Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | PAS dan elit Umno

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | Parti agama seperti PAS di Pasir Salak pada peringkat awalnya digerak dan dicorakkan oleh golongan agamawan atau - yang lebih tepat - mereka yang mempunyai latar belakang pendidikan agama.

Keadaan berbeza dengan pemimpin Umno Pasir Salak yang kebanyakannya terdiri daripada elit politik dalam masyarakat seperti bekas kakitangan kerajaan.

Mereka termasuklah ketua kampung, penghulu dan guru sekolah kerajaan yang lebih terdedah kepada sistem pentadbiran dan membantu mengurus pembangunan di kawasan masing-masing.

Hubungan sosial, rangkaian birokrat dan perniagaan yang lebih luas adalah lingkaran kuasa politik yang saling berhubungan. Inilah antara yang memperkukuhkan politik dan menyuburkan kronisme, nepotisme dan korupsi dalam masyarakat Melayu.

Calon Umno pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1959 di kawasan parlimen Hilir Perak ialah Mohd Abbas Ahmad yang merupakan bekas penghulu dan berpengalaman berkhidmat dengan kerajaan sejak zaman Inggeris.

Dia mempunyai pengalaman pentadbiran dan pengaruh luas. Jawatan penghulu bukan sekadar jabatan birokrat tetapi memiliki nilai tradisi budaya setempat yang masih feudal.

Pada PRU 1964, Umno menampilkan seorang tokoh agama, Othman Abdullah, yang juga bekas ketua Pemuda PAS Pusat di kawasan parlimen Hilir Perak. Dia ditentang Hasan Adli.

Kedua-duanya merupakan tokoh agama yang mempunyai kekuatan masing-masing.

Ruang membina pengaruh

Ia menjadikan pertarungan tersebut lebih kepada pertembungan elit agama nasional di antara kedua-dua Umno dan PAS.

Ahli parlimen Hilir Perak dari Umno yang berkhidmat antara 1974 hingga 1978, Abu Bakar Arshad, ialah bekas guru sekolah rendah kerajaan yang berkhidmat lama di kawasan tersebut.

Pada PRU 1974, Umno dan PAS berada dalam satu bahtera iaitu BN. Maka PAS memberi laluan kepada Umno untuk bertanding di Hilir Perak.

Selepas itu, Kamaruddin Maamor menggantikan Abu Bakar Arshad apabila PRU diadakan pada 1978. Dia menjadi ahli parlimen di kawasan tersebut selama sepenggal sebelum digantikan oleh Megat Junid Megat Ayub.

Megat Junid yang menjadi ahli parlimen Pasir Salak (nama baru bagi kawasan parlimen Hilir Perak) antara 1982 hingga 1999. Dia juga pernah menjadi Setiausaha Politik Dr Mahathir Mohamad.

Posisi tersebut memberikan ruang politik yang lebih luas kepada Megat Junid untuk membina pengaruhnya.

Allahyarham Megat Junid Megat Ayub

Setelah Ramli Ngah Talib menjadi Menteri Besar Perak, pengaruh Umno semakin kuat di Pasir Salak. Pada PRU 1999, Ramli bertanding di peringkat parlimen dan menyisihkan Megat Junid yang bertanding di parlimen Parit.

Di sana, Megat Junid kecundang dengan calon PAS. Selepas itu, Megat Junid memberikan sokongan kepada Tajuddin Abdul Rahman demi memperkukuhkan pasukan mereka dalam Umno.

Tajuddin ialah tokoh yang pernah terpalit dengan amalan politik wang hingga dia digelar Six Million Dollar Man. Melalui kekuatan kewangannya, bintang Tajuddin terus bersinar menjadi sehingga dia menjadi ahli Dewan Rakyat sejak 1999 hingga kini.

Begitu juga yang dikemukakan Umno di peringkat dewan undangan negeri (DUN). Mereka memiliki rangkaian hubungan sosial yang lebih luas berbanding dengan kepimpinan PAS.

