Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Apa jadi pada pelan tindakan banjir Shah Alam?

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Baru-baru ini Jabatan Pengairan dan Saliran menyatakan, pihak tersebut mengenal pasti 52 kawasan titik panas dan 307 kawasan berisiko dilanda banjir di Selangor pada masa akan datang.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), kawasan titik panas banjir bermaksud kawasan yang telah dilanda banjir lebih tiga kali sejak 2019. 

Dalam erti kata lain, Selangor berdepan ancaman banjir dan bah besar yang dahsyat dalam musim tengkujuh mendatang. Kawasan Shah Alam harus diingatkan adalah bahagian dari Lembah Kelang dan membawa sama citra baik negara ini.

Soalan seterusnya ialah, adakah Menteri Besar Selangor Amirudin Shari akan dipersalahkan sekali lagi (oleh rakyat, atau oleh pembangkang seperti Umno menjelang PRU-15) sekiranya projek Pelan Tindakan Banjir Shah Alam (SASuD) yang diuar-uarkan oleh Majlis Bandar Raya Shah Alam (MBSA) itu tidak kita ketahui jadi atau tidaknya? 

Memang pelan ini telah diumumkan lama, tetapi macam belum nampak bayangnya. 

SASuD ini dihebahkan bagi menangani masalah banjir di Shah Alam, bahawa konon pelan tersebut akan dilaksanakan bermula tahun ini secara berfasa selama tiga tahun dengan pemfokusan kepada menaik taraf sistem perparitan di beberapa kawasan perumahan. Akan tetapi tidak tahu di mana puncanya, ia masih belum berjalan sedangkan musim tengkujuh sedang menjelang. Hendak ditanya kepada siapa perkembangannya? 

Saya percaya Amirudin Shari tentu mahu projek ini berjalan segera. Beliau tentu tidak mahu melihat Selangor berdepan bencana banjir sekali lagi seperti tahun lalu. Jadi mengapa ia masih dilengahkan?

Menurut Datuk Bandar Shah Alam pada awal tahun 2022 lalu, Zamani Ahmad, kebanyakan sistem perparitan di Shah Alam berusia 50 tahun dan tidak mampu menampung kuantiti air yang banyak sekiranya berlaku hujan lebat dalam jangka masa panjang. 

Makanya MBSA akan menaik taraf sistem perparitan secara tiga fasa, bermula dengan Taman Sri Muda dan Seksyen 13. Selain usaha melengkapi kerja-kerja perparitan itu, SASuD ini juga khabarnya akan merangkumi menaik taraf kolam takungan, penyediaan struktur tebatan banjir, membina sistem ramalan dan pemantauan banjir. Projek penebatan banjir ini merupakan nyawa kerajaan Selangor. 

Tambah-tambah PRU bakal tiba. Tambah-tambah musim banjir bakal menjelang. Pun, di mana bayangnya? Tersangkut atau tergendala di mana? 

Orang yang layak ditanyakan 

Zamani diketahui berpengalaman sebelum menjadi datuk bandar di Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (2013), Majlis Perbandaran Kajang (2015) dan pernah bertugas sebagai timbalan setiausaha kerajaan negeri Selangor (Pengurusan). Saya percaya projek ini boleh menjadi KPI beliau.

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam pula adalah Mohd Rashidi Ruslan. Timbalan Datuk Bandar ini dikatakan pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengurusan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim. 

Dalam erti kata lain beliau juga orang yang layak ditanyakan mengenai pelan RM157 juta untuk mengatasi masalah banjir di kawasan Shah Alam ini.

Akan tetapi itulah, mengapa ya projek mulia ini masih belum berjalan sedangkan musim tengkujuh sedang menjelang. 

Projek atau Pelan Tindakan Banjir Shah Alam (SASuD) yang demikian lumayan kira-kira RM157 juta ini tidak boleh dilengah-lengahkan lagi. Tidak boleh ditunggu selepas PRU-15 misalnya. Tidak boleh dinanti berebutkan tender misalnya. Mesti dianugerahkan kepada pihak yang selayaknya tentu sahaja. Jangan ditunggu sampai rakyat karam lagi. Bukankah penjawat awam berperanan untuk menjadikan projek kerajaan lunas dan terjadi segera, tambah lagi jika ia memang projek untuk kemaslahatan semua, iaitu kita rakyat.

Musim tengkujuh mendatang diramalkan amat buruk, maka dikhuatiri keadaan banjir di Selangor juga akan lebih dahsyat dari sebelum ini. Soalnya, adakah menteri besar akan tetap dipersalahkan sekali lagi (oleh rakyat, oleh pembangkang menjelang PRU15 sekiranya SASuD yang diuar-uarkan oleh MBSA tidak kita ketahui apa nasibnya, dan mengapa masih belum bermula?

Aneh juga projek ini belum nampak bayangnya sehinggakan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Shah Alam sudah mulai bertanya apa yang berlaku pada dana sebanyak RM157 juta itu? Ketuanya, Mohd Dendera Billah Zamzuri ada membingit yang tiada perkembangan mahupun kerja-kerja pencegahan bencana itu dilakukan MBSA. 

Ini sedangkan banjir kilat di Taman Sri Muda, sudah pun berulang dan bakal berulang.

Harap-harapnya projek ini tidak dilengahkan kerana ada apa-apa yang terpendam? 

Harap-harapnya projek ini tidak dipolitikkan tanpa sebab? Harap-harapnya tidak ada rakyat terkorban jika bah besar melanda tiba-tiba. 

Kerajaan Selangor menerusi Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim ada mengumumkan perihal pelan ini dengan harapan ia segera dilaksanakan. Tentu sahaja kerajaan Pakatan Harapan di negeri Selangor ini akan gembira jika ia berjalan dengan jayanya.

Akan tetapi mengapakah MBSA belum menggerakkan projek juta-juta ini tentulah menimbulkan tanda tanya. 

Memukat undi

Kelihatannya projek penebatan banjir ini memang merupakan nyawa kerajaan Selangor. Tambah-tambah PRU pun bakal tiba. Sampai ada yang sanggup meredah banjir demi memukat undi dan sokongan, maklumlah nak berkuasa. 

Tambah-tambah musim banjir bakal menjelang. Pun, di mana bayangnya SASuD) Tersangkut atau tergendala di mana? Saya percaya kerajaan negeri tidak akan melengahkannya, jadi di peringkat mana ia terganjal, bolehkah rakyat yang bakal karam dalam banjir ini mendapatkan perkembangannya?

Kita, rakyat bimbang projek ini dilambat-lambatkan kerana berniatkan sabotaj. Ya, sekadar satu persoalan. Maklumlah nasib rakyatkan boleh dijadikan tebusan. Kita juga tidak mahu memikirkan kalau-kalau ada pihak yang ingin mengaut keuntungan besar dari jumlah RM157 juta itu, ya rakyat boleh bertanya selaku mereka yang membayar cukai. Sungguh MB Selangor tidak patut dan tentu tidak akan melengahkannya, nyawa kerajaan negeri pada projek ini. 

Akan tetapi di manakah SASuD? Apa dah jadi?


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.