Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Hero pujaan 'dianiaya' orang

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | Kalau kami ditanya tentang berapa harga barangan runcit seperti beras misalnya, dengan malu kami akan menjawab yang kami tidak tahu. Hal itu kerana kami tidak pernah membeli barangan runcit.

Semasa di rumah keluarga, Mok yang menguruskan semuanya. Dan setelah beranak-pinak, mereka yang sekeliling kamilah yang menguruskan hal tersebut.

Kami dibesarkan dalam keadaan yang dimanjakan. Semua sesuatu yang diperlukan, disediakan oleh orang keliling. Jadi kami tidak tahu harga barang keperluan harian.

Namun harga rokok yang kami hisap - kalau kamu tanya - akan kami jawab selayaknya kerana memang kami sendiri yang membelinya. Orang keliling tidak mahu melayan apabila kami membahayakan kesihatan.

Setiap hari kami beli dua kotak rokok dengan harga RM35.80.

Suka dingatkan bahawa ini tidak bermaksud kami habiskan kedua-dua isi kotak tersebut dalam satu hari. Kami tidaklah segelojoh itu. Kami ini bersedia orangnya, jadi bimbang jika tiba-tiba terputus bekalan justeru membuatkan kami menyediakan dua kotak tersebut.

Biasanya satu kotak kami tinggalkan di tempat bekerja dan satu di meja makan. Senang, tidak perlu turun naik tangga menggagau mencari rokok.

Sedikit selingan mengenai rokok: baru-baru ini kami diserang demam yang panjang. Satu malam, dada kami terasa seperti ditekan. Sakit yang membuatkan kami memukul dada sendiri.

Kami ke klinik dan setelah ujian dilakukan, doktor menulis satu surat untuk kami bawa kehospital sebagai pemeriksaan lanjut dengan segera.

"Kami risau akan masalah dada pak cik," kata doktor yang baik hati itu.

Takut juga akan segera mati, namun sehingga hari ini kami belum ke mana-mana hospital pun. Sengaja kami pedajal doktor hospital dan doktor klinik yang memandai rujuk kami ke mana-mana.

Tidak lagi mampu berbelanja

Kembali kepada cerita tadi.

Kerana itu kami faham apabila anak orang itu mengatakan betapa sengsaranya kehidupan mereka sekarang ini. Mereka tidak lagi 'mampu' berbelanja hatta untuk membeli segelas kopi mahal sekali pun.

Bukan kerana tidak ada wang tetapi kerana hal tersebut mendatangkan kesedihan yang banyak kepada mereka. Segala perbuatan berbelanja tanpa peduli perasaan orang sekeliling suatu ketika dulu, kini hanya menjadi kenangan kepada mereka.

Tidak lagi dapat mereka berkongsi bahagia minum kopi bersama-sama sambil berbincang akan bagaimana mereka akan menyelesaikan masalah negara, misalnya.

Semua kopi, kek, tas tangan, rumah besar dan wang berjuta-juta yang masih mereka miliki kini tidak lagi membawa apa-apa erti. Alangkah sayunya hati kami apabila mengenangkan keadaan itu.

Habis segala kebahagian yang lalu menjadi menjadi hampas yang tidak membaja.

Kehidupan mereka kini adalah sebuah kesedihan yang amat sangat. Sehingga artikel ini ditulis, nampaknya mereka masih lagi meroyan tanpa henti menceritakan kepada dunia akan kesedihan tersebut.

Bukan hanya anak-anak mereka yang berdukacita, bahkan seluruh anggota gerombolan tersebut kini hidup dengan bergenang air mata. Malah tuan presiden mereka juga teresak-esak menahan sendu ketika berbicara.

Memanglah, hero pujaan mereka kini 'dianiaya' orang. Sekurang-kurangnya itulah yang mereka mahu percaya. Pedulikanlah apa pun dikata orang lain, mereka tetap mahu percaya begitu.

Kami kesian sungguh dan ketahuilah oleh kamu bahawa kami menaip artikel ini sambil menangis teresak-esak jua.

Kerana itu juga gamaknya habis segala orang dari gerombolan yang satu itu tidak sudah-sudah membela dan memuja. Mereka berdoa ke hadrat tuhan untuk memohon bantuan atas bala besar yang menimpa seluruh kaum itu.

Cara hidup bertukar

Sejak berkurun-kurun lamanya memang sering terjadi pertentangan di antara orang tua dan orang muda.

Orang tua melihat kelakuan yang mereka anggap baru sebagai kebodohan, manakala orang muda pula menilai perbuatan mereka sebagai kemajuan.

Contoh mudah adalah apabila datang muzik pop yeh yeh semasa datuk nenek kita masih masih asyik mandi Safar. Maka mereka melihat jijik perbuatan menari a go go itu.

Ibu bapa yang a go go itu pula naik pening apabila melihat anak-anak mereka yang gila kepada pemuzik 'baru' seperti yang mengigit gitar.

Pertentangan sebegini boleh difahami kerana ia adalah pembawaan zaman. Namun sejak a go go hingga kepada pengokak gitar, tidak pernah berlaku secara seluruh anak-anak muda itu merasakan perlu untuk menunjuk-nunjuk dan bangga dengannya.

Hari ini seluruh cara menjalani hidup telah bertukar.

Apa yang berlaku hari ini ialah anak-anak kita berasa perlu untuk menonjolkan diri kepada umum dan beranggapan ia suatu kemestian, sedangkan ia amat asing pada suatu ketika dulu.

Ia adalah suatu norma baru dan siapa saja yang tidak melakukan demikian - yakni berbangga dan mempamerkan kekayaan, tergedik-gedik di depan kamera, mencari puji atau membesarkan buah dada agar boleh dipertontonkan kepada umum - maka orang itu adalah tidak normal.

Tidak ada lagi malu kerana mereka itu tidak faham apa itu malu. Slogan bodoh yang dilaung-laung itu juga tidak membantu.

Bongkak juga sudah hampir tidak difahami maksudnya, maka kerana itu lahirlah anak-anak yang menganggap bahawa nasib buruk yang menimpa mereka adalah disebabkan kegagalan untuk hidup selesa.

Muda-mudi itu semestinya keliru dengan curahan hati seorang anak yang hancur hatinya apabila mengenang ada ahli keluarganya yang dikurung. Muda-mudi itu pasti tidak melihat adanya kesalahan dalam luahan murung yang mereka paparkan.

Pergi mampus dengan keputusan undang-undang - agaknya itulah kata hati mereka - kerana tang penting ialah segala kesedihan wajib didendang.

Biar semua orang tahun akan derita yang sedang mereka alami. Biar datang simpati beramai-ramai. Biar jadi modal sebuah 'perjuangan'.

(Kami berani bertaruh nanti apabila datangnya piliha raya, anak yang remuk hatinya itu pasti menjadi calon penganti si bapa. Kami pun mendokan kemenangan untuk gerombolan tersebut. Semoga tahanan yang itu dibebaskan segera agar kita semua boleh faham apa ertinya padan muka.)


ABDULLAHJONES ialah penggemar kopi O ais yang teringin menikmati macchiato caramel mahal.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.