Skip to main
Logo Malaysiakini

Perjalanan Ini M Shaimy yang 'terpinggir' di Kuantan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

"Kita harap Shaimy terus melukis imej-imej tempatan yang terlalut supaya dia mengingatkan kita bahawa keindahan itu ada pada benda-benda biasa. Cuma kita perlu berhenti sejenak - tengok, renung, dan bertanya," demikian kata Zakaria Ali pada katalog pameran Perjalanan Ini.

Ia merupakan pameran solo oleh M Shaimy Hashim.

Apabila kita membicarakan tentang lukisan surealis, nama seperti Salvador Dali akan sering menjadi topik utama. Sementelah pula dalam dunia lukisan, memang Dali dikenali sebagai pengerak utama aliran tersebut.

Di mata orang banyak, gaya lukisan surealis digelar sebagai lukisan 'bayangan mimpi'. Dan tentu saja kita biasa dengan imej jam yang sedang mencair sambil diiringi oleh pelbagai objek yang seolah-olah tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain.

Kebanyakan pelukis yang cenderung kepada aliran tersebut akan segera menjadikan imej-imej rekaan Dali sebagai objek dalam karya mereka sendiri.

M Shaimy Hashim

Berlainan dengan Shaimy. Beliau memilih objek-objek tempatan seperti pohon beringin, watak Pak Dogol dan juga gerbang.

Rosli Zakaria, seorang pengarca dan juga pensyarah selalu mengingatkan para pelajarnya untuk mengambil karya Shaimy sebagai rujukan sekiranya mereka mahu pergi kepada aliran surealis dalam berkarya.

Hal itu kerana, Rosli berpendapat bahawa dalam karya-karya Shaimy itu ada suara tempatan yang kuat.

Karya-karya yang dipersembahkan Shaimy dalam pameran kali ini adalah buah tangan yang dikumpulkannya dari 2014 sehingga 2022. Dan sebagai seorang yang amat aktif menyokong Umno, karya-karya Shaimy tentu saja akan berkisar tentang hal-hal politik.

Dalam karya Mengait Bulan Purnama misalnya, kelihatan watak utamanya, Pak Dogol - yang mungkin juga diambil daripada karakter wayang kulit - sedang mengait bulan pernama berdarah dengan bercawat.

Pak Dogol itu mengait bulan dengan buluh yang bermatakan sabit.

Ketika dikait, bulan kelihatan berdarah dan tidaklah diketahui sama ada bulan tersebut berjaya dikaitnya atau tidak kerana catan tersebut pegun di situ.

Zaim Durulaman berpendapat, karya-karya terbaru Shaimy adalah hasil terbaik pelukis berkenaan setakat ini. Yang paling menarik menurut Zaim yang juga seorang pelukis dan pensyarah itu ialah karya berjudul Simfoni Topeng Menangis.

Karya bersaiz 213cm x 305cm itu segera 'menampar' pengunjung pameran sebaik saja mereka mereka memasuki ruang pameran di Galeri Pantai Timur, Kuantan.

Dalam karya berkenaan kita masih dapat melihat watak Pok Dogol.

Kali ini Pak Dogol masih berusaha untuk mengait bulan namun tidak lagi menjadi watak utama melainkan hanya tempelan bagi menghiasi kanvas besar tersebut.

Wajar di tempat lebih baik

Sebuah topeng besar mendominasi sebahagian besar karya Simfoni Topeng Menangis itu dan dari matanya kelihatan air mata merah yang mengalir ke air sebelum perlahan-lahan mula mempengaruhi air yang mengelilingi karya tersebut.

Di sebalik kelam, kelihatan sebuah gambus yang memerlukan tongkat untuk berdiri sementara di sudut lain kelihatan sebelah tangan yang marah.

Tidak kurang menarik juga ialah karya berjudul Hujan Keris.

Penonton bebas untuk mentafsirkan karya Shaimy namun menurut Zakaria Ali Hujan Keris menceritakan hal kegagalan dalam merebut kuasa apabila seorang putera buangan - yang digambarkan sebagai bayi bertubuh ikan - sedang belayar menaiki sekeping styrofoam.

Putera terbabit gagal dalam perjuangannya hanya kerana dia adalah anak kepada dayang istana.

Kabel bayi itu tidak cukup kuat barangkali.

Karya-karya yang dipersembahan dalam Perjalanan Ini adalah kumpulan karya yang membuka minda. Ia merupakan suara hati sebenar seorang seniman.

Selain catan, terdapat juga sketsa-sketsa yang dirakam sebagai pencetus idea. Antara yang menarik ialah siri Dari Katak Ke Katak Ke Katak 1 dan 2, Ini Kali La 2 dan juga Gelojoh.

Rata-rata teman seniman yang berkunjung ke pameran tersebut berpendapat, Perjalanan Ini sepatutnya diadakan di tempat yang lebih baik.

Karya-karya yang dipamerkan juga sepatutnya menjadi koleksi peminat tegar seni serta badan-badan kerajaan yang berkenaan.

Menjadi satu kerugian apabila karya sebaik itu hanya dipamerkan di sebuah galeri sederhana di hujung bandar dan setelah itu disimpan untuk menggumpul habuk sebelum terurai dimakan anai-anai.

Kita adalah apa yang kita hargai. Justeru menghargai seniman dan karya tempatan seharusnya menjadi keutamaan.


ABDULLAHJONES ialah penggemar kopi O ais yang teringin menikmati macchiato caramel mahal.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.