Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Konsert - dari Kelantan hingga Riyadh 

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Akhirnya rejim Islam PAS baru tahu bahawa hiburan, nyanyian dan konsert tidak dapat dihapus buang meski mereka ‘menanam’ berjuta pondok sekalipun. Syabas jika mereka baru menyedarinya! 

Sementara di Saudi, Raja Salman ‘terpaksa’ mengadakan konsert mega.

Bandar Diriyah yang hanya terletak 10 kilometer di barat Riyadh pada Januari lalu digegarkan dengan persembahan artis antarabangsa sempena konsert hiburan tanpa henti selama dua malam di Diriyah E-Prix 2022. 

Suasana konsert di Riyadh

Tidak cukup dengan itu, pada bulan ini rejim Wahabi tersebut turut mengadakan konsert sambutan Hari Kebangsaan Arab Saudi ke-92 pada 22 September lepas. Persembahan itu diadakan di Alula, sebuah bandar yang terletak di wilayah Madinah di barat laut Arab Saudi.

Persembahan dibuat pada pukul lapan malam hingga enam pagi pada Khamis. Kemudian selepas solat Jumaat, persembahan itu disambung semula pukul 4.30 petang hingga enam pagi. 

Dan yang lebih gempar sebelum itu, Riyadh Season dilangsungkan berbulan-bulan lamanya.

Kaum Salafi dan Wahabi di Malaysia termasuk seluruh kaum fundamentalis Islam tidak kira apa sekta tidak dapat menerima kenyataan ini. 

Kaum fundamentalis Islam yang tidak menyokong Salafi dan Wahabi, mendapat peluang mengutuk dan mengejek Salafi dan Wahabi. Sementara agamawan pro-Salafi dan Wahabi pula menyorok muka, malu hendak mengaku bahawa itu dibenarkan. 

Apa pun sikap mereka, naluri manusia yang dahagakan hiburan tidak dapat ditimbus hidup-hidup. Mereka yang ditimbus dengan dogma-dogma akan berusaha mengorek keluar meskipun dogma-dogma itu menimbus mereka beratus, bahkan beribu tahun sekalipun. 

Di Malaysia, di Negeri Serambi Makkah, berlangsungnya Konsert Riuh Sokmo! selama beberapa hari iaitu pada 16-18 September. Konsert Riuh Sokmo! Bersama Celcom itu menampilkan persembahan artis terkenal tanah air seperti Wings, Ramli Sarip, Kugiran Maso dan Faizal Tahir.

Walaupun muncul riak-riak tidak senang terhadap konsert ini termasuk daripada PAS sendiri, Idris Ahmad–pimpinan PAS yang menjawat jawatan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)–mengatakan, kerajaan pusat tidak boleh mengambil sebarang tindakan berhubung penganjuran konsert tersebut.

Idris Ahmad

Akhirnya barulah Idris faham, menjadi pemerintah itu tidak mudah berbanding sebelum ini hanya menjadi pembangkang. Nikmat dan kesedapan menjadi pemerintah itu nampaknya lebih kuat bisanya berbanding ideologi yang beliau imani ketika menjadi pembangkang puluhan tahun. 

Barulah beliau sedar, membangkang lebih mudah berbanding memerintah. Barulah beliau sedar, naluri anak muda itu tidak dapat dicandukan dengan hanya ceramah dan kuliah.

Sebelum ini, pada ketika PAS belum bercumbu dengan Umno, mereka juga menuai kritik yang tidak sedikit apabila menjemput produk Akademi Fantasia, Mawi untuk terlibat dalam konsert di negeri tersebut pada tahun 2005.

Lima tahun kemudian, PAS yang masih belum bercium mulut dengan Umno juga menuai kritikan sama apabila memanggil Wali Band mengadakan konsert di Kelantan. 

Undi anak muda

PAS –termasuk juga rejim-rejim Islam seluruh dunia – terpaksa memikirkan perkembangan dunia anak muda hari ini. Mereka terpaksa menyedari bahawa ideologi mereka tidak dapat dipaksakan kepada semua melainkan anak-anak usrah mereka sahaja. 

PAS yang berdiri atas kawalan moral orang lain mulai tergugah. Revolusi Iran yang mereka terkesan dengannya, sekarang hanya tinggal kenangan. Apatah lagi PAS lebih berorientasi Salafi-Wahabi. 

