Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | The Rescue: Pahlawan yang bukan dilahirkan berani

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Entah bagaimana dokumentari The Rescue disuapkan kepada saya, ketika mencari filem untuk ditonton.

Mungkin kerana saya dikesan telah membeli tiket filem “pahlawan”, lantas saya diandaikan sedang tercari-cari “penyelamat”, maka dokumentari merakamkan misi penyelamatan 13 orang yang terkandas di Gua Tham Luang, Thailand muncul pada skrin untuk tatapan saya. Mungkin.

Hakikatnya, kejadian ini berlaku pada Jun 2018, sebulan selepas Malaysia mencuri perhatian dunia dengan pertukaran kerajaan persekutuan buat kali pertama dalam sejarah, lebih-lebih lagi menampilkan seorang mantan perdana menteri berusia 92 tahun untuk menerajui “Malaysia Baru” pada abad ke-21.

Tumpuan masyarakat antarabangsa mula mengalih ke perlawanan Piala Dunia, yang membuka tirai pada 14 Jun 2018.

Tatkala satu dunia terbuai dalam keghairahan yang ditularkan media, tiba-tiba kita dikejutkan dengan berita bahawa sepasukan bola sepak remaja Thailand yang bergelar “Wild Boars” (Babi Hutan) didapati terperangkap dalam gua di wilayah Chiang Rai, bergelut dengan paras air yang meningkat lantaran musim hujan.

Tiada 'kejutan' lagi dalam The Rescue, memandangkan kesudahannya, malah selok-belok jalan cerita telah diketahui selepas 18 hari operasi penyelamatan dijalankan – menjadi “spoiler” kepada filem dokumentari yang ditayangkan di pawagam pada tahun 2021.

Sungguhpun “plot” tertentu telah dibongkarkan, namun ia sedikit pun tidak menjejaskan filem ini, andainya kita menyelami apa yang tersirat di sebalik apa yang tersurat.

Usah saya mengulangi jalan ceritanya. Paling terkesan apabila “penyelamat” kepada 13 orang yang terperangkap ialah penyelam gua yang rata-ratanya pada pertengahan usia, menjadikan “cave diving” sebagai hobi pada hujung minggu, malah ada yang berbekalkan kelengkapan buatan sendiri.

Setelah pasukan bola sepak remaja bersama jurulatih mereka ditemui oleh penyelam gua British, pihak kerajaan Thai membuat keputusan agar pasukan tentera laut mengambil alih operasi penyelamatan, dan penyelam-penyelam gua asing ini dibataskan peranan mereka sebagai “penasihat” sahaja.

Ketepikan sangkaan buruk bahawa “pihak Thai mahu mengambil kesempatan untuk tentera lautnya memperlihatkan kehebatan mereka kepada seluruh dunia” – keputusan ini masih didasari rasional, kerana tentera laut adalah pasukan terlatih yang paling cekap, berdisiplin, malah dilengkapi dengan segala peralatan tercanggih yang mampu dimiliki sesebuah negara.

Malah tiada yang lebih berani untuk menanggung risiko berbanding tentera laut. Cuma teori yang berasaskan andaian ini meleset, setelah tentera laut Thai mendapati kemahiran yang diperlukan untuk menyelam dalam gua adalah berbeza daripada menyelam dalam laut, dengan kederasan arus, suhu, kekeruhan air dan segala keadaan yang tidak pernah dihadapi mereka.

Hakikatnya, tiada tentera laut dari mana-mana negara yang menguasai kemahiran sebegitu. Situasi ini menjurus kepada kematian seorang bekas penyelam tentera laut, Saman Kunan yang menyertai misi ini secara sukarela pada usia 38 tahun ketika itu.

Setelah terkorbannya Saman Kunan, penyelam gua asing ini terpanggil untuk memikul tanggungjawab bagi menyelamatkan 13 orang ini. Hanya mereka yang mampu melakukannya, sungguhpun mereka masih tidak terfikir kaedah terbaik untuk mengeluarkan 13 orang yang langsung tiada pengalaman menyelam.

Mereka pernah mengeluarkan empat orang pekerja pengepam air yang terperangkap dalam gua, dan pekerja dewasa itu meronta-ronta dalam air, gagal bertahan walaupun 30 saat.

Bayangkan, bagaimana dengan 13 remaja yang terkandas jauh lebih dalam, yang memerlukan perjalanan berjam-jam untuk keluar dari gua?

