Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Pergulatan politik Teluk Intan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | Pilihan raya umum (PRU) yang pertama di Tanah Melayu pada 1955 adalah langkah persediaan awal untuk anak watan mentadbir sendiri tanah air ini.

Salah satu kawasan parlimen yang terlibat ialah Teluk Anson (kini dikenali dengan nama Teluk Intan) mengambil sempena nama bandar yang paling selatan di pesisir pantai Perak.

Pada PRU, kawasan parlimen Teluk Intan mempunyai 87,396 pengundi dengan Melayu membentuk 42 peratus, diikuti Cina (38.7 peratus), India (21.8 peratus) dan lain-lain (0.4 peratus).

Teluk Intan merupakan antara kawasan parlimen yang penting dalam membuat jangkaan masa hadapan politik tanah air terutama di kawasan pengundi campuran yang agak seimbang.

Parlimen Teluk Intan mempunyai dua dewan undangan negeri iaitu Changkat Jong dan Pasir Berdamar. Artikel ini melihat susur galur pergulatan politik pilihan raya di parlimen Teluk Intan sejak 1955 hingga 2018.

Dari situ, beberapa corak atau pendekatan politik dapat dilihat terutama bagaimana parti-parti politik berusaha memperolehi sokongan. Ini sangat penting sebagai proses pendidikan politik.

Ia bukan sahaja penting buat pemimpin politik tetapi juga kepada pengundi yang terdiri daripada kalangan orang biasa.

Ahli parlimen bertukar-tukar

Ahli parlimen pertama untuk Teluk Anson ialah Bahaman Samsuddin. Calon Perikatan itu merupakan bekas pegawai daerah Kuala Pilah yang berasal dari Kuala Pilah.  Dia ditentang oleh calon PAS, Hasan Adli Mohd Arshad, yang merupakan anak tempatan dan berasal dari Bagan Datuk.          

Hasan Adli seorang guru di Madrasah al-Ulum as-Syariah di Bagan Datoh dan anak kepada ulama tempatan yang terkenal. Setelah Bahaman menang, dia dilantik menjadi Menteri Dalam Negeri dalam kabinet pertama Tunku Abdul Rahman.

Selepas merdeka, kawasan parlimen di seluruh negara bertambah menjadi 104 kawasan daripada 52 kerusi.

Pada PRU pertama selepas merdeka (iaitu 1959), Bahaman meninggalkan Teluk Intan untuk bertanding di tempat asalnya, Kuala Pilah. Kawasan parlimen Teluk Anson dipecah-pecahkan menjadi tiga kerusi berbeza iaitu Teluk Anson, Hilir Perak dan Bagan Datoh (kini Bagan Datuk).

Pada PRU 1959, parlimen Teluk Anson menyaksikan wakil Perikatan, Woo Saik Hong dari MCA, dicabar calon Parti Progresif Rakyat (PPP), Tan Poh Aun. Keputusannya, Woo menang dengan majoriti 4,404 undi daripada 22,762 pemilih.

Bagaimanapun, Teluk Anson menyaksikan pilihan raya kecil (PRK) pada 1961 berikutan kematian Woo. Kali ini Dalam pilihanraya kecil itu, calon bebas, Too Joon Hing menentang calon Perikatan - juga dari MCA - Wah Keng Jooi.

Too menang dengan majoriti 3,156 undi.

Siapakah Too itu? Bagaimana dia - di sebalik kedudukannya sebagai calon bebas - boleh menang?

Too bukanlah orang asing dalam politik. Dalam PRU 1955 dia memenangi kerusi Kinta Selatan selaku calon MCA-Perikatan. Tunku Abdul Rahman melantiknya menjadi timbalan menteri pelajaran untuk membantu Abdul Rahman Talib yang menjadi menteri.

Nama diabadikan di sekolah

Kemudian berlaku isu pendidikan negara berikutan bantahan terhadap Laporan Rahman. Abdul Rahman bertegas mahu terus melaksanakan dasar pendidikan yang berteraskan bahasa kebangsaan di sekolah-sekolah jenis kebangsaan.

Too bersama Persekutuan Persatuan-Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dan Dong Jiao Zong menentang laporan itu. Too kemudian membuat keputusan untuk meletak jawatan sebagai timbalan menteri sebagai protes.

