Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Antara Umar Abdul Aziz dan Nazri Aziz

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Baru-baru ini, YB Fahmi Fadhil telah mempersoalkan pakaian yang dipakai oleh Perdana menteri yang dikatakan mempunyai harga yang begitu mahal.

Apa yang dibangkitkan oleh ahli parlimen Lembah Pantai itu telah mendapat respon dari salah seorang pimpinan lama Umno, iaitu Datuk Nazri Aziz.

Cuma agak menakutkan apabila ahli parlimen Padang Rengas itu menganggap bahawa perdana menteri memakai pakaian mahal atau berjenama adalah sesuatu perkara yang tidak pelik, kerana perdana menteri banyak menerima hadiah.

Apabila membaca laporan berita sebegini, imaginasi saya mengingatkan kepada dua hal.

Pertama, kenapa negara yang majoriti umat Islam dan diperintah oleh Muslim tidak mampu menandingi negara-negara yang diperintah oleh non-Muslim dalam hal melawan rasuah.

Kedua, mengingatkan saya kepada satu kisah yang telah tercatat di dalam kitab-kitab Islam, iaitu melibatkan seorang khalifah Islam bernama Umar bin Abdul Aziz.

Dalam kitab Fathul Bari, Imam Ibnu Hajar telah menukilkan satu kisah bahawa khalifah Umar bin Abdul Aziz, walaupun beliau adalah pemimpin utama negara orang Islam pada ketika itu, tetapi beliau orang yang tidak mempunyai wang simpanan.

Segala gaji yang beliau dapat, beliau akan serahkan semula kepada dana negara.

Pada suatu hari, beliau melihat ada seorang kanak-kanak membawa sebekas buah epal. Melihat itu, beliau mengatakan kepingin untuk makan buah epal tetapi tidak membelinya.

Hal itu didengari oleh salah seorang pegawai beliau. Pegawai tersebut telah membeli buah epal dan memberikan kepada khalifah.

Apabila diberi, ternyata beliau menolak dan tidak mahu menerima. Beliau mengatakan: jika kamu memberikan buah epal itu kepadaku, itu merupakan rasuah.

Sejarah umat Islam terdahulu mempunyai banyak teladan dalam pembinaan negara yang baik. Malahan Islam mengajar bahawa, pemimpin yang berjaya melaksanakan kebaikan dalam pentadbiran negara akan diberikan pahala yang cukup besar di alam akhirat kelak.

Namun begitu, sejarah umat Islam ini tidak dihayati oleh orang Islam sendiri. Tetapi semua kandungan kebaikan yang dilakukan oleh teladan yang baik dahulu, ia boleh dilaksanakan oleh pemimpin non Muslim, walaupun kadangkala mereka tidak mempercayai konsep pahala sekalipun.

Di manakah kesilapan kita dalam melihat Islam?


WAN JI WAN HUSSIN ialah seorang pendakwah dan penulis.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.