Risiko diri demi orang lain

Tidak banyak pilihan yang ada. Mereka bertarung dengan paras air yang semakin meningkat lantaran musim hujan, dan paras oksigen yang semakin menurun dalam gua.

Kedua-dua faktor ini menyukarkan situasi dan membahayakan 13 orang tersebut.

Mustahil untuk remaja itu menguasai kemahiran menyelam dalam masa yang singkat, dan agak tidak munasabah juga untuk menunggu sehingga musim hujan berlalu, yang mana tempohnya lebih daripada tiga bulan.

Maka timbul “idea gila” untuk “membiuskan budak-budak itu”, kerana barangsiapa yang panik ketika menyelam dalam gua, maka jawapannya kematian.

Suntikan ubat penenang mampu mengelakkan situasi di mana budak-budak itu panik ketika berada dalam air, namun tiada jaminan bahawa kaedah ini bakal membawa keluar 13 nyawa dalam keadaan hidup.

Lantas penyelam-penyelam gua dari Barat ini tersepit dalam dilema. Pertama, mereka menanggung risiko keselamatan diri untuk misi penyelamatan ini, kerana operasi ini bukan sahaja mencabar untuk tentera laut, malah juga penyelam gua yang “berkepakaran”.

Kedua, mereka diingatkan bahawa undang-undang negara Thai agak ketat, dan ada kemungkinan mereka didakwa dan dihukum, jikalau berlakunya sesuatu yang tidak diingini sepanjang operasi ini.

Masyarakat Thai mungkin menuding jari kepada mereka andainya misi ini gagal, lantas kerajaan tertekan dan terpaksa mengambil tindakan ke atas mereka.

Mereka boleh menarik diri, melepaskan beban tanggungjawab ini kepada pihak Thai memandangkan kejadian ini tiada kena-mengena dengan mereka sebermulanya. Bukan bangsa mereka pun.

Tetapi ini juga bermakna kemungkinan besar 13 orang itu akan mati dalam gua. Akhirnya mereka mengambil keputusan untuk melibatkan diri dalam operasi penyelamatan.

Kedua-duanya keputusan yang sukar, tetapi pilihan untuk tidak menyelamatkan, lebih teruk daripada pilihan untuk menyelamatkan. Jikalau mereka memilih untuk tidak menyelam, maka 13 orang itu akan mati.

Dimensi perwatakan yang berlapis-lapis

Kita telah mengetahui kesudahannya. Mujur pengarah tidak terlebih menonjolkan “penyelamat” ini sebagai wira atau pahlawan yang gagah dan berani, sebaliknya melakar perwatakan mereka yang berlapis-lapis.

Dalam wawancara yang dijalankan, ada penyelam gua yang mengaku bahawa dirinya rasa bersalah kerana pernah terlintas niat untuk menyerah, apabila tidak terfikir cara untuk menyelamatkan 13 nyawa tersebut.

Malah, dua orang penyelam gua yang terawal menemui 13 orang itu, berkongsi ramalan pesimis bahawa mereka mungkin dua orang terakhir yang sempat menemui 13 orang ini dalam keadaan hidup.

Ada penyelam gua yang mengaku bahawa dirinya mangsa buli ketika zaman persekolahan, ada yang tidak yakin pada diri kerana kurang mahir dalam aktiviti sukan yang lain, menjelaskan mengapa mereka memilih aktiviti “menyelam gua” untuk “mengasingkan diri dari dunia realiti dan masyarakat normal”.

Sudah tentu kita tidak faham, malah seorang tentera laut Amerika Syarikat juga tertanya-tanya, bagaimana penyelam gua boleh menjadikan aktiviti ini sebagai hobi untuk berseronok, sedangkan ia begitu merbahaya?

Namun, terdapat pelbagai “hikmah” di sebalik aktiviti menyelam gua. Mereka belajar untuk mengendali emosi dan ketakutan ketika menyelam.

Sesetengah mengaku diri mereka sukar menyesuaikan diri untuk hidup “berpasukan,” jadi mereka lebih menikmati saat-saat ketika berseorangan dalam dunia yang tersendiri – senyap, tenang dan “rasa selamat”.

Untuk salah seorang penyelam gua yang terlibat dalam operasi ini, keyakinan terbina dalam dirinya setelah operasi penyelamatan ini disempurnakan.

