Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Ghuram Singh dan penafian Sejarah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Lelaki yang melakonkan watak Ghuram Singh dalam Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan telah menyanggah tulisan saya mengenai pemesongan sejarah Pahang. Pada mulanya saya malas membalas pandangan beliau tersebut, memandangkan hujah dan tugas saya sudah selesai (menerusi dua artikel kolum tersebut). 

Akan tetapi apabila lelaki ini menyebutkan yang konon saya mengabaikan pesan awal filem tersebut bahawa ini hanyalah ‘satu fiksyen’; bahawa “…pengarah dan penerbit sudah menguar-uarkan penceritaan Mat Kilau bukan 100 peratus berkisahkan sejarah dan fakta. Kalau betul-betul berpaksikan fakta, tak mungkin filem itu mampu meraih kutipan hampir mencecah RM100 juta” maka saya berasa terpanggil untuk menjelaskan. 

Saya sendiri sebagai penulis fiksyen dan ahli akademik yang bergelumang dengan aspek seni dan naratif amat maklum akan objektif pesan di awal filem tersebut. 

Malah, saya adalah antara orang yang pernah melakukan strategi ini iaitu strategi “sejarah ya, bukan fiksyen” menerusi pelbagai karya saya. Bahkan saya menyebutkan dalam dua artikel itu bahawa saya ambil berat yang filem Mat Kilau ini adalah fiksyen.

Pelakon yang memainkan karektor Ghuram Singh ini menambah begini; “…saya dimaklumkan mengenai artikel ini melalui rakan-rakan berbangsa Sikh. Mereka menyatakan tiada masalah dengan lakonan saya. Tapi saya tak nafikan mungkin ada segelintir pihak yang tidak bersetuju dengan gambaran watak itu dalam Mat Kilau. Harus saya tegaskan, sebagai pelakon, saya hanya mengikut arahan seorang pengarah. Saya juga yakin, tiada isu perkauman antara Melayu yang timbul disebabkan filem ini.”

Oleh sebab saya juga seorang pendidik, maka kelihatannya peranan saya masih diperlukan untuk meluruskan perihal yang diungkit beliau itu.

Salah satu perkara yang penting untuk diketengahkan ialah terdapat satu istilah untuk golongan marginal atau golongan yang terpinggir. Istilah ini juga merupakan semacam terma lain untuk ‘minoriti’ dan ia dinamakan sebagai subaltern. Kalimat subaltern ini digagaskan oleh tokoh ahli falsafah Marxist dari Itali yang dikenali sebagai Antonio Gramsci dalam tulisan mendiang bertajuk Prison Notebooks (1926). 

Apakah maksud subaltern dalam hal ini? Menurut Gramsci, terma ini mula-mulanya adalah untuk merujuk kepada orang “berpangkat rendah” atau kelompok orang bawah dalam sebuah sosial masyarakat. Kelompok orang berpangkat rendah ini telah lama nestapa bawah kuasa dominasi hegemoni golongan elitis yang telah menekan dan menafikan hak asasi mereka baik dalam sejarah dan budaya. Dalam erti kata lain hak ‘orang berpangkat rendah’ sebagai individu yang aktif telah dikekang dan seolah tidak wujud. 

Istilah subaltern ini kemudian digunapakai dalam kajian-kajian fiksyen (ya memandangkan sejarah sudah diputar belit atas lesen fiksyen), oleh beberapa sarjana dan sejarawan dari India (ya India!) seperti Ranajit Guha, Shahid Amin, Partha Chatterjee, Dipesh Chakrabarty, Gyanendra Pandey, Mohanty Chandra Talpode dan Gayatri Chakravorty Spivak melalui gagasan atau wacana pascakolonial. 

Reaksi terhadap penindasan 

Pada mulanya terma atau teori ini digunakan oleh para sarjana untuk mengkaji semula sejarah sesebuah negara yang pernah dijajah sambil mengenal pasti golongan subaltern dalam sistem sosial masyarakat. Yakni untuk memahami bagaimana minoriti atau golongan subaltern ini memberi reaksi terhadap penindasan yang dikenakan terhadap mereka. 

