Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | PKR: Siapa peduli siapa puak siapa?

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ruang wacana sarat dengan analisis pergelutan fraksi sepanjang pemilihan PKR. Sama ada perdebatan strategi “khemah besar” menjelang pilihan raya umum ke-15, mahupun kupasan gandingan Anwar Ibrahim dengan Rafizi Ramli, ia berkisar pada tema persiapan PKR untuk menawan semula Putrajaya, dan ramalan senario perentapan kabilah dalam PKR yang mungkin berlangsung pada masa depan.

Tidak dinafikan bahawa ada relevannya perbincangan sedemikian, kerana pergolakan politik ditentukan tindak balas kimia sesama manusia, di samping pertembungan idealisme, jika ada. Langkah Sheraton misalnya, lebih didorong percaturan jatuh-menjatuhkan sesama politikus, atas nama kepentingan kaum dan ideologi agama. Cuma, soal strategi dan kabilah terlalu singkat tarikh luput kerelevanannya, tertakluk kepada perubahan konteks dan suasana politik.

Meminjam kalimat yang agak basi dalam politik, tiada kawan dan lawan untuk selama-lamanya. Apapun, sama ada berkawan mahupun berlawan, politik didasari persaingan – sesama politikus dan antara parti politik. Jemu dengan politik kepuakan untuk merebut sumber dan kuasa, kita harus bertanya, bagaimana persaingan sesama kabilah menjurus kepada reformasi politik?

Prestasi dua MB

Kemenangan Amirudin Shari ditafsir sesetengah penganalisis sebagai penerimaan anggota parti terhadap bekas puak Azmin Ali yang memilih untuk kekal bersama PKR selepas “Langkah Sheraton”. Namun bacaan ini tidak lengkap tanpa mengambil kira faktor Selangor sebagai gedung undi terbesar dalam PKR. Suka atau tidak, Amirudin Shari menyandang jawatan menteri besar Selangor sejak tahun 2018, menjadi kelebihannya untuk mengerah sokongan anggota. Pada masa yang sama, Aminuddin Harun, yang juga menteri besar Negeri Sembilan, berjaya menempah satu daripada empat kerusi naib presiden yang dipertandingkan.

Ketepikan soal sama ada perdamaian telah tercapai, atau apakah kemenangan kedua-dua menteri besar ini didorong kedudukan mereka dalam kerajaan negeri. Persoalan yang lebih penting, apakah prestasi yang ditampilkan kedua-dua orang menteri besar ini, setelah empat tahun memerintah di negeri masing-masing?

Kayu ukur yang paling mudah, apakah pentadbiran Aminuddin Harun, bersama barisan exconya, lebih cekap dan efisien berbanding bekas menteri besarnya, Mohamad Hasan, yang kini menyandang jawatan timbalan presiden Umno?

Barangkali perbandingan sedemikian dianggap tidak adil, kerana Mohamad Hasan menerajui kerajaan Negeri Sembilan untuk 14 tahun, sebelum tumbang pada 9 Mei 2018. Malah, penyokong yang lebih lunak sekadar berharap agar kerajaan negeri berfungsi seperti biasa, itupun sudah memadai bagi seorang pemimpin yang mengambil alih tampuk kuasa buat kali pertama setelah berdekad-dekad memainkan peranan sebagai pembangkang.

Namun, pengundi umum tidak akan teruja seandainya kerajaan negeri PH sekadar mengekalkan status quo, menjalankan rutin biasa seperti mengagihkan peruntukan, menarik pelaburan asing dan menghulurkan bantuan dana kepada golongan terpinggir. Kerajaan negeri Pakatan Harapan, khususnya ketua kerajaannya datang dari PKR, perlu memperlihatkan tekad dan kesungguhan untuk melaksanakan agenda reformasi, melakar imaginasi rakyat seluruh negara bahawa Malaysia akan dibangunkan seperti Selangor atau Negeri Sembilan, seandainya PKR-PH menawan semula Putrajaya.

Keterangkuman kepelbagaian lwn tuntutan agama

Sebagaimana yang kita maklum, hampir semua parti politik Malaysia mengetengahkan dasar ekonomi yang tidak jauh berbeza, melainkan parti berhaluan kiri seperti Parti Sosialis Malaysia dan Parti Rakyat Malaysia. Jikalau mahu ditonjolkan keistimewaan PKR untuk tujuan “perbezaan produk”, maka “parti berbilang kaum dan agama” menjadi jenamanya.

Cuma ia tidak boleh bergantung kepada kalimat Anwar Ibrahim, “wo men dou shi yi jia ren” (Kita sekeluarga) selama-lamanya, tanpa memperincikan maknanya. Memetik kes kopitiam bukan Islam di Kuala Pilah sebagai contoh, ramai masih tertanya-tanya apakah pendirian kerajaan PH Negeri Sembilan dan pemimpin PKR sehingga hari ini.

Pada Januari 2021, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menjalankan pemeriksaan di sebuah kopitiam milik bukan Islam di Kuala Pilah, dan mendapati premis yang sering dikunjungi pelanggan Muslim ini, tidak memiliki sijil halal. Lantas pihak JHEAINS menasihati golongan muslim supaya mengelakkan diri daripada mengunjungi premis makanan bukan Islam tanpa sijil halal.