Dari satu segi, kemampuan untuk menyelamatkan insan yang lain, telah menyuntik keberanian untuk dirinya. Dia bukan dilahirkan berani, sebagaimana wira-wira yang kita stereotaipkan selama ini.

Dari kaca mata kita, mereka mungkin kelihatan “pelik” kerana memilih “hobi” yang merbahaya ini. Ironinya, hobi inilah yang mengasah kemahiran “luar biasa”-nya untuk menyelamatkan 13 nyawa, tatkala pasukan tentera laut yang menjadi lambang kemegahan sesebuah negara gagal mengendalikan situasi yang “luar biasa” ini.

Iktibar

Sungguhpun misi penyelamatan ini berjaya, prosesnya tidak selancar sebagaimana yang difikirkan. Perselisihan berlaku dan suasana agak tegang sebermulanya, antara penyelam gua Barat dengan pihak berkuasa negara Thai.

Pada peringkat awal, pihak Thai enggan memberi lampu hijau untuk penyelam gua dari negara asing ini masuk ke dalam air, sehingga memberi amaran keras berbunyi,“jangan harap kami untuk mengutip mayat kamu jikalau kamu mati di dalam gua."

Sebagai pihak berkuasa, mereka mungkin tertekan dengan tanggungjawab yang digalas, apatah lagi “kepercayaan” dengan penyelam gua belum dibina ketika itu.

Bagaimanapun, pihak Thai akhirnya membuat keputusan yang tepat, untuk mendahulukan 13 nyawa daripada ego mereka.

Mereka terpaksa akur bahawa hanya “penyelam gua” ini memiliki kepakaran untuk menyelamatkan 13 orang yang terkandas dalam gua, dan bersetuju untuk memberi segala sokongan yang diperlukan demi menjayakan misi ini.

Sentimen untuk mempertahankan maruah bangsa ada kalanya menjadi batu penghalang. Kita gagal membayangkan bagaimana operasi penyelamatan ini berakhir, seandainya bantuan yang cuba dihulurkan masyarakat antarabangsa ditolak sehabis-habisnya.

Dunia bukan lagi hitam putih, sebaliknya ia rumit dan kompleks, umpama situasi dalam gua.

Misi penyelamatan ini disertai warga dari rata-rata dunia, dan mujur salah seorang daripada 13 orang yang terkandas, mampu berkomunikasi dengan bahasa Inggeris, sebelum seorang lagi pemanjat gua negara asing yang fasih bahasa Thai tiba di situ – membantu untuk melicinkan interaksi sepanjang operasi penyelamatan.

Jelas, penguasaan bahasa asing membantu kita untuk menjelaskan masalah kita sebelum diselamatkan, dan memahami masalah orang lain sebelum menghulurkan tangan.

Akhirnya, “penyelamat” yang ditemubual dalam filem dokumentari ini dengan penuh sedar menekankan bahawa misi ini dijayakan semua pihak yang berada di luar sana, sungguhpun kelihatan mereka yang memasuki gua untuk menyelamatkan 13 orang itu.

Harus diingatkan, bahawa kira-kira 5,000 orang Thai, dan ratusan petugas dari dunia antarabangsa terlibat dalam operasi ini. Mereka berasal dari latar belakang yang berbeza – budaya, agama, warna kulit, bahasa, kewarganegaraan dan sebagainya.

Tidak banyak adegan yang sengaja direka untuk menabur habuk dalam mata penonton, tetapi apabila adegan misi penyelamatan disempurnakan, air mata terus mengalir ketika mendengar pengacara yang menahan sebak dalam nadanya, dalam satu klip yang dipetik dari media asing ketika itu.

Terharu, sungguhpun ditonton berkali-kali. Mereka yang berjasa, juga yang terkorban, dinobatkan dan diperingati. Lebih penting, nilai kemanusiaan dijulang sebagai obor untuk menerangkan kegelapan dalam gua.

Dengan cahaya itu kita menemui punca masalah, kemudian mencari jalan keluar sungguhpun ia berdepan dengan kebuntuan dan risiko.

Kita mungkin berselisih faham, bertelagah, sebelum kita menemui titik pertemuan sesama kita.

Tidak mudah, tetapi inilah lumrah dalam hidup pada alaf ke-21.


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).

Artikel ini pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.