Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Penilaian prestasi politikus menjelang PRU15

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Setelah melalui pengalaman pertukaran kerajaan persekutuan pada 9 Mei 2018, Malaysia dilonjakkan ke satu peringkat baru dalam sejarah politik tanah air. Dengan kata lain, tidak wajar lagi untuk kita berdepan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagaimana kita berhadapan dengan PRU lalu. Konteksnya berubah, suasananya bertukar. Sekali tsunami politik, sekali Malaysia berubah.

Jikalau dahulu pengundi membandingkan “pengalaman” di bawah BN dengan “harapan” yang dijanjikan parti pembangkang sebelum memangkah pada kertas undi, kini pengundi mampu membuat pertimbangan berdasarkan prestasi calon, parti politik dan gandingan parti politik masing-masing.

Apa tidaknya, andai kita mengimbas tempoh empat tahun dan tiga bulan kebelakangan, 22 bulan pertama dimulakan dengan pemerintahan Pakatan Harapan, disusuli 17 bulan oleh Perikatan Nasional yang diterajui Muhyiddin Yassin, sebelum diserahkan kepada Ismail Sabri, sehingga hari ini. Sungguhpun panjang tempoh pemerintahan masing-masing berbeza, komponen gandingan parti pun bertukar-tukar, ditambah pula situasi wabak Covid-19 yang tidak menentu, tetapi pengundi masih mampu menilai prestasi pemerintahan PH, PN dan BN berdasarkan pengalaman, dan bukannya “khayalan”, atau manifesto yang dijanjikan semata-mata.

Persoalannya, bagaimana kita membina satu mekanisme atau menggariskan kayu ukur yang objektif dan menyeluruh untuk menilai prestasi ahli politik, parti politik mahupun gandingan politik pada PRU15?

Maszlee vs Radzi vs Noraini

Andainya demokrasi dikatakan sistem politik paling kurang buruknya berbanding yang lain, maka pilihan raya menyaksikan bagaimana kita memilih calon atau parti politik yang paling kurang buruk berbanding yang lain. Kita boleh membuang undi rosak, atau tidak tampil mengundi sebagai protes, namun kita tetap menanggung padah daripada sebuah kerajaan yang dipilih pengundi-pengundi lain. Tiada sehiris rasa segan dalam kalangan politikus jikalau peratusan keluar mengundi menjunam. Sebaliknya, dengan muka tebal politikus bertanya, “Malu apa?”

Justeru itu, pengundi sepatutnya memanfaatkan senario politik terkini untuk menuntut sesuatu yang lebih baik daripada ahli politik dan parti politik. Gelanggang harus dibuka untuk melangsungkan persaingan antara politikus dan parti politik, dengan kayu ukur yang digariskan pengundi.

Misalnya, prestasi Maszlee Malik (PH) sebagai Menteri Pendidikan harus dibandingkan dengan Radzi Jidin (PN), malah Noraini Ahmad (BN) sebagai Menteri Pengajian Tinggi. Prestasi ketiga-tiganya boleh dinilai melalui peruntukan untuk sekolah pelbagai aliran, idealisme pendidikannya (keutamaan untuk pendidikan khas, pandangan sama ada pendidikan berorientasikan peperiksaan harus dikekalkan, pendirian terhadap Auku dan sebagainya), keberkesanan pentadbiran kementerian dan lain-lain.

Kuncinya bukan sama ada kita suka atau benci Maszlee Malik ketika menilai prestasinya, tetapi sejauh manakah pencapaian Radzi Jidin dan Noraini Ahmad apabila dinilai dengan kayu ukur yang sama? Boleh jadi Maszlee Malik mencatat 90% dari kaca mata peminat tegarnya, atau 35% oleh mereka yang tidak berpuas hati dengannya – persoalannya, jikalau Maszlee Malik mencatat 35%, berapa markah yang diberikan kepada Radzi Jidin dan Noraini Ahmad?

