Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Ismail Sabri bakal ikut jejak Pak Lah?

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | Barangkali Abdullah Ahmad Badawi, 82, teladan terbaik sebagai tokoh politik yang berundur, jikalau dibandingkan dengan Mahathir Mohamad, 97, yang masih berdolak-dalik sama ada bertanding atau tidak dalam pilihan raya umum akan datang, mahupun Lim Kit Siang, 81, yang mengumumkan pengunduran tetapi masih membebel dengan kenyataan media yang melambak saban hari.

Lebih dikenali sebagai Pak Lah, perdana menteri kelima ini dilihat jarang mencampur tangan dalam hal ehwal politik setelah bersara, malah semakin hilang dari pandangan umum sejak beberapa tahun lalu.

Nama Pak Lah muncul pada Jun 2021, itupun disebabkan penularan satu berita palsu kononnya beliau meninggal dunia.

Baru-baru ini, nama Pak Lah diungkit semula, oleh menantunya Khairy Jamaluddin yang sedang tercari-cari kawasan untuk ditandingi dalam PRU15. Kali ini kita dimaklumkan dengan satu khabar sedih, bahawa Pak Lah telah menghidap penyakit nyanyuk, atau demensia.

Legasi politik Pak Lah

Jikalau diimbas, tidak kurang yang memandang Pak Lah sebagai “perdana menteri peralihan”. Malah tidak ramai yang menjangka Pak Lah akan dilantik sebagai perdana menteri sebelum Anwar Ibrahim dipecat pada 2 September 1998. Pak Lah kurang menonjol kerana jarang terlibat dalam kontroversi.

Perwatakannya yang tidak keras diperlukan untuk meredakan konflik politik yang meruncing ketika itu. Cuma Mahathir bukan sahaja memilih pewaris dirinya, malah menentukan pewaris kepada pewarisnya sebelum berundur.

Najib Razak didesak untuk dijadikan timbalan kepada Pak Lah, sehingga Pak Lah tersepit, jika bukan tersiku sebermulanya.

Pun begitu, Pak Lah bertahan selama lima tahun dan enam bulan, satu tempoh yang tidak panjang dan tidak pendek. Jikalau ditanya apakah legasi politik yang ditinggalkan Pak Lah, jawapan yang terlintas adalah keterbukaan dalam ruang kebebasan bersuara.

Sungguhpun bukan kebebasan sepenuhnya, namun memadai untuk mencetuskan “tsunami politik” dalam PRU12.

Lebih-lebih lagi, Pak Lah memilih untuk akur kepada keputusan peti undi, dan tidak mematahkan suara rakyat dengan kekerasan pada malam 8 Mac 2008.

Sudah tentu ia kejutan besar buat Barisan Nasional apabila majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat dinafikan, sementara lima buah kerajaan negeri jatuh ke tangan pembangkang.

Lantas gerakan politik pembangkang, dan gerakan sosial masyarakat sivil berkembang selepas itu, sehingga apa yang kita saksikan pada hari ini.

Sesungguhnya, Pak Lah cuma melakukan apa yang sewajarnya. Namun keputusan Pak Lah amat bermakna andainya ditelaah dalam konteks di mana Malaysia beransur-ansur keluar dari pemerintahan autoritarian Mahathir Mohamad selama 22 tahun ketika itu.

PRU11: BN rangkul 90% kerusi parlimen tapi

Perlu diingatkan bahawa meskipun Pak Lah kelihatan cuba mengasingkan diri daripada pemerintahan Mahathir, dengan menampilkan pendekatan yang berbeza, tetapi reformasi yang dilaksanakan tidak tuntas.

Di sebalik senyumannya yang mesra, terdapat tahanan ISA (Akta Keselamatan Negeri) yang ditahan tanpa dibicarakan; di sebalik sikap “keterbukaannya kepada kebebasan media”, ada juga media yang diberi surat amaran dan digantung permitnya.

Malah mereka yang turun ke jalan raya untuk memprotes lantaran kenaikan harga minyak dan tol, masih ingat bagaimana gas pemedih mata dibedil FRU ke arah peserta.

Di sini kelemahan Pak Lah. Beliau tidak menggunakan mandat yang diberikan rakyat dalam PRU11 (BN merangkul lebih 90 peratus kerusi dalam Dewan Rakyat) sepenuhnya untuk mereformasikan Umno, sebaliknya ditenggelamkan dengan ombak perkauman dan tuntutan dalam Umno untuk kembali kepada pemerintahan autoritarian.

Kita masih ingat khabar angin disebarkan bahawa 18 kes rasuah berprofil tinggi akan dibawa ke mahkamah, tetapi ia berakhir dengan seekor demi seekor dibebaskan.

Akhirnya Pak Lah dibadai tsunami rakyat dalam PRU12. Yang selebihnya adalah sejarah.

Ismail Sabri bakal ulangi jejak Pak Lah? Andainya dibandingkan, mungkin kita dapat melihat beberapa ciri-ciri Pak Lah dalam sosok Ismail Sabri.

