Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Menolak punk di Cherating

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Yang heboh di Kuantan sehari dua ini adalah bagaimana suatu acara yang dirancang diadakan di kawasan tepi pantai melibatkan kumpulan musik punk, No Good, dibatalkan.

Habis segala hipster yang menyamar sebagai punkster keluar mengamuk, marah-marah sambil minum kopi mahal di Muka Cafe yang ada di Kuantan.

Punk-lah sangat.

Orang Kuantan sekarang ini tengah 'menaik'. Segala macam acara seni mereka adakan dan biasanya ia dilakukan sendiri.

Jarang ada penglibatan pihak berkuasa tempatan yang mengambil kisah akan sumbangan mereka kepada kepesatan acara seni dibanda raya kuno tersebut.

Kuantan ini, begitulah. Kalau kamu tidak melibatkan mana-mana YB dalam acara kamu, maka bangsatlah kamu di mata orang kerajaan.

Gambar hiasan

Acara yang telah mendapat kebenaran daripada pihak berwajib itu sepatutnya diadakan di Pantai Cherating, namun dibatalkan kerana ada satu aduan datang kepada kerajaan.

Kata pengadu, acara itu adalah acara jahat.

Kami ada membaca aduan tersebut yang dikongsi orang di media sosial. Maka dengan sesungguh hati kami katakan bahawa sudah terlalu lama kami tidak membaca alasan sebegitu digunakan untuk menghalang pesta muzik di mana-mana pun jua.

Ia adalah bantahan tipikal yang seperti selalu dikeluarkan oleh satu kumpulan politik lama dahulu, yakni sebelum mereka menjual perjuangan bangsa, manakala kekayaan menjadi matlamat hidup masing-masing.

Terbit sendiri, jual sendiri

Ada masanya mereka masih berkopiah dan berketayap, namun agama seakan-akan tidak lagi menjadi agenda utama yang dibawa.

Petanda pilihan raya sudah sangat hampir barangkali. Awak-awak mereka pun berasa sangat perlu untuk mengingatkan orang ramai bahawa jawatan polis moral adalah hak mutlak kumpulan mereka.

Dan mengatakan bahawa lelaki yang yang memukul budak tahfiz tempoh hari sebagai mewakili puak-puak punk adalah suatu tamparan, sekali gus sebuah lawak yang amat jenaka.

Main tangkap muat je aok yek.

Muzik punk di negara kita mula dikenali apabila kumpulan Pilgrims mengeluarkan album pertama mereka. Kata orang itulah kumpulan yang digelar sebagai pemula rakaman album penuh musik punk oleh sebuah label terkenal.

Sebelum itu, kumpulan punk mengeluarkan sendiri karya muzik mereka dan dijual juga dengan cara begitu juga. Ia sesuai dengan semangat DIY yang didukung oleh gerakan punk.

Gambar hiasan

Yang lebih menariknya, kumpulan Pilgrims berasal dari bandar Kuantan. Maka sempurna sudah suatu pusingan! Bandar yang mengeluarkan legenda muzik punk negara membantah persembahan kumpulan punk di tempat mereka.

Untuk berlaku adil, Pantai Cherating itu letaknya berhampiran dengan Kampung Sungai Ular. Penyanyi utama kumpulan Masa yang terkenal dengan lagu Patahnya Sayap Malam itu juga berasal dari kampung tersebut.

Maka mana mungkin kampung yang melahirkan Zul Masa itu akan membenarkan kumpulan No Good mengadakan konsert di tempat mereka.

'Berlaga pawang' bak kata orang.

Kumpulan No Good sepatutnya mengadakan konsert di RRM Kemunting kerana kawasan itu memang sejak dulu terkenal menghasilkan peminat muzik yang tanpa ada sebuah kugiran pun terlahir dari sana.

Tumpuan pelancong bajet rendah

Sepatutnya jemput juga YB tempatan untuk merasmikan konsert tersebut, dan kami percaya seluruh tenaga yang ada akan digunakan untuk mempromosi acara berkenaan.

Orang kampung pun takkan marah kerana menyambut YB dengan penuh takzim dan meriah adalah langkah menebus segala dosa yang siapa saja lakukan.

Pada tahun-tahun 1990-an, Kemunting terkenal sebagai 'kampung Iron Maiden' kerana kesemua remaja mereka dirasuk oleh hantu Eddie.

Jika kamu rajin membaca komik yang dilukis oleh kartunis Gayour, kamu akan tahu bagaimana penampilan 100 peratus remaja Kemunting pada waktu tersebut.

Mereka berbaju hitam dan seluar ketat - juga hitam - mengalahkan Paul Di'Anno atau Bruce Dickinson, tapi memetik gitar haram tidak pandai. Podah untuk budak Kemunting.

Pantai Cherating memang terkenal sejak lama dulu. Mungkin kerana kecantikannya, atau pun kerana penginapan murahnya.

Asalnya pelancong yang datang akan menumpang tidur di rumah penduduk tempatan saja. Lama-kelamaan apabila ia bertambah masyhur maka dibina orang akan chalet dan rumah tumpangan.

Kawasan itu adalah sorga pengembara yang tidak berwang tapi mahu menghabiskan masa berlama-lama di situ.

