bertuah.

Sekilas pandang, Ismail Sabri diasak dari kiri dan kanan, menjadi orang tengah yang mengimbangi desakan dan keperluan antara Umno dengan parti komponen dalam kerajaannya; didatangi pula tuntutan yang pelbagai dari parti pembangkang. Ironinya, ketegangan sedemikian meletakkan Ismail Sabri dalam kedudukan selesa sehingga PRU15.

Lebih-lebih lagi, tidak ramai rakyat yang menaruh harapan agar Ismail Sabri menjadi seorang perdana menteri yang cekap, adil dan bersih. Ia bukan matematik tambahan, sebaliknya pengetahuan am, bahawa kebarangkalian kabinet Ismail Sabri menjadi kerajaan efisien dan bertaraf dunia adalah lebih rendah berbanding kebarangkalian skuad badminton Malaysia merangkul Piala Thomas, atau kontinjen Malaysia muncul sebagai juara di Sukan SEA Hanoi.

Tiada harapan, maksudnya tiada kekecewaan. Seandainya Ismail Sabri menunjukkan prestasi yang buruk, ia semacam dijangka. Sekiranya tiada prestasi, maka “sekurang-kurangnya ia bukanlah prestasi buruk”. Jikalau Ismail Sabri melakukan sesuatu yang baik, ia kejutan di luar jangkaan, yang boleh disorak dan ditular tujuh hari tujuh malam. Persoalannya, apakah yang ingin dicapai Ismail Sabri dengan kelebihan sedia ada?

Desakan dalam Umno

Bukan rahsia lagi bahawa Ismail Sabri berdepan dengan tekanan dalam Umno. Pada asalnya, Ismail Sabri memiliki kelebihan seandainya mengheret PRU15 ke tahun 2023, agar dirinya boleh bertanding untuk jawatan presiden Umno atas kapasiti perdana menteri, kerana pemilihan parti perlu diadakan selewat-lewatnya 18 bulan selepas Majlis Kerja Tertinggi penggal 2018-2021 tamat, iaitu akhir tahun ini.

Hasrat Ismail Sabri disekat apabila Perhimpunan Agung Umno Khas meluluskan pindaan perlembagaan parti untuk menambah fasal “(penangguhan) tidak lebih daripada enam bulan selepas diadakan sesuatu pilihan raya umum parlimen (Dewan Rakyat), yang mana terkemudian”, baru-baru ini. Dengan pindaan ini, kluster PWTC menguasai kelebihan untuk menentukan senarai calon Umno yang bertanding dalam PRU15 – yang mana bakal menentukan calon PM jikalau menang.

Mereka yang celik politik tanah air akan sedar bahawa “tiada jaminan untuk dilantik sebagai PM sungguhpun ditampilkan sebagai poster boy dalam pilihan raya”, lebih-lebih lagi setelah menyaksikan nasib yang menimpa Hasni Mohammad selepas PRN Johor, pada Mac 2022.

Sungguhpun demikian, Ismail Sabri tetap memiliki kelebihan seandainya mengheret PRU15 ke tahun depan, agar ruang masa diberikan untuk menentukan nasib Najib Razak dan Zahid Hamidi. Andainya keputusan mahkamah tidak memihak kepada kedua-dua mantan PM dan TPM ini, maka calon presiden Umno yang menunggu Ismail Sabri di gelanggang akan dikurangkan kepada Mohamad Hasan, Hishammuddin Hussein, dan barangkali, Khairy Jamaluddin.

Sukar diramalkan senario Umno selepas PRU15 dan pemilihan Umno buat sementara ini. Apa yang pasti, situasi akan lebih mencabar kepada sesiapa sahaja yang memegang tampuk kuasa pada masa depan.

Parti komponen kerajaan

Sudah tentu pergolakan dalaman Umno diamati sepenuhnya Bersatu dan PAS, parti komponen kerajaan yang bakal bertanding untuk merebut kerusi dari Umno dalam PRU15 kelak. Bersatu kini tersangkut di tengah-tengah. Kekuatannya tidak memadai untuk menumpaskan Umno jikalau bersendirian. Sementara itu, agak sukar Bersatu menumpang kekuatan Pakatan Harapan dalam masyarakat bukan Melayu, setelah apa yang diperlakukannya terhadap PH melalui Langkah Sheraton pada Februari 2020.

Untuk matlamat jangka pendek, Bersatu perlu menguasai bilangan kerusi yang cukup signifikan agar dirinya kekal relevan selepas PRU15 – dijadikan modal untuk rundingan pembentukan kerajaan, sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri. PAS pula tersepit dalam dilema untuk memilih antara Umno dengan Bersatu sebagai gandingannya, jikalau kedua-dua parti Melayu ini enggan berdamai sebelum PRU15.

Semua teragak-agak untuk mencatur langkah seterusnya, kerana ragu-ragu dengan sentimen pengundi. Kedua-dua Bersatu dan PAS memerlukan lebih masa untuk meninjau, berunding dan memberi kata dua. Ia menjelaskan mengapa tiada keterdesakan daripada Bersatu dan PAS agar PRU15 disegerakan sebaik tamatnya tempoh memorandum persefahaman (MOU) antara kerajaan Ismail Sabri dengan PH pada 31 Julai 2022.

