KOLUM | Moga mahkamah beri keadilan pada rakyat
KOLUM | Untuk mereka yang mencari keadilan untuk perasuah dan penyangak negara, bahawa kononnya keadilan yang tergesa bukanlah keadilan; maka mereka harus diingatkan bahawa siapakah yang akan memberi keadilan kepada rakyat yang menanggung bahana besar dari kerugian dan perompakan para pemimpin yang korup ini?
Sekadar mungkin satu contoh yang tiada kena mengena dengan kenyataan di atas - pada Jun 2022 - ketika perbicaraan bekas perdana menteri Najib Razak berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur; Setiausaha Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Aktuari (BPKA) Kementerian Kewangan ketika itu, Siti Zauyah Mohd Desa berkata, pihaknya tidak pernah menerima laporan daripada 1MDB berhubung ke mana wang itu dibelanjakan dan digunakan.
Wang RM2.3 bilion tanpa diketahui ke mana lesapnya, dan bagaimana ia dibelanjakan?
RM2.3 bilion! RM2.3 bilion yang boleh digunakan untuk membangunkan rumah sakit. RM2.3 bilion yang boleh digunakan untuk mendirikan sekolah. RM2.3 bilion yang boleh digunakan untuk menebus mangsa banjir dan bah ekoran penanaman durian dan pembalakan rakus. RM2.3 bilion yang boleh digunakan untuk kebajikan kita semua.
Sekadar mungkin satu contoh yang tiada kena mengena, ketika perbicaraan itu juga, disebut yang kerajaan Malaysia terpaksa menanggung hutang berjumlah AS$3 bilion yang dipinjam syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2013 yang diluluskan melalui surat sokongan ditandatangani Najib selaku menteri kewangan ketika itu.
Ditanggung rakyat
Oleh demikian, kepada mereka yang kononnya tanpa segan silu memetik ungkapan Martin Luther King untuk menghalalkan perompakan pemimpin korup ini, bahawa kononnya keadilan yang tergesa bukanlah keadilan; maka mereka harus diingatkan bahawa siapakah yang akan memberi keadilan kepada rakyat yang menanggung bahana besar dari kerugian dan perompakan para pemimpin yang korup ini?
Sekadar barangkali satu contoh yang tiada kena mengena; dalam jawapan bertulis di persidangan Dewan Rakyat Julai 2022, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz yang berura-ura akan bertanding di bawah parti Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-15, menjelaskan betapa jumlah baki komitmen hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) adalah RM32.08 bilion iaitu setakat 30 Jun 2022 dengan andaian kadar tukaran wang asing AS$1 bersamaan dengan RM4.50.
RM32.08 bilion! RM32.08 bilion yang boleh digunakan untuk membangunkan klinik dan hospital. RM32.08 bilion yang boleh digunakan untuk mendirikan sekolah dan stadium. RM32.08 bilion yang boleh digunakan untuk membina jambatan dan jalan raya agar anak-anak sekolah di Sabah dan Sarawak tidak perlu menyabung nyawa merentas sungai, atau ada bapa yang terpaksa memikul keranda anak di tengah malam yang sunyi untuk membawanya pulang ke kampung halaman.
RM32.08 bilion boleh menjadi pampasan mangsa banjir dan bah ekoran penanaman durian dan pembalakan rakus. RM32.08 bilion yang boleh digunakan untuk kebajikan kita semua.
Sekadar mungkin satu contoh yang tiada kena mengena; antara tempoh April 2017 hingga Mei 2022, kerajaan Malaysia (baca: kita rakyat) telah menyalurkan bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman atau pendahuluan sebanyak RM10.85 bilion melalui Kementerian Kewangan (MOF) dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) untuk bayaran komitmen dan faedah hutang 1MDB berikutan masalah kewangan dihadapi 1MDB sebelum ini. Segala kejelikan dan kejelakan ini ditanggung oleh rakyat.
Maka beritahukan mereka yang mencari keadilan untuk perasuah dan penyangak negara, bahawa kononnya keadilan yang tergesa bukanlah keadilan; maka mereka harus diingatkan bahawa siapakah yang akan memberi keadilan kepada rakyat yang menanggung bahana besar dari kerugian dan perompakan para pemimpin yang korup ini?