Dan bukan semua anak muda menyukai pendekatan ceramah dan kuliah mereka. Ajaran yang menafikan keperluan hiburan akan dinafikan sendiri oleh penganut mudanya.

Salafi-Wahabi, puritan yang kian tergugat

Kita tidak boleh menafikan bahawa selama ini, PAS dan pemerintahan Islam Kelantan sangat condong ke arah Salafi-Wahabi. Di dunia moden Islam hari ini, tidak banyak atau hampir tidak ada pemerintahan Islam ala Asyairah. 

Pemerintahan Islam moden hari ini banyak berunsurkan Salafi-Wahabi, jika tidak sepenuhnya Salafi-Wahabi. Sementara itu hanya satu rejim Syiah yang memerintah, iaitu di Iran. 

Pendekatan Salafi-Wahabi yang terlalu menekankan hal-hal agama secara terperinci, akhirnya membuatkan mereka mati sendiri. Mereka terpaksa bergimnastik memikirkan terma-terma Arab yang baru untuk menghalalkan apa yang mereka lakukan.

Jika tidak berbuat begitu, kalangan yang lebih ortodoks dan rigid dari mereka–yang sudah sedia rigid–akan menolak, menyesatkan, bahkan mengkafirkan mereka atas alasan tunduk pada gelodak liar dan nafsu syahwat anak muda. 

Kerana itu mereka haruslah mempersiapkan terma-terma patuh syariah yang baru. Mereka tidak mahu kehilangan undi atau sokongan anak-anak muda yang semakin banyak dan membiak. 

Pada masa sama, mereka juga tidak mahu dihukum sebagai sesat, kafir, zindik, munafik mahupun pragmatik.

Masalah penonton terkinja

Golongan puritan nampaknya tidak boleh melihat orang lain senang. Ada sahaja masalah yang dicarinya supaya buat orang lain susah. Disebabkan golongan puritan ini hidup di atas semangat puritan, mereka akan mati bila orang ramai tidak lagi puritan seperti mereka.

Maka mereka mesti menjolok apa sahaja yang difikirkan mereka sebagai masalah, walaupun pada orang ramai itu bukan masalah besar atau bukan masalah langsung.

Yang ditimbulkan kemudiannya ialah isu penonton terkinja-kinja. Ini menimbulkan keanehan dan kemusykilan. Apa masalahnya penonton terkinja-kinja? 

Kalau penonton mengeluarkan tinja semasa konsert, bolehlah kita faham. Tinja adalah najis. Mengeluarkan tinja adalah mengeluarkan najis. Tetapi terkinja semasa konsert, apa masalah besarnya?

Adakah semasa konsert itu semua orang harus berdiri, dan sepi?

Ataupun mereka semua harus disediakan kerusi semasa konsert seperti ceramah, seminar dan forum? 

Ataupun mereka harus bertakbir seperti biasa yang kita dengar dalam ceramah politik PAS? Bertakbir setiap habis satu lagu?

Meloncat, melompat, memberi tepukan, itu perkara biasa dalam mana-mana konsert. Adakah PAS harus mengeluarkan enakmen baru dalam pengawalan konsert mereka iaitu tidak membenarkan penonton meloncat, melompat dan memberi tepukan? 

Adakah penonton konsert di Kelantan selepas ini harus membentang tikar dan duduk bersila?

Konsert Dewa pada 11 Sept, gambar hiasan

PAS nampaknya masih terkebil-kebil dan teraba-raba dan masih cacamarba dalam menangani persoalan ini. Nasyid sudah mati dan tidak digemari di negara ini, walaupun kerajaan menghabiskan duit yang banyak untuk radio Ikim. 

Tetap orang ramai dan muda-mudi tidak berminat menghampirinya. Orang yang datang mendengar konsert rock –Awie, Ramli Sarip, Faizal Tahir–bukan sama seperti orang yang mendengar nasyid. Faizal Tahir sendiri pun sudah keluar daripada irama nasyid yang meleleh.

Akhirnya selaku pimpinan PAS Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah yang kecewa dengan penonton yang terkinja-kinja mengatakan, mereka akan mengenakan garis panduan lebih ketat, antaranya memastikan persembahan dilangsungkan dengan sopan.

Nah, bagaimana konsert rock mahu dilangsungkan dengan sopan?

Mungkin hanya Azhar Idrus yang boleh menjawab persoalan ini.


BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecil-kecilan dan penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.