(Sekarang pelancong tidak berduit biasanya akan ke Ulu Dong di Raub dan tinggal di Art Garden Madi. Di sana pelukis terkenal Ismadi Sallehudin akan melayan mereka dengan penuh kasih dan cinta.)

Pada tahun-tahun 1970-an hingga 1980-an pula terdapat ramai pelancong yang singgah sebentar di Kuantan sebelum menyambung perjalanan ke Cherating.

Permandangan itu makin berkurangan sejak akhir 1990-an sehinggalah ke hari ini apabila hampir tiada langsung pelancong yang menjadikan Kuantan sebagai lokasi transit sebelum mereka ke Cherating.

Ia diburukkan lagi oleh pembangunan kampung di Cherating. Segala keaslian yang menjadi tarikan ramai telah diubah, manakala gubahan yang dilakukan adalah setara dengan mana-mana pembangunan yang dilakukan oleh pihak kerajaan.

Tetap kekal sebagai hiburan

Kesalahan paling besar apa pun projek memperindah kawasan pelancongan di negara kita ialah apabila kita sibuk mahu menjadi tempat yang cantik di luar negara.

Kita tidak mahu - malah ada kalanya malu - untuk mempamerkan keunikan tempat sendiri.

Lalu jadilah lampu jalan di Kampung Cherating berinsprasikan lagu jalan di kota raya Paris, misalnya.

Sesudah itu, untuk melengkapkan kegagalan tersebut, nama kampung tersebut ditukar dari Cherating kepada Cerating.

Jenis tak pergi sekolah gamaknya. Nama khas mana boleh tukar.

Teluk Cempedak juga mengalami nasib yang sama. Begitu juga dengan Teluk Sisek.

Memang awalnya Cherating terkenal sebagai pusat kepada segala kegiatan yang pada pandangan umum adalah tidak bermoral. Pelancong bebas minum arak dan juga menayangkan tubuh mereka.

Namun sesuatu yang agak menarik ialah bilamana amalan itu tidak begitu diamalkan oleh penduduk tempatan.

Memang ada satu atau dua 'kacang hantu' yang terikut-ikut perbuatan tersebut namun secara umum, penduduk kampung masih mengekalkan tradisi hidup mereka yang berlandaskan ajaran agama.

Tidak ada pak cik atau mak cik yang tiba-tiba mabuk arak dan berlari sambil bertelanjang mengikut mat saleh yang datang. Yang ada ialah pak cik dan mak cik itu beroleh sedikit pendapatan, selain mampu berinteraksi dengan baik dalam bahasa asing.

Hari ini Cherating sudah mati. Yang datang ke situ hanyalah orang tempatan.  Kalau bernasib baik - dan ia berlaku jarang sekali - adalah kelihatan pelancong luar datang.

Mereka tidak lagi berkelakuan mencolok mata seperti zaman kegemilangan pantai tersebut.

Ada yang mengatakan bahawa pelancong luar mula berkurangan setelah insiden 9/11 di New York City sana.

Masalahnya setelah lama peristiwa tersebut berlalu, Cherating kekal kosong daripada didatangi kecuali untuk mereka yang gemarkan roti-roti dari Perancis keluaran Cafe Marion.

Muzik adalah muzik dan ia tidak akan mengubah apa-apa. Beratus-ratus tahun dengan beribu-ribu penyanyi menyanyikan lagu sebagai protes atau bantahan, namun ia kekal sebagai sebuah 'hiburan'.

Jika kamu masih ingat bagaimana gilanya kamu membentak budak-budak metal yang kamu tuduh sebagai penyembah kepala kambing suatu masa dulu, maka sayugia diingat bahawa mereka kini sudah dewasa dan menjadi manusia hampir sama dengan kita.

Dijalani hidup mereka sepertimana mereka yang dulunya gila dengan muzik pop atau - jika kamu suka - peminat muzik 'dakwah'.

Mereka keluar pagi mencari rezeki dan pulang petang dengan keletihan. Tidak pula mereka menuduh orang lain yang meminati muzik pop atau dakwah sebagai punca kejayaan atau kegawatan hidup masing-masing.

Mahu minum arak tidak perlu tunggu menjadi peminat muzik punk. Mereka yang langsung tidak mendengar muzik juga ada yang mabuk tidak kira tempat.

Anak-anak kita, kami pasti semuanya sudah dikhabarkan dengan berita baik mengikut ajaran agama. Setelah itu tidak ada apa lagi yang boleh kita lakukan selain berdoa agar mereka jadi pentaat yang lari jauh daripada segala macam kejahatan.

Setelah mereka mula boleh berfikir, kita yang tua ini tidak lagi diambil kata nasihatnya.

Yang terbaik tentu saja kita ini - yang sudah bangka - agar mendekati mereka. Menjadi karib kepada mereka. Bukan keluar dengan segala fatwa yang kita sendiri pada zaman jahil sering duduk dalam malang untuk mengikut jalan yang benar.

Jangan jauhkan diri dengan mengajar mereka melalui kemarahan, tetapi pujuklah mereka dengan kemesraan.


ABDULLAHJONES ialah pengembara dan pencatat yang masih meminati dondang sayang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.