KOLUM | Makna kematian Baginda Ratu
Ratu Elizabeth adalah monarki paling lama bertakhta dalam sejarah British.
Kematian beliau berlaku di istana percutian keluarga diraja yang terletak di Scotland, Istana Balmoral.
Memerintah sehingga berusia 96 tahun adalah antara rekod yang sukar dipecahkan dalam era moden mahupun era England sebelum ini.
Malah kematian Elizabeth juga bermakna anaknya, Charles secara automatik dilantik sebagai Raja England pada usia 73.
Secara logiknya tempoh pemerintahan Raja Charles tidak akan lama.
Jika usia beliau mencecah 100 tahun pun, pemerintahannya tetap kurang 30 tahun, malah jauh lebih rendah dan tidak sampai separuh dari usia pemerintahan bondanya.
Victorian moden
Ratu Elizabeth menerima Liz Truss, perdana menteri baru Britain, perdana menteri ke-15 yang diterima mengadap oleh beliau sejak ditabalkan sebagai Ratu pada 1953.
Tidak ada dalam sejarah dunia khususnya sejarah England bagi seorang raja bersama dengan 15 perdana menteri.
Elizabeth adalah pemerintah utama dan dalam masa yang sama bertoleransi kepada sistem demokrasi beraja.
Zaman beliau pengasingan kuasa antara parlimen, kehakiman dan eksekutif berlaku secara praktiknya.
Pemerintahan beliau berjaya menjadikan institusi raja kekal terasing dan tidak mencampuri urusan politik negara.
Sistem ini juga dipraktikkan di hampir semua negara jajahannya termasuklah Malaysia yang masih mengekalkan monarki, raja berpelembagaan.
Simbol kelangsungan penjajahan
Ratu Elizabeth juga adalah lambang penjajahan panjang ke atas 56 buah negara di segenap pelusuk dunia termasuklah Malaysia.
Penubuhan negara kesatuan bekas jajahan England yang juga dikenali sebagai Komanwel bermakna negara-negara ini menghargai dan meraikan segala apa bentuk dan tragedi yang berlaku semasa era penjajahan.
Malah negara seperti Australia, Belize, Kepulauan Solomon, New Zealand, Papua New Guinea, Tuvalu dan Kanada meraikan ulang tahun Raja dan Ratu England.
Mengizinkan dekolonialisasi
Sejak pertabalan Elizabeth sebagai Ratu England, negara-negara jajahannya mula dimerdekakan.
Persetujuan Elizabeth untuk dekoloniasasi adalah langkah yang tepat di sebalik kebangkitan sentimen kemerdekaan negara-negara di dunia yang bermula pada dekad 50-an.
Ketika inilah institusi beraja England khususnya Elizabeth dinilai oleh negara-negara jajahannya.
Ada yang mengganggap beliau hero yang membenarkan kemerdekaan malah ada juga yang menganggap beliau sebagai petualang yang menjadikan landskap geopolitik dunia berubah sepertimana yang kelihatan pada hari ini.
Bergerak dalam acuan sendiri
Sampai sudah masanya negara-negara jajahan England bergerak dengan cara sendiri, membina identiti berdasarkan elemen lokal dan mengakhiri pendekatan ‘berkiblatkan’ England dalam banyak perkara.
Kematian Ratu Elizabeth juga menimbulkan polemik kepada persoalan adakah negara-negara lain terutamanya negara Komanwel mengibarkan bendera separuh tiang, atau cukup sahaja dilakukan oleh United Kingdom dan pejabat-pejabat kedutaan yang teretak di London dan lain-lain kawasan di England.
Akan tetapi kibaran separuh tiang juga boleh memberi makna kebersamaan dunia termasuk negara Komanwel atas kematian, kemanusiaan merentasi politik.
Cabaran besar sebenarnya menanti Raja Charles, adakah beliau akan membawa pendekatan sebagaimana bondanya, moden dalam pemikiran traditional dalam kehidupan.
Elizabeth masih mengekalkan keunggulan sistem monarki kerana kehidupannya yang lahir dan dibesarkan dalam zaman hitam putih.
Akan tetapi zaman anak menantun dan cucuya termasuklah Diana, Meghan Markle dan William yang cukup berbeza pada era moden zaman berwarna-warni ini.
Charles juga mempunyai cabaran besar meyakinkan rakyat England bahawa kewujudan sistem monarki di England masih perlu, kehidupan peribadi beliau dan keluarganya perlu dikawal dan yang lebih besar menguruskan persepsi masyarakat terhadap kelestarian insititusi beraja yang diwarisinya.
Malah kelestarian Komanwel juga bakal diuji jika beliau tidak mampu mewujudkan hubungan yang baik dengan negara-negara tersebut sebagaimana yang dilakukan oleh bondanya sejak tahun 50-an hingga kini.
Pertabalan Charles juga bakal menjadikan England tumpuan dunia dengan kehadiran hampir semua raja/ratu dunia.
Dunia bakal menyaksikan keunikkan dan sejarah yang akan ditatapi oleh generasi akan datang, kita adalah sebahagian daripada saksi hidup atas apa yang berlaku ini.
MOHD MIZAN ASLAM berkhidmat sebagai profesor pengajian strategi, keselamatan dan pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai