Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Bermula dengan tanya

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Apa yang anda fikir?

Max Zuckerberg sedang bertanya tentang fikiran-fikiran yang anda sembunyikan. 

Terciptalah dinding tempat kita membubar segala gelisah. Merintih sengsara, meluah derita. Di dinding ratap ini juga kita merakam hidup, mengasuh harapan dengan cita-cita yang lebih baik. 

Lalu kita lega. Nafas yang ditarik tidak lagi sesak menekan dada.

Mengapa dengan tanya? Apa kepentingan bertanya soalan dengan cara yang tepat dan padat?

Tanya, bertanya, pertanyaan, ia bukan hal luar biasa. Suatu kelaziman sederhana dalam hidup seharian.

Anehnya ada orang tidak tahu bagaimana mahu bertanya, dagal mencipta pertanyaan atau tidak tahu mengemukakan pertanyaan. 

Berdasarkan pengalaman ditemu bual ramai pihak seperti wartawan, pelajar universiti tahap PhD dan segmen di acara TV; saya menyimpulkan rata-rata mereka mengalami ketidakupayaan untuk mengemukakan soalan yang sesuai, tepat dan padat. 

Ini mungkin disebabkan oleh sikap penemu bual yang tidak cakna terhadap topik pembicaraan atau kurang menyemak latar belakang individu yang ditemu bual. 

Ada ketikanya laras bahasa seperti susunan ayat berselerak. Seolah-olah tidak ada persedian awal sebelum proses wawancara.  

Ini bermakna, bertanya itu sejenis kemahiran yang dapat dipelajari oleh semua orang. Ia memerlukan latihan berulangan. Dalam pertanyaan tersimpan kefahaman kita terhadap apa yang mahu diperbicarakan. 

Sekiranya apa yang kita tanyakan keliru, ia menunjukkan sukatan kefahaman masih bernilaian rendah. Seseorang itu dapat dipastikan keupayaan pengetahuan mereka melalui cara mereka mengemukan pertanyaan. 

(ii)

Kita dapat memahami fungsi pertanyaan ke dalam dimensi yang lebih mendalam. Misalnya, Apa mungkin Socrates menjadi terkenal hanya kerana selalu bertanya soalan? Tidakkah pertanyaan sekadar perkara mudah untuk dilakukan? 

Mengapa Socrates menjadi ahli falsafah hanya kerana tanya? Bukankah falsafah itu keberanian untuk bertanya dan bersedia menemukan jawapan. 

Patung Socrates

Sudahkah dalam pertanyaan tersimpan jawapan? Mengapa pula dalam jawapan masih lagi tersisa pertanyaan?  

Hakikatnya, persoalan runcitan tidak menumbuhkan jawapan besar. Pertanyaan demi pertanyaan perlu terbit dari kegelisahan yang tak tercakapkan. Dalam setiap pertanyaan terpendam segala renungan gelisah.

Ada hal-hal yang belum terlerai dari fikiran. Fikiran seseorang itu sedang bermain silang kata. Merumus dan mencari jawapan-jawapan yang belum terpuaskan.

Sebelum mahu berfalsafah, cuba bertanyakan diri sendiri. Apakah kita selalu bertanya dan mencari jawapan? Sudahkah pertanyaan yang dilontarkan meruah dari alam fikiran yang sedang menggelisah? 

Cara anda bertanya mencermin pergelutan fikiran yang sedang menekan kemahuan ingin tahu yang membuak-buak. Jadinya, apakah ia terhasil dari refleksi yang dalam tentang sesuatu perkara?

Seni bertanya itu sendiri adalah falsafah. Bertanya setelah melalui proses renungan akal yang berterusan dan mendalam. Dan marilah kita dengarkan persoalan yang dibangkitkan? Ini penting untuk diketahui. 

Yang mengakui sedang berfalsafah,yang mengelek buku falsafah ke hulu hilir; adakah mereka punyai pancaran batin untuk bertanya dan berfikir?

Saya ragu apakah falsafah dapat dikembangkan di Malaysia. Rata-rata khalayak yang bertanyakan soalan dalam forum awam tidak menampilkan refleksi tajam, pergelutan intelektual dan pembacaan serius. 

Biar pun suatu masa nanti bidang falsafah dipelajari di universiti; ia sekadar menyalin ulang apa yang sudah ada dalam buku-buku yang ditelaah. Kemudiannya mengungkap kembali tanpa banyak penambahbaikan.

(iii)

Persoalan yang dilontarkan hari ini mungkin seminggu, sebulan, setahun, lima tahun, sepuluh tahun atau saat hampir meninggalkan dunia menemukan jawapan. Tempoh masa itu bukan menjadikan diri anda seorang yang penakut, Takut untuk bertanya dan terus bertanya. 

Belajar dan terus belajar. Berfikir dan terus berfikir. Mencari dan terus mencari jawapan apa-apa jua persoalan. Itulah inti kehidupan ini, kadang-kadang ada persoalan tiada ditemukan jawapan.

Anehnya ada jawapan ditemukan saat berdiri. Ada jawapan ditemukan saat duduk. Mungkin jawapan itu ada dalam soalan yang ditanyakan sendiri. 

Jawapan itu ada dalam jawapan yang dijawab sendiri. Jawapan itu ada dalam diri sendiri yang tak sempat ditemukan. 

Anehnya ditemukan jua jawapan itu pada kanak-kanak.

Jawapan itu pada orang yang tak disangka pun ada jawapannya. Si bodoh yang pernah dihinakan. Si buta tadi yang diruntunkan jalan. Si gila yang diajak berbual. Si miskin semalam yang telah dihlulurkan makanan.

Bermula dengan tanya, itu perjalanaan mula ke gerbang pengetahuan. 

Tuhan itu kasihkanmu, Tuhan itu tidak membiarkanmu, Tuhan itu hadir meliputi segenap gelodakmu. Berikan seluruh diri untuk-Nya. Tuhan tajalikan hidayah-Nya.


MOHD ROSLI IBRAHIM antara penggerak kesedaran isu-isu OKU. Dia turut terlibat dalam bengkel-bengkel Disability Equality Traning (DET) di universiti dan jabatan kerajaan serta audit akses di Majlis Bandar Raya Petaling Jaya (MBPJ). Dia menghasilkan buku OKU Bangkit dan Gelap Mata: Percikan Renungan OKU Penglihatan. Buku terbarunya yang akan terbit ialah Masharakat Chantek. Fokus penulisannya meliputi agama, falsafah dan wacana perbukuan. 

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.