Pada Mac 2022, ketika sesi perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat; bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin menjelaskan bagaimana dana awam digunakan oleh kerajaan untuk membayar prinsipal hutang 1MDB. Kata beliau, “Menteri kewangan maklumkan kerajaan setakat ini sudah membayar RM13.3 bilion hutang 1MDB. Ini duit rakyatlah,”. Tentu, ini sekadar barangkali satu kisah yang tiada kena mengena untuk kita renungkan.
Tanpa merujuk kepada isu dan kes di atas, sekadar sebagai contoh untuk menyanggah pemuja penyangak dan pembela perompak ini; soalan kita adalah, adakah ini keadilan untuk rakyat yang menanggung segala sial korupsi dan penyelewengan harta dan aset negara?
RM13.3 bilion hutang 1MDB yang kita rakyat tanggung itu misalnya tidakkah berguna untuk hal ehwal lain demi membangunkan negara tercinta ini? Apakah yang difikirkan oleh pembela dan pelindung penyangak dan perompak korup ini?
Maka sudah tentu kita rakyat mengharapkan keadilan daripada para hakim di mahkamah. Mereka, Yang Arif mestilah berani meletakkan keadilan untuk rakyat.
Tegas dan tidak selektif
Para hakim di mahkamah perlu merenung kepada titah diraja Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sempena ulang tahun penubuhan Badan Pencegah Rasuah (BPR/SPRM) Ke-47 pada 2014. Iaitu ketika rasuah memang betul-betul mengakar dan negara kita sedang diaibkan dunia.
Baginda Sultan Nazrin bertitah yang negara ini memang sedang berdepan ancaman paling dahsyat. Bencana itu adalah rasuah. Tuanku Sultan Perak dan Timbalan Yang Dipertuan Agong saya percaya tidak akan mengampunkan mana-mana pesalah rasuah, korup, penyangak dan perompak. Ini kerana pada tahun 2014 itu baginda bertitah;
“Usaha memerangi rasuah wajib memberi fokus kepada dua aspek. Aspek pertama langkah punitif yang tegas dan tidak selektif’, dilaksanakan tanpa gentar – tanpa pilih kasih; aspek kedua: Langkah preventif untuk mengukuhkan integriti.”
Perhatikan seruan Sultan Perak, supaya kita bertegas dan todak selektif dan ia adalah dua kata kunci penting yang wajib dijadikan prinsip. Dalam hal ini tegas dan tidak selektif ialah menghukum pemimpin korup tanpa simpati kerana mereka telah meletakkan negara dan rakyat dalam gaung jahanam.
Kita rakyat juga berhak mendapat keadilan. Berpaksi dan berpandukan ‘langkah punitif yang tegas dan tidak selektif’ inilah makanya mana-mana hakim pun wajar untuk menolak putar belit dan aneka alasan kaum penyangak yang berusaha membebaskan diri mereka dari hukuman.
Kita rakyat berhak beroleh kemerdekaan dari penjajahan korupsi dan kejahagtan penyangak pemimpin perompak. Kita rakyat berhak beroleh keamanan dan keuntungan dari negara yang bersih, yang mana kita tidak perlu menanggung kerugian dari penyelewengan.
Untuk mereka yang mencari keadilan untuk perasuah dan penyangak negara, bahawa kononnya keadilan yang tergesa bukanlah keadilan; maka mereka harus diingatkan bahawa siapakah yang akan memberi keadilan kepada rakyat yang menanggung bahana besar dari kerugian dan perompakan para pemimpin yang korup ini?
Jika anda melihat mana-mana pembela dan pelindung penyangak korup ini, yang menagih kasihan dengan memetik dan memesong kata-kata Martin Luther King misalnya, tempelak kembali mereka begini:
“Usaha memerangi rasuah wajib memberi fokus kepada dua aspek. Aspek pertama langkah punitif yang tegas dan tidak selektif, dilaksanakan tanpa gentar – tanpa pilih kasih; aspek kedua: Langkah preventif untuk mengukuhkan integriti”, yakni seperti dinukil oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah pada tahun 2014.
FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai