Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Kalau kami ini ustaz

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Agaknya jika Mok memberi izin kepada kami untuk masuk sekolah agama semasa tingkatan satu dulu, hari ini kami sudah menjadi seorang ustaz.

Semasa mahu masuk ke sekolah menengah selepas tamat bersekolah rendah di sekolah mubaligh, kami meminta Mok mendaftarkan kami di sekolah agama.

Bukan kerana kami ini bercita-cita mahu menjadi ustaz, tetapi kerana Pa -  sahabat baik kami semasa di kampung - akan menyambung pelajarannya di sana.

Mok tidak bersetuju. Mungkin kerana rekod persahabatan kami dan Pa tidak begitu baik maka Mok tidak mahu kami sepagi dan sepetang dengan Pa. Pada Mok, cukup kami ini sekadar berkawan dengan Pa semasa di luar waktu sekolah.

Kerana teringatkan cerita tersebut kami pun berangan-angan: apa agaknya akan terjadi sekiranya Mok mengikut cakap kami yang mahu bersekolah agama itu.

Kami pun membayangkan bahawa setelah tamat belajar di sekolah agama itu kami akan ke Mesir. Kebetulan pula pada waktu itu ada lebih kurang lima atau enam orang saudara-mara kami sedang belajar di sana.

Yang paling lama adalah Kok Iza, sepupu kami yang cantik jelita yang kini dikenali orang sebagai Ustazah Zulaikha, ustazah paling omeh tetapi baik hati itu.

Tak disibukkan cerita mistik

Sebenarnya, sejak 1970-an lagi, akan sentiasa ada ahli keluarga kami yang belajar di Mesir. Kamu tentu hairan mengapa daripada keluarga yang ramai ustaz dan ustazah itu, boleh ada seorang penulis Malaysiakini yang kamu kata gemar memecahbelahkan umat ini.

Justeru apa lagi yang boleh kami katakan selain daripada kami ini agaknya adalah ujian kepada kamu dan juga saudara-mara kami yang terkenal baik hati itu.

Balik kepada cerita angan-angan kami tadi.

Setelah tamat belajar dan memegang gelaran ustaz, kami akan sibuk menulis kitab dan juga membawa berita-berita baik kepada masyarakat.

Kami akan cari jalan bagaimana mahu menjadikan setiap orang Islam di negara ini taat kepada perintah Tuhan dan pada masa yang sama menjauhkan apa saja yang dilarang-Nya.

Akan kami bahagikan sepenuh masa kami untuk kebahagiaan beragama dan akan pergilah kami kepada semua peringkat masyarakat untuk memperdengarkan berita-berita gembira dalam beragama.

Walaupun begitu, kami tidak mungkin akan masuk ke kelab-kelab malam untuk berdakwah kerana bimbang akan keimanan sendiri.

Kami kenal diri, dan kami yakin akan terikut-ikutlah kami pada kegembiraan berfoya-foya apabila berlama-lama dalam suasana lagha.

Biarlah kerja-kerja begitu kami serahkan kepada ahlinya.

Kemudian daripada itu kami juga tidak akan menyibukkan diri kami dengan cerita-cerita mistik. Kami akan seboleh-bolehnya lari daripada menjadi tempat orang ramai datang mengadu perihal diganggu jembalang dan jin tanah.

Belajar agar pandai memasak

Hal-hal mengenai jin tanah dan jembalang sepatut telah lama mati bersama kepercayaan Melayu kuno yang akan menjadi musuh utama kami.

Kami akan tentang habis-habisan perihal bagaimana urusan perniagaan orang Islam akan segera gulung tikar hanya kerana ditabur garam di halaman kedai mereka. Atau bagaimana serpihan tulang babi yang dibungkus kain putih lalu ditanam di mana-mana tapak perniagaan milik orang Islam akan mengakibatkan kerugian yang besar.

Perniagaan kedai makan yang masakannya tidak sedap dan pelayannya pula tidak pernah senyum lalu dipulaukan orang - tapi didakwa kononnya dijampi serapah oleh sang bomoh - pula akan kami doakan supaya menambah kemahiran mereka dalam bidang masakan, serta belajar seni melayan pelanggan dengan baik.

Jika terkena sebarang penyakit, kami tidak akan melulu menghebahkan hal itu ke seluruh dunia. Kami akan ke hospital bertemu doktor terlebih dulu.

Hal itu kerana kami yakin pakar perubatan mempunyai ilmu dalam bidang masing-masing. Maka kami akan cari pakar yang ‘kena’ dengan penyakit kami.

