Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Haji bukan ibadah persendirian

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | Rukun Islam kelima - menunaikan haji - adalah simbol penyempurnaan agama dalam diri seseorang Muslim yang berkemampuan. Ia wajib dilakukan sekali seumur hidup jika tiada sebarang kekangan.

Ibadah umrah pula dianggap sebagai 'haji kecil' dan juga difardukan sekali seumur hidup.

Memang ada kelebihan jika seseorang itu mampu melakukan umrah lebih daripada sekali. Disebabkan sifat umrah itu yang boleh dilakukan tanpa batasan waktu khusus, menjadi kebiasaan masyarakat kita melaksanakan umrah sebagai mengisi kekeringan rohani.

Setiap Ramadan, ramailah orang berkunjung ke Tanah Suci. Tambahan pula sekatan ke luar negara kerana Covid-19 sudah dimansuhkan, ramailah yang mengambil kesempatan itu.

Kini tiba musim haji. Satu demi satu penerbangan berlepas membawa jemaah haji. Ini adalah musim haji pertama yang lebih bebas selepas dua tahun terkekang kerana Covid-19.

Mekah adalah tempat yang diberkati Allah. Doa Nabi Ibrahim dengan anaknya Nabi Ismail diterima-Nya. Sejak ribuan tahun, Mekah terus menjadi pusat ibadah terbesar umat manusia dan merupakan rumah ibadah tertua dalam sejarah beragama.

Mekah memiliki pelbagai makna beragama terutama dalam menyelami makna ‘Rumah Allah’. Hamzah Fansuri - ahli sufi Melayu yang terkenal - pernah menulis bahawa di rumah sendiri adalah tempat terbaik untuk mendapatkan kebenaran.

Dalam syairnya, Hamzah menganggap ‘rumah’ itu ialah hati seseorang.

Perjalanan ke Tanah Suci memerlukan belanja dan terpaksa menempuh banyak kepayahan. Namun setelah kembali ke rumah sendiri, barulah dia 'menemui' Tuhannya.

Dan hati pula ialah raja yang menguasai diri manusia, selaras dengan maksud hadis Rasulullan SAW tentang "segumpal daging" yang tertanam dalam dalam jasad manusia.

Pengembaraan ilmu

Kebiasaannya masyarakat ke Mekah adalah satu proses untuk mendekati Allah, Tuhan pemilik Kaabah dan seluruh alam ini. Sedangkan sifat Tuhan itu adalah tidak bertempat. Namun sebagai hamba manusia perlu menyediakan ruang dalam hatinya untuk Allah.

Kaabah bukan untuk sembahan. Kaabah ialah simbol penyatuan ummah kepada Tuhan Yang Maha Esa. Kejadian manusia lebih mulia daripada Kaabah. Malangnya bagi sesetengah orang, Kaabah dijadikan hiasan untuk dipertontonkan mengenai kewujudan diri di Tanah Suci.

Seorang sarjana terkenal Switzerland, Leopold Weiss - atau lebih dikenali sebagai Muhamad Assad - menceritakan pengembaraan ilmunya sehingga menemukan dia dengan Islam.

Weiss bukan sahaja memeluk Islam tetapi turut memberi sumbangan besar terutama dalam bidang politik Islam.

Begitu juga pejuang hak asasi manusia, Malcolm X, mendapat kesedaran baru setelah kembali daripada menunaikan haji. Pendekatan Malcolm X berubah daripada berpusatkan warna kulit kepada yang lebih universal - kemanusiaan sejagat.

Ali Shariati menyatakan haji dan umrah memberi impak besar kepada umat. Seperti yang pernah Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah sebutkan, haji (dan umrah) adalah suatu demontrasi besar-besaran umat Islam setiap tahun.

Ia adalah demonstrasi melawan syaitan dan manusia berperangai iblis. Ia merupakan demontrasi mentauhidkan Tuhan.

Kunjungan Christiaan Snouck Hurgronje atas nama Haji Abdul Ghaffar ke Mekah pula memberi jendela luas kepada dirinya tentang rahsia kekuatan Islam. Barangkali Hurgronje tidak mencari kebenaran Islam sebaliknya cuma mengintai kelemahan umat Islam.

Hurgronje dapat meyakinkan sebahagian ulama Hindia Belanda di kepulauan Jawa dan sekitarnya tentang keislamannya. Dia berkahwin dengan anak perempuan seorang guru di sebuah pasentren di Jawa. Akhirnya misi kajiannya membawa Hurgronje ke Mekah bagi ‘menyempurnakan’ keislamannya.

Nyata sekembalinya ke tanah Jawa, Snouck telah berkongsi dengan Belanda tentang rahsia-rahsia kekuatan Islam di ribuan Kepulauan Nusantara. Belanda menggunakan maklumat itu untuk mendepani gerakan Islam di Aceh.

Ketika itu, hanya wilayah tersebut yang belum berjaya dikuasai Belanda.

Bertukar watak

Novel ‘Di Bawah Lindungan Kaabah’ karya Hamka pula membawa dimensi tentang watak dalam masyarakat yang gagal berhadapan cabaran semasa dan mengambil jalan ‘ke Mekah’ bagi mencari penyelesaian kepada masalah yang mereka hadapi.

Inilah watak Melayu yang masih wujud hingga kini. Watak Melayu memilih jalan singkat.

Tema perbezaan di antara dua darjat dalam masyarakat kerana kedudukan dan keluarga diangkat oleh Hamka melalui novel tersebut. Karya yang ditulis pada 1938 mungkin adalah hasil gabungan pengalaman dan pemerhatian Hamka di negerinya dengan suasana di Mekah.

Hamka mengerjakan rukun Islam kelima itu pada 1927 seperti yang dicatat dalam novel tersebut.

Hamka menyedari kecenderungan masyarakat pada masa itu menjadikan ibadah ke Mekah sebagai proses penyelesaian masalah. Ia adalah lebih kepada eskapisme - kelihatan beragama tetapi jauh daripada kehendak agama itu sendiri.

Ramai orang yang berkunjung ke Tanah Suci tiba-tiba bertukar watak dan perwatakan mereka. Masing-masing menjadi abid yang tekun beribadah, berjubah, berserban, berpurdah dan mengerjakan amalan yang jarang dilakukan sewaktu di tanah air sendiri.

Mekah bagai melahirkan manusia yang palsu.

Manusia yang mindanya tertawan dengan kerangka-kerangka kefahaman Islam yang rapuh akan kembali dari Mekah sebagai manusia 'plastik' yang terus menyembah Firaun, memuja tinggalan Qarun, dan menjadi Bal’am sang ilmuan yang melacurkan ilmu demi perut dan temboloknya sendiri.

Ibadah haji atau umrah di bumi Mekah sepatutnya dapat menyemarakkan cahaya kebenaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad. Ia bukan ibadah persendirian semata-mata. Ia adalah ibadah yang berkaitan ummah. Ibadah yang menghimpunkan jutaan umat kepada suatu potensi kekuatan yang dapat mengubah dunia.

Kepada para jemaah haji dari Malaysia, semoga kembalinya kalian ke tanah air nanti akan mampu melakukan perubahan kepada perwatakan nasional yang lebih bermartabat dan mempunyai integriti.

Bukan menyambung syahwat para syaitan bertopeng Melayu – Islam. Itu doa kami menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.


MUHAIMIN SULAM ialah penulis dan penyelidik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.