Penilaian sedemikian amat perlu, kerana sering kali pengundi dihasut dengan sentimen sehingga gagal membuat pertimbangan secara rasional dan adil. Petik sahaja kontroversi pengenalan tulisan jawi dalam buku teks Bahasa Melayu darjah empat sekolah rendah jenis kebangsaan – isu ini meletup pada tahun 2019 sehingga imej Maszlee tercalar dan populariti PH merudum dalam kalangan komuniti Cina. Namun, apa terjadi kepada tiga muka surat pengenalan tulisan Jawi itu ketika Kementerian Pendidikan Malaysia dikemudi Radzi Jidin? Jikalau tiga muka surat itu dikekalkan, mengapa Radzi Jidin tidak dibadai ombak kemarahan?

Petik lagi contoh “kasut hitam”, yang menjadi bahan lawak untuk mempersendakan Maszlee Malik. Sememangnya Maszlee Malik perlu menanggung kesan lantaran apa yang diperkatakan dirinya. Cuma, bagaimana dengan Noraini Ahmad selaku Menteri Pengajian Tinggi yang menganjurkan pertandingan video pendek TikTok ketika Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan? Bukankah video pendek yang dirakamkan Menteri Pengajian Tinggi itu tidak mencerminkan tahap intelek yang tinggi, malah mendedahkan akalnya yang lebih pendek berbanding video?

Kasut sekolah hitam yang diperkenal zaman Maszlee

Justeru itu, jikalau kita membandingkan setiap kelebihan dan kelemahan menteri yang menerajui KPM, bukankah kita akan memperolehi gambaran yang lebih menyeluruh, sebelum kita memilih mereka yang paling menyerlah dalam penilaian dengan kayu ukur yang sama?

Aspek-aspek yang dinilai

Sudah tentu penilaian sedemikian tidak terbatas kepada kementerian pendidikan sahaja. Kita juga boleh membandingkan gandingan Wan Azizah-Hannah Yeoh (PKR-DAP/PH) dengan Rina Harun-Siti Zailah (Bersatu-PAS/PN) ketika menerajui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dari segi nilai yang didukung, dan dasar yang terlaksana ketika mengendalikan isu kanak-kanak, gender, gejala sosial dan sebagainya. Gandingan mana yang lebih berjaya melindungi hak dan mengangkat martabat kaum wanita, selaras dengan keperluan zaman?

Wan Azizah dan Hannah Yeoh

Penilaian sedemikian boleh dilanjutkan kepada kementerian-kementerian yang lain, dari Kementerian Dalam Negeri, Kewangan, Pengangkutan, Kesihatan, Pertahanan, hinggalah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan lain-lain. Aspek-aspek yang boleh dirangkumkan ketika penilaian termasuklah tahap integriti, ketelusan, keberkesanan pelaksanaan, halatuju dasar, pengendalian krisis dan sebagainya. Pandangan NGO yang menjuarai isu-isu berkenaan harus diambil kira, supaya penilaian tersebut lebih profesional, dan tidak hanya tunduk kepada suara populis.

Penilaian calon wakil rakyat

Begitu juga andainya kita mahu menilai calon-calon yang bakal bertanding dalam PRU15. Sedar atau tidak, kita memasuki satu zaman di mana media menghasilkan berita berdasarkan kandungan yang dimuat naik politikus dalam media sosial masing-masing. Berita sebegini seolah-olah memiliki satu acuan (atau “template”) tertentu – dengan melaporkan statusnya, reaksi netizen dan komen terpilih. Ia semacam menumpang arus deras yang sedang diviralkan, atau menviralkan apa yang sedang diviralkan.

