Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Hidupkan kembali tindakan afirmatif

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Umum mengetahui bahawa keadaan dan jurang ekonomi antara kaum di negara tidak melambangkan kedudukan yang lestari. Jurang yang begitu ketara antara kaum sangat jelas dan jurang ini dijangka semakin melebar dalam masa 30 tahun akan datang jika tidak ada usaha yang konkrit diambil oleh pihak kerajaan. Yang kaya akan terus mendominasi manakala yang miskin atau kurang berada akan terus terpinggir. Dalam hal ini sudah pasti yang akan paling terkesan dan terpinggir adalah kaum Bumiputera atau lebih khusus lagi orang Melayu. 

Lihat saja dari aspek pemilikan hartanah yang mana hampir 80% di kawasan-kawasan bandar adalah dimiliki oleh bukan Melayu. Dengan harga kediaman yang semakin mencanak naik, maka adalah amat sukar untuk dimiliki semula oleh orang Melayu marhaen yang rata-ratanya bekerja di sektor-sektor awam. Akhirnya orang Melayu kini terpaksa tinggal di pinggir-pinggir bandar. 

Kalau ada pun penempatan orang Melayu yang masih kekal sehingga sekarang ini ialah di Kampung Bharu, Kuala Lumpur. Itupun sudah ada usaha untuk mengeluarkan mereka atas alasan pembangunan. Kampung Kerinchi kalau dahulu majoriti penduduknya adalah orang Melayu namun kini ia sudah bertukar tangan kepada orang lain. Bukan sahaja orang Melayu kehilangan tanah malah nama Kerinchi pun sudah hilang ditukar kepada Bangsar South. 

Dengan kebanjiran pendatang luar yang kaya-raya ke bandar-bandar, dan dengan nilai ringgit yang semakin merendah maka sudah tentu kos pembelian hartanah di negara ini semakin mengujakan kepada pelabur asing. Tidak mustahil bandar-bandar besar di negara ini juga akan akhirnya menjadi milik bangsa asing.

Dalam hal ini, kerajaan dilihat seolah-olah hanya bersikap lepas tangan dan membiarkan pasaran menentukan harga dan polisi perumahan. Tanpa menafikan harga tanah sudah semakin mahal dan pemaju terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi untuk membina bangunan kediaman, tetapi jika kerajaan tidak peka maka akhirnya akan membentuk strata penduduk yang tidak harmoni. Rakyat akan terpisah dengan kaum Cina terutamanya akan tinggal di bandar manakala orang Melayu terus dilambakkan di pinggir bandar. 

Pemisahan sebegini akan menimbulkan sentimen yang negatif antara kaum yang boleh bertukar kepada keganasan seperti yang berlaku di Afrika Selatan. Tetapi kalau kita lihat di negara-negara luar seperti UAE dan Arab Saudi, mereka sangat mengambil berat akan kebajikan rakyatnya walaupun pelabur asing berduyun-duyun masuk ke negara mereka, tetapi setiap rakyat akan diberikan kemudahan kediaman.

Tidak dinafikan ada sedikit usaha untuk membantu golongan kurang berada dengan membina pangsapuri tetapi kita semua maklum keadaanya amat kurang selesa dan serba daif. Kerajaan perlu bertindak dengan lebih berstrategik lagi bagi mengelakkan fenomena “penghapusan” orang Melayu di bandar-bandar. Sebagai contoh, banyak kawasan-kawasan pembangunan sekarang ini di Kuala Lumpur adalah merupakan tanah rizab Melayu seperti Jalan Ampang dan Jalan Tunku Abdul Rahman. Tetapi ia sudah bertukar menjadi milik semua orang. Kalau mengikut akta tanah kerajaan wajib menggantikan kembali Tanah Rizab ini dengan tanah lain yang setimpal tetapi itu tidak berlaku. Begitu juga tanah-tanah wakaf yang terdapat di merata tempat dalam bandar-bandar seluruh negara tetapi ia tidak dibangunkan dengan sebaik mungkin. 