Tiada yang menjangkakan bahawa Ismail Sabri akan dilantik sebagai perdana menteri, sebelum Muhyiddin Yassin digulingkan; malah selepas beliau mengangkat sumpah, masih ramai yang menganggap naib presiden Umno ini sekadar “perdana menteri peralihan”, yang sama ada tempoh jawatannya lebih panjang atau singkat berbanding Muhyiddin.

Dari kaca mata umum, jenama pakaian Ismail Sabri lebih menonjol berbanding idealisme yang didukungnya. Di sebalik jaminan untuk menghormati kebebasan media, ada pula pengamal media yang didakwa di mahkamah.

Cabarannya, sejauh manakah Ismail Sabri mengasingkan dirinya dari Najib Razak dan Zahid Hamidi, malah menggilap semula jenama Umno sebagai parti yang sudah insaf dan bertaubat, lantas bangkit semula selepas membebaskan diri dari rasuah?

Atau Ismail Sabri lebih sanggup untuk menambat dirinya pada Umno, parti yang kini diikat erat nasibnya bersama Najib Razak, bekas perdana menteri yang telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah?

Hakikatnya, Umno memiliki peluang terbaik untuk bermuhasabah selepas kekalahan dalam PRU14.

Andainya reda sebagai pembangkang untuk satu penggal, dan memberi laluan kepada mahkamah untuk membersihkan barisan pimpinannya – pemimpin yang bersalah disingkirkan, yang tidak bersalah akan dibersihkan namanya, maka Umno boleh tampil dengan wajah baru pada PRU15, dan bersaing dengan Pakatan Harapan dalam aspek keberkesanan dan kecekapan pemerintahan.

Namun Umno tidak melengkapkan perjalanan itu, sebaliknya mengambil jalan singkat pada tahun 2020 menerusi Langkah Sheraton untuk kembali ke Putrajaya.

Peluang kedua diberikan pada 23 Ogos 2022, di mana Umno boleh bergerak ke depan tanpa Najib Razak sebagai “beban”nya.

Mungkin pedih untuk rakan seperjuangannya, tetapi bukankah perjuangan Umno demi nusa, bangsa dan agama? Kepentingan individu terpaksa diketepikan jikalau slogan ini yang dilaungkan.

Maka Ismail Sabri diuji, sama ada beliau cukup berani untuk melaksanakan reformasi secara tuntas dalam Umno, atau beliau lebih sudi untuk dihanyut arus?

Memang “tidak jadi” jikalau Ismail menjanjikan kebebasan institusi kehakiman, tetapi memberi layanan istimewa kepada banduan VVIP.

Atau, beberapa pembaharuan institusi dilaksanakan, misalnya Akta Antilompat Parti digubal untuk diluluskan, tetapi pada masa yang sama, beliau tunduk kepada tuntutan yang tidak masuk akal, misalnya mengadakan pilihan raya ketika musim tengkujuh dengan risiko banjir.

Senario telah jauh berbeza

Apakah Pak Lah berjasa untuk pendemokrasian politik Malaysia? Ya, sungguhpun mungkin sesetengah kita mengharapkan sesuatu yang lebih daripada itu.

Dengan pengalaman Pak Lah, Ismail Sabri harus sedar bahawa syarat yang dimilikinya sekarang lebih baik berbanding zaman lalu.

Apa tidaknya? Tiga dekad dahulu, sesiapa yang melawan presiden Umno akan menemui jalan buntu. Namun ia tidak begitu pada zaman ini.

Muhyiddin Yassin yang pernah melawan Najib Razak pada tahun 2015, boleh kembali untuk menerajui tampuk kuasa pada tahun 2020, sungguhpun untuk tempoh yang singkat.

Anwar Ibrahim yang pernah menentang Mahathir Mohamad pada tahun 1998, tetap tampil sebagai tokoh yang disanjungi dunia antarabangsa, sungguhpun belum terdaya untuk dinobatkan sebagai perdana menteri.

Peluang kini terpampang di depan Ismail Sabri, sama ada beliau mahu menggarap peluang yang bersejarah ini untuk melaksanakan reformasi sistem dan struktur yang menyeluruh, atau berpuas hati dengan “reformasi kosmetik”, dengan tampal-menampal di sini sana, atau solek-menyolek di mana yang perlu?

Apa yang harus difikirkan Ismail Sabri bukanlah sama ada beliau boleh berkuasa dalam masa 20 tahun akan datang, tetapi bagaimana dirinya dikenang rakyat selepas 20 tahun.

Ia bergantung kepada sejauh manakah dirinya menggunakan syarat yang sedia ada untuk mencatur langkah seterusnya.

Namun, jikalau Ismail Sabri sekadar berpuas hati untuk memanaskan kerusi perdana menteri, dengan pakaiannya yang berseri, maka kita sekadar mampu mengucapkan “good luck” kepadanya.


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).

Artikel ini pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.