Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Di sebalik pemenjaraan Najib

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sesungguhnya, pendemokrasian politik Malaysia menuntut sesuatu yang lebih daripada pemenjaraan Najib Razak. Pemenjaraan Najib sekadar manifestasi kepada konsep abstrak yang diperjuangkan, misalnya sistem kehakiman yang bebas dan adil.

Lantas keputusan mahkamah persekutuan pada 23 Ogos 2022 untuk mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib Razak dalam kes SRC disambut dengan sorakan. Barangkali itu hari paling ceria buat pengundi yang memangkah Pakatan Harapan sejak 9 Mei 2018, atau sekurang-kurangnya, detik saat paling gembira dalam politik tanah air sejak berlakunya “Langkah Sheraton”.

Apa tidaknya, emosi masyarakat terbuai sepanjang perjalanan liku-liku pendemokrasian pasca PRU14. Bermula dengan keterujaan menyaksikan bagaimana kediaman perdana menteri keenam digeladah, disusuli kemudian dengan proses perbicaraan yang panjang dan membosankan, lebih-lebih lagi kesabaran rakyat sering diuji apabila ia kelihatan kerap ditangguh-tangguhkan.

Malah, Najib mula nampak “cahaya harapan”, selepas menjenamakan semula dirinya sebagai “bossku”, dan setelah kembalinya Umno ke Putrajaya pada Mac 2020 melalui “jajaran politik baharu”. Sudah tentu pengundi PH merasakan usaha mereka disia-siakan begitu sahaja. Dalam suasana yang diselubungi kekecewaan dan kemurungan, Malaysia dikejutkan dengan keputusan lima orang hakim di Mahkamah Persekutuan, yang menjalankan tugas mereka dengan penuh profesional.

Babak sejarah ini wajar dirakam, dan diberi makna sebelum kita memulakan lembaran baru. Pemenjaraan Najib Razak boleh ditelaah dari tiga dimensi, iaitu institusi kehakiman, politik dan nilai masyarakat.

Kehakiman bebas dan adil selepas ini?

Pertama, harus diingatkan bahawa integriti adalah sesuatu yang mudah dirobohkan, tetapi memakan masa untuk dibina semula. Justeru itu, penghakiman kes SRC tidak wajar ditafsirkan terus sebagai pemulihan integriti institusi kehakiman sepenuhnya, sungguhpun ia merupakan satu langkah penting ke arah pemulihan integriti dan kewibawaan institusi kehakiman.

Sudah tentu rakyat Malaysia ingat krisis yang pernah melanda institusi kehakiman, dari pemecatan Ketua Hakim Negara, Salleh Abas pada tahun 1988, hinggalah pembongkaran klip video “Correct, Correct, Correct” (Lingam Tape) pada tahun 2007. Malah, untuk sekian lama, institusi kehakiman lebih dilihat sebagai “jentera negara” yang diperalatkan sang penguasa untuk menindas pembangkang, aktivis dan mereka yang tidak sewaktu dengan kerajaan.

Justeru itu, penghakiman kes SRC tatkala Umno sedang berkuasa, menyuntik sedikit sebanyak keyakinan kepada masyarakat Malaysia, bahawa mahkamah boleh memainkan peranan sebagai tunggak untuk menegakkan kebenaran dan keadilan. Apa pun, terlalu awal untuk kita membuat kesimpulan hanya berdasarkan satu atau dua kes. Institusi mahkamah masih berada bawah pengamatan umum, sepanjang perjalanan membina semula integritinya, selangkah demi selangkah.

Kita mendoakan agar institusi kehakiman yang bebas, adil dan profesional, mendekatkan Malaysia kepada kebenaran. Moga-moga satu hari nanti, politikus yang benar-benar bersalah, tidak boleh lagi menghasut sentimen penyokongnya atas alasan dirinya mangsa politik; dan politikus dari kerajaan yang benar-benar tidak bersalah, tidak lagi dipandang serong bahawa dia dibebaskan kerana campur tangan kuasa eksekutif.

Rasuah: Stesen berikutnya, Kajang

Kedua, Najib Razak merupakan perdana menteri Malaysia pertama yang dijatuhkan dalam pilihan raya umum, dan kemudian dipenjarakan lantaran kesalahan rasuah. Fakta ini dengan sendirinya menjadi mesej paling jelas kepada semua politikus tanah air, bahawa perdana menteri tidak kebal dari hukuman sungguhpun berada di puncak tangga kuasa. Suara rakyat suara keramat. Sekali pecah amanah, mengkhianati mandat yang diberikan rakyat dengan amalan rasuah, maka destinasinya penjara.

Teori ini berbunyi seperti pengetahun am, tetapi kekal tidak teruji di Malaysia sehinggalah 23 Ogos 2022. Ketika Najib berkuasa, kita diperlihatkan bagaimana dia mematahkan setiap langkah yang cuba mengheretnya ke muka pengadilan. Timbalan dan menteri kabinetnya yang berbeza nada dipecat, media yang membongkarkan skandal digantung permitnya, aktivis dan pembangkang yang memprotes ditahan, malah pegawai yang menyiasat diberhentikan perkhidmatan mereka, satu persatu.

