Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Asyiknya melayan muzik

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | "Saya suka Ramayan," kata kami kepada penyanyi utama kumpulan Pitahati, iaitu kumpulan musik pujaan anak-anak muda yang ada cita rasa. Sengaja kami mengusik beliau begitu untuk melihat reaksinya.

"Saya tak pandai musik, jadi saya lebih suka mendengar lirik," tambah kami lagi. Sengaja juga kami berkata demikian supaya mereka sedar bahawa yang sedang bercakap itu adalah seorang penulis puisi yang disegani.

(Ilham - penyanyi Pitahati - mengakui bahawa lirik kumpulan Ramayan lebih puitis berbanding Pitahati. ‘Pakai topi macam koboi, tapi mudah benar mengaku kalah,’ kata kami dalam hati. Hidayat dan Raman, dua lagi teman Ilham menjeling seolah tidak setuju dengan kenyataan itu.)

Ideanya adalah supaya mereka mengambil tulisan kami menjadi lirik lagu Pitahati. Nanti tercapailah cita-cita kami untuk menjadi seperti arwah Loloq kepada M Nasir.

Namun setelah berhenti bercakap dan sempat berfikir sejenak, sedarlah kami bahawa dunia ini milik orang muda. Sempat pula kami membaca kembali puisi-puisi yang pernah kami tulis, maka tahulah kami bahawa diri ini hanyalah seorang penyair poyo yang berasakan dirinya sangat sastera orangnya.

Jika kami ini jenis yang berani naik ke pentas, memakai tanjak dan mendeklamasi tulisan-tulisan kami dengan suara ala-ala Nuri Angkasa, maka lengkaplah kegagalan hidup yang sedang kami jalani saat ini.

Lirik kumpulan Pitahati adalah polos. Mereka tidak berselindung di sebalik bait-bait yang menangis bagi menyatakan rasa hati. Kehidupan ringkas yang mereka gambarkan dalam sebilangan lagu mereka juga mewakili genarasi muda hari ini.

Santai dan tenang seolah-olah menjadi moto dalam kebanyakan lirik mereka.

Pitahati kelihatan tidak tertekan dengan suasana malah mengambil apa saja yang datang sebagai pengalaman dan kenangan.

Cuba perhatikan lirik lagu Sahabat ini:

Bila kucing engkau sayang tersesat di jalanan
Pasti ia akan mencari jalan pulang
Jika sahabat sejati meninggalkan dirimu
Untuk apa kau bersedih kerana ia pasti kembali.

Kami suka kucing. Di rumah kami ada beberapa kucing tidak bertuan yang setiap hari datang meminta makanan - dan kami perkenankan kemahuan mereka.

Tidak pernah pula - sejak lama dulu - kami membaca lirik dan bertemu dengan ciptaan yang bercerita tentang kucing. Justeru kami ketawa kecil apabila membaca lirik tersebut.

Sedia ke tempat istimewa

Mahu dilebelkan sebagai jenaka gelap, tidak. Mahu dikatakan sebagai pembayang maksud pantun, pun tidak juga.

Kemudian mereka ambil kisah kucing yang sesat tersebut sebagai bidalan kepada kisah pertemuan dan perpisahan. Mungkin di situ ada kebijaksaan apabila mereka menyamakan seekor kucing dengan sahabat.

Sesiapa pun yang memelihara kucing memang menganggap haiwan peliharaan itu sebagai sahabat, malah mungkin kekasih dan juga anak.

Kami tidak tahu sama ada itu disengajakan oleh penulis lirik lagu berkenaan, atau hanya satu kebetulan, namun kami membacanya sedemikan rupa.

Namun demikian, keresahan politik yang kita semua hadapi sekarang ini masih juga mendapat perhatian daripada Pitahati.

Dalam lagu Neraka mereka bertanya:

Kau bersembunyi balik rahsia
Tiada siapa pun yang tahu
Bermain dengan kata-kata
Mendustai semua di depanmu

Sudahkah kau bersedia
Ke tempat yang istimewa buatmu
.