Lim Lian Geok yang mengasaskan Dong Jiao Zong pula dilucutkan kerakyatan kesan daripada penentangan terhadap dasar tersebut. Populariti Too juga melonjak kerana dianggap sebagai tokoh pejuang pendidikan Cina.

Akhirnya pengundi Cina di Teluk Anson menterjemah bantahan mereka melalui peti undi dalam PRK berkenaan. Nama Too turut diabadikan pada sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina yang diluluskan pembinaannya di Dengkil pada 2017.

Pada PRU 1964, Dr Ng Kam Poh pula menjadi pilihan MCA sebagai calon Perikatan. Dia ditentang oleh calon Socialist Front, Chai Kai Wooi. Keputusan menunjukkan Perikatan kembali menguasai parlimen Teluk Anson.

Tunku Abdul Rahman kemudian melantik Ng sebagai menteri kesihatan.

Walaupun Ng menjadi anggota kabinet, dia ditewaskan oleh calon DAP pada PRU 1969. Calon pembangkang yang mengetepikan Ng ialah Chan Fu King.

PRU tersebut menyaksikan DAP Perak memenangi lima daripada enam kerusi yang mereka tandingi.

Secara keseluruhan, jumlah kerusi yang dimenangi pembangkang - sama ada di peringkat parlimen atau DUN Perak - mengatasi apa yang dimiliki Perikatan. Pembangkang terdiri daripada PAS, PPP, Gerakan dan DAP.

Perikatan memang mengalami kekalahan tetapi kekurangan itu kemudian dapat diatasi apabila darurat diisytiharkan.

DAP pertahan kerusi

Mulai PRU 1974 hingga 2018, Gerakan menjadi wakil BN untuk menguasai parlimen tersebut. Sejak itu juga, MCA terpaksa berputih mata.

Bermula dengan Au Hong Cheong (1974, 1978, 1982) sebagai calon BN, ia kemudian diteruskan oleh oleh Ong Tin Kim (1986, 1990, 1995) dan terakhir ialah Mah Siew Keong (1999, 2004, 2014) yang menang sebagai calon dacing.

Untuk kali kedua, DAP berjaya menawan parlimen Teluk Intan ialah semasa PRK 1997 berikutan kematian Ong.  Calon DAP ketika itu, Kulasegaran Murugeson, mengalahkan Chee See Choke (Gerakan-BN). Namun pada PRU 1999, Mah merampas kembali kerusi tersebut daripada DAP.

Mah Siew Keong

Kemudian DAP merampas semula Teluk Intan melalui PRU 2008 melalui M Manogaran. Kira-kira lima tahun kemudan DAP mempertahankan kerusi tersebut melalui calonnya, Seah Leong Peng, yang juga bekas Adun Pasir Berdamar.

Setahun kemudian, PRK terpaksa diadakan apabila Seah meninggal dunia (2014).  Gerakan merampas semula Teluk Intan melalui calonnya, Mah.

Pada 2018, Nga Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak berjaya menewaskan Presiden Gerakan itu di Teluk Intan.

Berdasarkan rekod, Gerakan konsisten membawa calon dari kalangan kaum Cina sebagai pertaruhan mereka untuk meraih sokongan. Berbeza dengan DAP yang membawa calon daripada pelbagai kaum, termasuk Melayu seperti Mohd Fadlan Yahya pada 1986 dan Dyana Sofya Mohd Daud(2014). Kedua-duanya hanya kalah tipis.

Dyana Sofia

Ccalon India yang pernah dibawa DAP ialah MG Pandithan (1990) dan N Rajendiran (1999) tetapi kedua-duanya kalah. Hanya Kulasegaran dan Manoharan berjaya menawan kerusi tersebut, masing-masing pada 1997 dan 2008.

Sepanjang hampir tujuh dekad, Teluk Intan melalui PRU sebanyak 15 kali dan tiga PRK. Berdasarkan pergulatan politik selama tujuh dekad itu, parlimen Teluk Intan juga memberi isyarat politik Malaysia pada masa akan datang. 


MUHAIMIN SULAM ialah Naib Pengerusi Amanah Perak dan ahli pimpinan Pakatan Harapan Perak.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.