Pada  PRU 1959, Umno Hilir Perak menampilkan Yahya Subhan Harun yang mempunyai latar belakang pendidikan dan kerjaya agama. Yahya merupakan lulusan Universiti Aligrah dan terlibat dengan gerakan kemerdekaan sejak dia di universiti lagi.

Yahya menjadi Adun Sungai Manik sehingga 1974 sebelum digantikan Mohd Yusuf Maidin, manakala di DUN Kampung Gajah (Dun Bandar), Ahmad Razali Mohamed menjadi wakil rakyat pada 1959.

Faktor keluarga main peranan

Legasi kepimpinannya di Kampung Gajah diteruskan anaknya, Fauzi Ahmad Razali yang menang dalam PRU 2004.

Mohd Yusuf yang menjadi adun Sungai Manik antara 1974 hingga 1986 merupakan bekas tentera laut yang kemudian berkhidmat sebagai Ketua Kampung Chenderong Balai. Dia memiliki kedai makan yang menjadi 'parlimen' kampung.

Sungai Manik kemudian diwakili Muhamad Nazeri Abdul Rahim (1986 – 2004). Dia bekas kakitangan Jabatan Parit dan Saliran (JPS) yang berkhidmat di kawasan Sungai Manik.

Sebagai kawasan penanaman padi, JPS mempunyai peranan penting kepada masyarakat tani.

Umno mula mencalonkan pemimpin dalam kalangan profesional semasa meletakkan Ramli sebagai calon DUN Kampung Gajah pada 1982. Dia ialah seorang peguam dan mempunyai latar belakang keluarga dengan jalur keturunan Datuk Sagor.

Penyertaan politik Ramli di Pasir Salak adalah usaha Megat Junid bagi memperkukuhkan Umno di kawasan tersebut.

Salah satu ciri kepimpinan Umno Pasir Salak ialah faktor kekeluargaan. Ini dapat dilihat daripada keluarga besar Adun Bandar/Kampung Gajah, Abbas Ahmad yang mempunyai pertalian kekeluargaan dengan Datuk Sagor, pahlawan Perak yang terlibat dalam pembunuhan JWW Birch.

Ramli merupakan anak saudara kepada Abbas. Apabila Ramli bertanding di Pasir Salak, tempatnya di Kampung Gajah diganti dengan Ainon Khairiyah, anak kepada bekas Adun Bandar/Kampung Gajah yang pertama.

Tetap dapat faedah

Kini Adun Kampung Gajah ialah Dr Wan Norashikin Wan Noordin seorang bekas pegawai perubatan yang bertugas di Klinik Kesihatan Kampung Gajah. Dia juga menantu kepada Ainon Khairiyah.

Ikatan kekeluargaan juga merupakan faktor yang memperkukuhkan pengaruh keluarga Datuk Sagor di Pasir Salak, khususnya di Kampung Gajah.

Latar belakang keluarga, kerjaya calon dan pemimpin Umno yang sedemikian memberi kesan signifikan kepada sokongan rakyat. Hal-hal seperti ini tidak dimiliki oleh tokoh-tokoh PAS.

Pendekatan politik PAS melalui Maufakat Nasional adalah usaha parti  itu untuk berada di dalam kelompok elit politik tempatan dengan menggabungkan elemen agama dan politik.

Umno yang memiliki kelebihan pengaruh pastinya akan memperalatkan PAS bagi memperkukuhkan kedudukan mereka, seterusnya mengaut keuntungan politik kelompok dan peribadi.

Pun begitu, PAS tetap mendapat faedah daripada sisa yang ditinggalkan oleh Umno.

Jika dahulu, elit Umno yang ditentang PAS memiliki rangkaian politik yang kuat, kini PAS menjadi sebahagian rangkaian yang ditunggang oleh Umno demi kelangsungan politik mereka. 


MUHAIMIN SULAM ialah ahli jawatankuasa Amanah Nasional dan juga naib pengerusi Amanah Perak.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.