Tempat istimewa yang mereka maksudkan itu adalah merujuk kepada judul lagu tersebut.

Dengan pertanyaan sedemikian rupa, kami tidak rasa yang mereka bakal dapat mengadakan sebarang pertunjukan pentas di Kelantan walaupun kini kerajaan negeri tersebut kelihatan mula mesra kepada hiburan yang melalaikan.

Mungkin itu salah satu usaha murni Kelantan berpolitik untuk membeli hati pengundi 18 tahun yang akan pertama kali mengundi nanti.

Sedikit nasihat kami kepada orang politik di Kelantan: Jika undi orang muda yang diperlukan mereka, maka kumpulan Blackpink adalah keperluan paling mendesak untuk dibenarkan membuat pertunjukan di negeri itu.

(Tidak pernah kami terfikir yang kumpulan rock 'jahat' seperti Wings dibenarkan membuat pertunjukan di Kelantan. Selamat mendapat hidayah wahai penduduk negeri Cik Siti Wan Kembang.

(Menyebut nama Cik Siti Wan Kembang, jika foto dan lukisan mengenai tokoh tersebut boleh dipercayai maka Cik Siti kita itu seharian hidupnya hanyalah berkemban. Jadi bolehlah kita andaikan bahawa Kelantan kini dalam perjalanan untuk balik ke asal. Sek kito jange ppecoh!)

Lirik yang paling hampir puitis pada pendapat kami datang bersama lagu berjudul Melayar. Cuba perhatikan bait-bait ini :

Pesona dunia
Menenggelamkan terang
Manusia menjaga
Merebut takhta
Membuatku untuk terus menyanyi.

Oh irama
Jangan diam
Terus membelai
Jiwaku.

Melayar
Lewat nyanyian
Alam batinku
Getaran
Hatiku ini
Hanya untuk kebebasan
.

Melarikan diri daripada masalah bukanlah hal yang mulia namun setelah habis segala usaha untuk mendamaikannya dan tidak berjaya, maka 'keluar' sebentar untuk menjauhi kekalutan itu adalah penyelesaian yang disarankan.

Dalam lagu Melayar, Pitahati pergi kepada musik untuk ketenangan diri. Itu tentu lebih baik daripada mengambil bahan terlarang seperti ketum, misalnya.

Menunggu muzik yang pelbagai

Sementara itu musik dibawa kumpulan yang mahu digelar sebagai pelopor musik rock Nusantara avant garde itu amat menyenangkan kami. Ia membawa kami ke daerah pada tahun-tahun akhir 1960-an sehingga pertengahan 1970-an.

Musik Pitahati adalah psychedelic. Membuai dan tidak tergesa-gesa. Dan mereka juga tidak mahu terikat dengan undang-undang 3 minit untuk lagu-lagu popular.

Musik mereka dibebaskan untuk bereksprimen dan ia amat memuaskan nafsu.

Kumpulan-kumpulan musik anak muda seperti Pitahati jarang diberi tumpuan oleh media dan pendengar arus perdana. Mereka dikatakan terkhusus kepada sebilangan kecil pendengar.

Itu tidak sepatutnya menjadi benar.

Dengan sedikit pemikiran yang terbuka - dan apabila kita sudi untuk menjadikan mereka sebahagian daripada kumpulan musik yang kita hebahkan - mungkin dunia musik di tempat kita ini akan lebih pelbagai.

Entah dari sana nanti kemajuan musik yang dimulakan oleh kumpulan Roslan Aziz dulu itu akan ada kesinambunganya.

Kami menulis ini sambil dihiburkan oleh lagu-lagu kumpulan Ramayan. Lagu Akhir Kalam daripada kumpulan itu pada pendapat kami adalah sebuah lagu yang sempurna.


ABDULLAHJONES ialah penulis, pelukis dan peminat musik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.