Sedangkan, andainya pengamal media mengambil sikap lebih kritis terhadap ahli politik yang berjinak-jinak dengan media sosial, audiens atau rakyat mungkin memperolehi sesuatu yang lebih baik. Misalnya, wartawan mengumpulkan kesemua kandungan yang dimuat naik ahli politik dalam tempoh tertentu, dikupas nisbah kandungannya yang berkaitan dengan perkhidmatan kawasan, perbahasan dalam dewan perundangan, lontaran pandangan terhadap isu awam dan sebagainya. Pernahkah ahli politik ini berkongsi berita palsu, atau mesej untuk menghasut kebencian? Pernahkah ahli politik ini melontarkan kenyataan yang mengandungi unsur diskriminasi, berbaur perkauman dan sebagainya – kesemua ini dijadikan pertimbangan untuk kita mengenalpasti sejauh manakah kualiti ahli politik itu.

Jikalau ini menjadi kayu ukur kita untuk menuntut seseorang wakil rakyat yang berkualiti, sudah tentu mereka tidak berani untuk memperdayakan pengundinya dengan gambar apa yang dimakan/dipakai hari ini, atau rakaman video pendek yang tidak mencerminkan tahap intelektual dan kematangan yang harus dimiliki seseorang yang menawarkan diri sebagai calon ADUN atau Dewan Rakyat. Pengguna media sosial juga dimanfaatkan kerana tidak perlu lagi melayan mereka yang menyanyi dan berlakon tanpa bakat untuk berbuat demikian.

Muhasabah dan tanggungjawab

Sememangnya, faktor lain harus diambil kira selain merit, misalnya pergolakan dan suasana politik semasa peringkat global, yang boleh mempengaruhi situasi politik tanah air. Bahkan, jikalau PH memberi penjelasan yang sewajarnya, sesetengah pengundi boleh menerima alasan bahawa agak mustahil penyelewengan dan kebobrokan yang tertunggak selama 60 tahun dapat diselesaikan secara tuntas dalam tempoh 22 bulan.

Cuma, jikalau PH menjadikan alasan ini sebagai satu-satu faktor “mengapa janjinya dicapati”, keikhlasan PH untuk bermuhasabah akan diragui. Lebih-lebih lagi, sesetengah pemimpin PH menabur janji lagi, “kami pasti mampu menunaikan kesemua janji andainya diberi satu penggal penuh”. Janji-janji sedemikian tidak memperlihatkan bahawa PH telah mengambil iktibar dari pengajaran lalu. Banyak isu yang terlalu rumit untuk dirungkaikan dalam tempoh lima tahun, dan belum pasti mampu disempurnakan PH dengan kekuatan sedia ada. Terlebih janji adalah satu sikap yang tidak bertanggungjawab.

Akhir kata, pengundi berhak menuntut sesuatu yang lebih baik daripada wakil rakyat, sama ada kerajaan mahupun pembangkang. Pemimpin politik perlu menyesuaikan diri dengan senario baru selepas pertukaran kerajaan persekutuan buat kali pertama dalam sejarah pada 9 Mei 2018. Parti pemerintah sedar dirinya boleh ditumbangkan, dan parti pembangkang sedar akibatnya jikalau menabur janji populis.

Begitu juga dengan pengundi. Kita dihadapkan kepada realiti bahawa semua ahli politik dan parti politik memiliki kepentingan masing-masing, dan cabaran kita adalah mewujudkan satu gelanggang dan suasana yang lebih sihat untuk persaingan politik. Kita belajar untuk menerima dan menilai kelebihan dan kelemahan ahli politik, parti dan gabungan parti pada nisbahnya. Usah diperbesarkan jasanya, dan pantang diperbesarkan silapnya.

Pengundi harus sedar bahawa dirinya kini berada di dunia yang sarat dengan retorik dan propaganda untuk mempengaruhinya. Pengundi harus belajar untuk membuat pertimbangan yang lebih objektif, rasional dan matang. Ini kerana akhirnya wakil rakyat dipilih rakyat. Bagaimana wajah rakyatnya, begitulah wajah wakilnya. Demokrasi tidak menjanjikan kerajaan yang terbaik, tetapi sekadar lafaz “padan muka” kepada pengundi yang mengundi dan tidak mengundi. 


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).

Artikel ini pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.