Bahkan ketika menjadi pembangkang sekalipun, cubaan demi cubaan dicaturkan untuk memboloskan dirinya daripada tindakan undang-undang. Najib cuba memanfaatkan dirinya daripada landskap politik tanah air yang menyaksikan senario di mana tiada parti mahupun gabungan parti yang cukup dominan untuk menubuhkan kerajaan yang stabil secara bersendirian. Lebih mengejutkan apabila terdapat politikus yang tergerak hati dengan tawarannya, semata-mata untuk kembali berkuasa.

Mujur episod ini tidak berakhir sebagaimana yang dihasratkan Najib. Moga-moga ia menjadi muafakat yang disepakati semua politikus selepas ini, bahawa mereka yang terpalit dengan rasuah dan salah guna kuasa, harus dikecualikan dari sekutunya, meskipun terpaksa berdepan dengan persaingan sengit dari pihak lawan. Dengan kata yang lebih mudah, sama ada BN, PH mahupun Perikatan Nasional, persaingan harus dilangsungkan tanpa merangkumi kekuatan perasuah, agar perasuah gagal mengambil kesempatan untuk membebaskan diri setelah melakukan kesalahan.

Hanya dengan ini, politikus Malaysia akan menyedari betapa dahsyatnya kesan rasuah terhadap kerjaya politik dirinya. Malaysia tidak perlu mencontohi China yang menembak mati pesalah rasuah. Memadailah sekadar menamatkan hayat politiknya, dengan hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

Nilai masyarakat: Memperbetulkan yang salah

Ketiga, tidak kurang ibu bapa, guru yang diletakkan dalam dilema beberapa tahun lalu, apabila anak atau muridnya bertanyakan, bagaimana seseorang perdana menteri yang terpalit dengan skandal rasuah, boleh kekal berkuasa sebagai ketua kerajaan? Dakwaan ini bukan khabar angin semata-mata, tetapi disokong dengan bahan bukti yang ditemui unit penyiasatan dari seluruh pelusuk dunia. Malah dengan penampilan gaya hidup ahli keluarganya yang tidak selaras dengan pendapatannya sudah cukup mencurigakan.

Penghakiman Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 memperbetulkan nilai masyarakat kita, bahawa wang bukan segala-galanya. Masyarakat Malaysia tidak sanggup hidup dalam satu dunia di mana perasuah mencuri wang rakyat yang berbilion-bilion, dan kemudian membeli sokongan dengan wang berjuta-juta. Ketirisan antara bilion dan juta, disonglap menjadi banglo, kapal layar, cincin permata, beg tangan dan sebagainya, yang menyerikan hidup politikus dan keluarganya.

Mulai hari ini, kita boleh mendabik dada, malah dengan suara yang lantang, “Cash is not king!” (Wang bukan raja.) Malah, wang dan kuasa bukan segala-galanya. Malaysia berjaya membuktikan bahawa kebenaran tidak boleh diugut, ditekan, dipijak mahupun dibeli. Tiada perdana menteri yang harus membenarkan seseorang rakyat Malaysia untuk mencuri wang berbilion-bilion daripada rakyat, dan kemudian dibelanjakan sewenang-wenangnya. Ini adalah tanggungjawab yang datang bersama kuasa yang digenggam dalam tangan.

Simpati biarlah kena pada tempatnya

Akhir kata, tiada niat untuk kita bergembira atas derita orang lain. Sememangnya kita harus lebih bersimpati dan berempati, tetapi biarlah kena pada tempatnya. Daripada kita bersimpati kepada banduan rasuah yang tidak mampu minum caramel macchiato kerana berada di dalam penjara, lebih baik simpati dicurahkan kepada mereka yang tidak pernah mampu minum caramel macchiato sungguhpun berada di luar penjara.

Kekejian bermula apabila kita memperbesar-besarkan sesuatu yang baik daripada si penyangak yang korup, berkuasa dan berada, di samping mencari-cari sesuatu yang buruk daripada si rakyat biasa yang mulia, miskin dan terpinggir, tanpa kita sedar bahawa kekayaan menyediakan segala syarat untuk berbuat baik, dan kemiskinan boleh menghimpit seseorang ke lembah kehinaan.

Jangan sesekali diberi kesempatan kepada penyangak untuk berbuat baik dengan habuan yang haram, agar kekejiannya disucikan. Sebaliknya, kita harus sedaya-upaya mewujudkan satu situasi masyarakat di mana kebanyakan anggotanya memiliki syarat untuk berbuat baik, atau sekurang-kurangnya, tiada alasan untuk melakukan kejahatan. Bukan semua yang berada akan menderma, tetapi mereka yang berada, lebih selesa untuk menderma. Bukan semua yang miskin akan mencuri, tetapi mereka yang miskin, jikalau dihimpit, ada yang akan mempertimbangkan opsyen ini. Ini realiti dunia.

Justeru itu, seandainya kita mampu memenjarakan penyangak yang mencuri berjuta-juta ringgit untuk membeli beg tangan, maka kita boleh mengurangkan perompak yang meragut beg tangan untuk beratus-ratus ringgit. Dengan berkurangnya banduan yang mencuri beg tangan, maka ruang penjara menjadi lebih longgar bagi banduan yang mencuri untuk beg tangan. Demikianlah kebajikan yang mampu kita perjuangkan untuk banduan rasuah berstatus kayangan, setakat ini.


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).

Artikel ini pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.