Wacana ini diterokai demi memahami bagaimana minoriti atau subaltern berurusan dengan pemerintah dan pihak atasan. Misalnya apakah yang akan dilakukan oleh kaum wanita apabila dilindas patriarki, atau apakah yang akan dilakukan oleh minoriti Tamil di Sri Lanka dalam mendepani penguasaan etnik majoriti.

Di situ, dalam perkembangan wacana subaltern itu, para sarjana dari India ini menemui satu yang menggerunkan. Yang dinamakan pula elit subaltern.

Dalam masa penjajahan, terdapat satu golongan elit lain yang aktif berurusan dengan penjajah. Terdapat banyak bukti yang kuasa kolonial mengetengahkan strategi elit subaltern ini untuk terus berkuasa dan menekan atau mengepung secara total masyarakat yang dijajah.  Elit subaltern ini dicipta, diternak, dipupuk, diberi materi (wang harta benda dan pangkat) supaya dapat menjadi orang tengah di antara kelas kolonial dengan kelas masyarakat subaltern

Jadi apakah elit subaltern? Mereka adalah suara elit, dari kelompok minoriti. Dalam erti kata lain satu suara yang dominan yang merasakan diri mereka itu adalah wakil suara kepada subaltern ini. Maksudnya dalam kelompok minoriti sendiri ada elit yang perasan. Kelompok ini mendapat laba dan kelebihan, diberi muka dan mendapat tempat istimewa daripada puak majoriti atau pemerintah, atau penjajah. Golongan inilah di banyak negara yang mendapat keuntungan bila sesebuah negara itu merdeka.

Gayatri Spivak, sarjana besar dari India juga menerangkan terdapat keadaan bila golongan elit subaltern ini merampas (hijack suara minoriti). Ia menjelaskan kepada kita satu keadaan sedih bahawa dalam golongan minoriti sendiri, atau subaltern; terdapat golongan elit yang akan membantu kuasa sedia ada untuk menafikan suara mereka. 

Kadangkala elit subaltern ini tidak sedar pun mereka sudah menjadi elit dan menutup hak minoriti yang mereka anggotai iaitu masyarakat subaltern. Sukar untuk kita membayangkan itu terjadi. Katakan misalnya, seorang kulit hitam di Texas abad ke-19 mempertahankan tuan tanah ladang kapas kulit putih untuk menyebat dan merotan hamba kulit hitam yang lain, kerana apa? Kerana dia sudah menjadi elit subaltern.

Gayatri Spivak melihat bagaimana  golongan elit subaltern ini boleh akhirnya mempunyai satu kuasa autonomi total terhadap masyarakat subaltern. Mereka lama kelamaan menjadi kubu kuasa kolonial. Mereka tanpa sedar berpihak kepada penjajah dan penguasa, dan membantu terus-terusan penutupan hak dan penafian terhadap kelompok minoriti atau subaltern yang mana mereka sendiri adalah dari situ. Mereka bertindak menjadi tetuang kepada majoriti yang sebenarnya sedang memijak mereka.

‘Perantara’ 

Jadi, memang kasihan kepada golongan terperuk atau minoriti. Sudahlah miskin, terpinggir, ditekan, dan tiada suara atau representasi. Malah lebih dahsyat mereka tidak dapat mewakilkan diri kerana ada wakil lain yang meletakkan dirinya sebagai di posisi untuk bercakap bagi pihak. 

Goenawan Mohamad dalam kolumnya yang terkenal di Tempo (2016) pernah menulis begini mengenai ‘subaltern’: 

Orang-orang miskin terkadang mirip dewa-dewa yang malang: suara mereka perlu disimak, tapi sering kali dunia mendengarnya melalui perantara.”

Akan tetapi sebetulnya siapa yang melantik mereka sebagai perantara? Soalnya tentu ada penguasa yang mengarah atau menguasai mereka untuk menjadi ‘perantara’.

Sebagai pendidik, hal ini memang perit untuk diutarakan. Akan tetapi itulah kerja guru bangsa, memberitahu meskipun muridnya akan menggelegak. Sebagai penutup, representasi elit subaltern atau mereka yang rasa dirinya perantara untuk orang malang ini biasa ditemukan dalam karya-karya seni seperti penerbitan sastera, pementasan teater, dan paling banyak dan biasa, dalam naratif filem.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). 

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.