Pembangkang PH

Pihak yang paling kekok dalam situasi terkini, tidak lain tidak bukan PH. Gandingan parti politik ini mengalami trauma selepas kuasanya dirampas lantaran pengkhianatan Bersatu dan puak Azmin Ali dari PKR. Untuk satu jangka yang tidak singkat, PH terperangkap antara pilihan untuk mengembalikan kuasa dengan angka, atau membina semula kekuatan akar umbi sendiri, khususnya dalam masyarakat Melayu-Muslim.

Jelas, PH memerlukan masa. Maka, dalam kebuntuan tidak cukup angka (kerusi dalam Dewan Rakyat) untuk membentuk kerajaan, pada masa yang sama tidak sempat membina sokongan dengan dasar yang didukung, PH memilih untuk menandatangani MOU dengan kerajaan Ismail Sabri, menggariskan beberapa reformasi yang gagal atau tidak sempat dilaksanakan kerajaan PH sebagai syarat untuk mempertahankan kestabilan kerajaan Ismail Sabri.

Dari satu segi, PH lebih memerlukan kerajaan Ismail Sabri daripada dirinya diperlukan. PH memerlukan Akta Antilompat Parti, atau akta seumpama ini (misalnya pilihan raya pecat wakil rakyat, atau “recall election”), sebagai jaminan agar penyokongnya tampil mengundi. Namun, seandainya Ismail Sabri memungkiri janji-janji yang tertera dalam MOU, apa yang terdaya dilakukan PH? Menarik sokongan agar kerajaan Ismail Sabri tumbang? Senario seterusnya akan menyaksikan PH masuk ke gelanggang PRU tanpa Akta Antilompat Parti, malah dalam tempoh yang lebih singkat – apakah ini yang dimahukan PH?

Apa legasi Ismail Sabri?

Bukankah senario di atas memihak kepada Ismail Sabri? Barangkali Mahathir Mohamad pernah berusaha untuk mewujudkan suasana seumpama ini, ketika menerajui tampuk kuasa sebagai PM ketujuh. Mahathir mahu masyarakat Melayu-Muslim merasakan dirinya diperlukan untuk mempertahankan hak dan kepentingan Melayu; sementara komuniti bukan Melayu dan golongan liberal khuatir kesinambungan reformasi politik terjejas andainya Mahathir digugurkan. Apapun, sejarah merakamkan bahawa Mahathir tersingkir di akhirnya.

Berbalik kepada Ismail Sabri. Beliau mungkin tidak mencaturkan senario ini, tetapi kebetulan berada di kedudukan itu ketika segala-gala ini berlaku. Presidennya terpalit dengan kes mahkamah, timbalan presidennya bukan ahli Dewan Rakyat (syarat dilantik sebagai PM), pengganti yang lebih terserlah (Hishammuddin Hussein) pula menambat langkah untuk bertanding dalam pemilihan Umno pada tahun 2018. Kesemua faktor ini melambung Ismail Sabri ke puncak kuasa setelah Muhyiddin Yassin terkial-kial dibadai gelombang wabak Covid-19.

Persoalannya, bagaimana Ismail Sabri mahu dirinya diperingati, sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai PM kesembilan? Apakah legasi yang ingin ditinggalkan, ketika berundur dari jawatan tertinggi itu kelak?

Jelas, lanskap politik tanahair berubah selepas 9 Mei 2018. Umno mungkin kembali berkuasa, tetapi mustahil Malaysia kembali ke zaman sebelum 9 Mei 2018. Persoalannya, sistem kita masih belum dirombak untuk menyesuaikan diri dan mempersiapsediakan Malaysia ketika berdepan dengan perubahan ini.

Kita perlu membina keyakinan rakyat terhadap sistem pilihan raya, maka undang-undang harus digubal untuk memastikan wakil rakyat tidak menggadaikan integritinya; kita perlu membina gelanggang yang sama rata untuk persaingan yang adil – yang menang tidak ambil semua dan sentiasa sedar bahawa dirinya dipantau; malah yang kalah tidak hilang semua, dan sentiasa memainkan peranannya untuk semak-imbang kerajaan, sebelum kembali berkuasa.

Malaysia memerlukan seorang pemimpin untuk menyempurnakan peralihan ini, dengan meluluskan akta dan dasar yang memadai agar Malaysia diluncurkan di landasan yang betul. Ismail Sabri memiliki segala syarat untuk berbuat demikian sekarang – sesuatu yang enggan dilakukan dinosaur politik jikalau berpeluang kembali berkuasa; sesuatu yang tidak kesampaian untuk dilakukan PH, dan sesuatu yang belum dilakukan mana-mana tokoh politik yang berpandangan jauh.

Ismail Sabri perlu memilih bagaimana dirinya dikenang selepas tamatnya tempoh perkhidmatannya. Sama ada Ismail Sabri diperingati sebagai perdana menteri yang jatuh naiknya ditentukan nasib, atau seorang perdana menteri yang mengubah nasib Malaysia pada masa depan. Takkan Ismail Sabri sanggup dirinya dikenang dengan baju batik yang berwarna-warni sahaja? 


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).

Artikel ini pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.