Setelah itu kami pun berdoa kepada Tuhan. Kami akan merintih merayu kepada Dia dan pada masa yang sama tidak akan menjaja cerita itu ini untuk mengharap simpati manusia.

Jika Tok Beruang datang untuk melakukan rukyah ke atas kami, akan kami tempeleng dia semoga sedarlah dirinya daripada ditipu daya syaiton nirrajim.

Kami akan ingatkan diri kami mengenai Nabi Ayub - bagaimana baginda tidak pernah mengeluh dan menuduh sesiapa mengenai penyakitnya.

Tidak pernah sekali dalam 18 tahun sakit itu baginda menyalahkan manusia, apatah lagi mempertikaikan keagungan Tuhan.

Nak jadi bintang filem

Dalam hal berkenderaan, kami rasa ia adalah mudah. Kami tidak mempunyai kecenderungan untuk bergaya dengan kereta mahal dan berkilat. Maka jika kami mampu sekali pun, tidak mungkin kami memilih unta merah - atau sekarang digelar sebagai Vellfire - sebagai tunggangan.

Cukup sekadar mana-mana kenderaan yang selesa dan tidak selalu rosak di tengah jalan. Ini adalah untuk menjaga hati kami dan juga pandangan orang terhadap ahli agama.

Ada ahli agama yang mahu menjadi Abdul Rahman Auf. Maka di sini kami katakan bahawa daripada 124,000 sahabat, hanya beliau dan beberapa sahabat sahaja yang dikenali sebagai tokoh yang sangat kaya-raya.

Juga, tidak sesekali kami mahu menjual air tawar sebagai ubat atau pun penebat. Rugi benar air liur untuk membaca al-Quran dan berzikir hanya untuk dibalas dengan beberapa keping wang perak.

Yang paling kami akan elak ialah menjadi bintang filem. Rugi amat rasanya menghabiskan masa berpuluh tahun mencari dan mendalami ilmu agama lalu akhirnya ia dijadikan modal mengejar glamor.

Kami akan berasa sangat malu apabila melihat orang hiburan sedang berlumba-lumba kembali beragama, manakala kita - orang agama ini - berusaha bersungguh-sungguh mahu menjadi bintang filem.

Nanti jika kami ada masalah dengan mana-mana ustaz yang kami rasa telah menyimpang dalam menerangkan agama, maka kami akan pergi berziarah kepada mereka. Kami pergi dan bertemu secara peribadi.

Kami bawakan juga hadiah dan datang dengan dada terbuka. Manalah tahu, entah-entah memang sebenarnya kamilah yang salah.

Kami akan berbincang, dan bincang lagi sehingga mencapai penyelesaian. Tidak pula kami mahu gunakan media sosial sebagai pengantara saling membantai antara satu sama lain.

Taraf kami yang berilmu tentu saja bukan sebagai bahan hiburan kepada mereka yang tidak. Tidak mahu kami menjadi sumber perpecahan hanya kerana kami rasa kami ini di pihak yang betul.

Yang akan kami tekankan kepada semua orang ialah hal pentingnya sembahyang berjemaah lima waktu di masjid. Semua orang lelaki akan kami pesankan perkara ini.

Kami akan berpesan demikian sehingga orang menggangap kami ini sudah tidak cukup akal. Dan kemudian kami juga akan memujuk mereka yang sudi untuk mendengar pesanan daripada kami agar sentiasa membaca al-Quran.

Seperti sembahyang lima waktu, al-Quran juga hendaklah dibaca pada setiap hari.

Banyak yang mahu kami katakan jika kami ini seorang ustaz, namun seperti yang kamu semua tahu, kami ini hanyalah seorang pelukis dan juga penulis di portal berita milik si kafir.

Maka kami tidak rasa kami berhak untuk bercakap mengenai hal agama dan bangsa kamu. Kamu tentu lebih alim daripada kami, dan kemuliaan bangsa kamu juga semestinya menjadikan kamu berhak ke atas segala sesuatu di bumi Malaya yang terciduk ini.

Pa yang habis empat senawi itu akhirnya tidak menjadi ustaz. Kami jarang bertemu dia sekarang kerana masing-masing sibuk dengan hal sendiri.

Kami dengan hal mencari salah orang Melayu nan suci, manakala Pa pula sibuk mengendalikan pusat pemulihan dadah di Kemaman atau Dungun.

Kami tidak pasti, tetapi apa yang kami tahu beliau kini di negeri Terengganu dan sedang berusaha mengembalikan sekian ramai penagih dadah ke jalan yang benar.


ABDULLAHJONES ialah penulis, pelukis dan penyair yang suka berangan-angan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.