Di sinilah cabarannya. PKR perlu mengimbangi antara keperluan golongan muslim terhadap “kehalalan”, dengan persepsi masyarakat umum. Ramai dalam kalangan masyarakat kita, terutamanya komuniti Cina, merindui suasana di mana pelanggan dari pelbagai kaum dan agama duduk semeja dalam kopitiam. Malah, sesetengahnya menganggap kesudian pelanggan Melayu untuk menjamu selera di kedai bukan Islam, sebagai manifestasi saling mempercayai antara Muslim dengan bukan Muslim di masyarakat tempatan. Meskipun tidak memiliki sijil halal, tetapi pemilik kedai menghidangkan roti bakar, telur dan kopi yang tidak mengandungi unsur “haram”.

Sementara itu, kita sedar juga bahawa sesetengah masyarakat Muslim kini menuntut tahap kehalalan yang lebih tinggi. Tiada hak untuk bukan Muslim mempertikaikan tuntutan ini. Persoalannya, bagaimana seandainya seseorang Muslim mahu menjamu selera dan berborak dengan kawan bukan Muslimnya di kopitiam? Apakah pendirian dan tafsiran PKR dalam isu ini? Apakah mekanisme terbaik untuk mengimbangi antara keperluan Muslim dengan persepsi umum?

Seperti biasa, kita tidak ditemukan jawapan, sebaliknya disuapkan dengan retorik. Pemimpin memuatnaik gambar makanan yang berwarna-warni dalam media sosialnya, mengucapkan selamat menyambut hari raya ini dan itu apabila tiba masanya, merakam video muzik sempena perayaan untuk menunjukkan bakat rap-nya, tetapi menyelam sehingga hilang dari radar apabila kontroversi tercetus dalam kehidupan bermasyarakat.

Retorik melambak, hasilnya?

Bukan sahaja “keterangkuman kepelbagaian” dijadikan retorik, malah Reformasi pun hampir tinggal laungan slogan semata-mata. Selangor misalnya, telah memasuki tahun ke-14 di bawah pemerintahan PH (Pakatan Rakyat sebelumnya). Namun, apakah reformasi institusi yang telah dilaksanakan beberapa tahun kebelakangan, sehingga memberi tekanan kepada kerajaan persekutuan untuk menjejaki langkahnya?

Sebagai pembangkang di peringkat persekutuan, seringkali PKR-PH menuntut ini dan itu daripada kerajaan Barisan Nasional, atau Perikatan Nasional, atau gabungan kedua-duanya. Desakan sedemikian kini lebih dilihat sebagai motif untuk mengaibkan BN/PN, dan bukannya agar Reformasi dimaknai dengan pelaksanaan dasar.

Apa tidaknya, jikalau PKR-PH serius dengan agenda Reformasi-nya, mereka akan cuba sedaya upaya di peringkat negeri untuk membuktikan bahawa reformasi itu boleh dilakukan. Mereka tidak sekadar merungut bahawa sistem pilihan raya tidak adil, misalnya, tetapi mereka akan membuktikannya dengan data, dan menyusul dengan langkah-langkah cadangan untuk memperbaiki keadaan. Mereka akan melakukan segala yang mungkin dalam lingkungan kuasa mereka, bagi memastikan bahawa tiada ruang seinci pun untuk kerajaan persekutuan menolak agenda reformasi-nya, melainkan tiada tekad politik.

Inilah namanya kesetiaan kepada perjuangan. Malah Amirudin Shari tidak perlu membuktikan bahawa dia telah mengasingkan diri daripada kartel Azmin Ali, dan kini mencurahkan kesetiaan sepenuhnya terhadap Anwar Ibrahim. Sebaliknya, menteri besar berusia 42 tahun ini harus membuktikan bahawa reformasi dan pembaharuan yang dijalankan di bawah pemerintahannya lebih menyerlah berbanding zaman Khalid Ibrahim dan Azmin Ali.

Malah jikalau Amirudin Shari ingin bersaing dengan Aminuddin Harun sekalipun, atau sebaliknya, mereka harus menampilkan prestasi pentadbiran di Selangor/Negeri Sembilan, membuktikan bahawa kerajaan negeri yang diterajuinya lebih berkesan untuk menterjemahkan idealisme dan dasar PKR-PH kepada pelaksanaan, lantas menyuntik keyakinan kepada rakyat seluruh negara bahawa Selangor/Negeri Sembilan merupakan masa depan yang dicita-citakan Malaysia!

Tepuk dada tanya selera, adakah kedua-dua menteri besar yang terpilih sebagai naib presiden PKR ini, menjanjikan komitmen dan membuktikan kebolehannya untuk menggalas agenda Reformasi? Atau sekadar berpuas hati untuk berada dalam pasukan Saifuddin Nasution dan Rafizi Ramli?

Masa tidak menunggu PKR. Dalam politik, kawan dan lawan bersilih ganti – siapa peduli siapa puak siapa? Pergelutan puak tidak menggilap semula harapan. Baik menteri besar selesaikan kontroversi masyarakat sebelum bersosial di media, dan biar prestasi yang menentukan sejauh mana kelantangan Reformasi dilaungkan.


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).

Artikel ini pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.