Dengan perkembangan sebegini saya tidak menolak kemungkinan bahawa kawasan-kawasan lain di sekitar Kuala Lumpur seperti Keramat dan Gombak lama kelamaan juga akan terpaksa dirombak demi tujuan pembangunan. Apakah keharmonian kaum dapat dicapai dengan pemisahan sebegini? Di manakah peranan agensi-agensi kerajaan yang ditubuhkan untuk membangunkan tanah untuk orang Melayu di kawasan-kawasan bandar seperti Uda?

Kita tidak menolak pembangunan dan juga kemampuan pihak lain untuk memiliki hartanah di bandar Namun saya percaya keadaan ini tidak berlaku jika orang Melayu mempunyai kedudukan ekonomi yang baik seperti orang lain. Tetapi disebabkan pendapatan yang terbatas, akhirnya semua tempat-tempat yang strategik terlepas dari tangan orang Melayu. Kita kena ingat bahawa peristiwa 1969 tercetus antara sebabnya ialah jurang ekonomi yang ketara antara orang Melayu dan Cina. Maka sebab itu dilancarkan DEB dengan mengenalkan satu konsep pelaksanaan yang dikenali sebagai tindakan afirmatif. Namun, atas pelbagai sebab maka hasrat DEB tersebut tidak dapat dicapai sehingga kini.

Persoalannya, adakah tindakan afirmatif ini meminggirkan kaum lain? Adakah ia satu dasar yang adil kepada kaum lain? Ini selalu menjadi bahan perbincangan dalam kalangan para ahli ekonomi dan juga ahli politik. Kalau dinilai dari segi teori memang nampak seolah-olah ia sesuatu yang meminggirkan bangsa lain tetapi jika dikaji lebih mendalam, realitinya kaum lain juga mendapat nikmat dan tempias yang sama. Perlu difahami bahawa keadilan itu bukan bererti semudah ‘sama rata’ kepada semua tetapi ia memberikan sesuatu kepada yang lebih memerlukan. Sudah pasti dalam hal ini orang Melayu yang merangkumi 60% di bawah kemiskinan tegar bandar adalah paling layak dibantu secara khusus dan strategik. 

Apakah ia bukan satu keadilan juga untuk orang Melayu mendapatkan kembali Tanah Rizab mereka yang telah hilang?  Apakah ia bukan satu keadilan untuk orang Melayu mendapat gaji yang setara dengan bangsa lain? Apakah salah untuk orang Melayu memiliki tempat kediaman yang selesa seperti bansga lain? Malah jika orang Melayu mempunyai kedudukan ekonomi dan kewangan yang baik maka sudah pasti yang akan menikmati hasilnya adalah peniaga-peniaga juga yang sebahagian besarnya adalah orang Cina. Akhirnya kitaran wang itu akan dapat mengukuhkan ekonomi semua bangsa. Inilah yang perlu difahami oleh mereka-mereka yang menentang tindakan afirmatif.

Kalau dilihat dari segi sejarah, walaupun tindakan afirmatif ini telah dilaksanakan selama lebih dari 40 tahun, kaum mana yang masih miskin dan terpinggir? Sebenarnya yang menjadi isu bukan polisi tindakan afirmatif itu tetapi perlaksanaanya yang telah merosakkan hasrat murni kerajaan ketika itu. Penjelasan kembali tentang konsep ini yang berteraskan kepada keadilan perlu diterapkan di semua peringkat masyarakat kepada semua pihak agar ia dilihat sebagai suatu penyelesaian kepada keharmonian kaum. Di samping itu, semua elemen yang merosakkan perlaksanaanya perlu dibersihkan habis-habisan sama ada dari segi tatacara kerja mahupun manusia yang melaksanakanya.

Baru-baru ini saya bertemu dengan seorang kenalan yang memang sudah lama membuat pelbagai kajian dan analisis tentang rakyat dan isu-isu semasa. Beliau memaklumkan bahawa beliau baru sahaja selesai mengadakan satu kajian mengenai pandangan rakyat terhadap politik. Daripada 7,000 responden yang dilibatkan, hampir 70% daripada mereka telah benci dengan politik. Rakyat sudah mual dengan kerenah orang politik kerana mereka merasakan hidup mereka tidak mendapat perhatian dari pimpinan politik.


AMINUDDIN YAHAYA merupakan pengerusi gabungan NGO Islam; Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela).

Tulisan ini tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiakini.