Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Memangkah musim tengkujuh

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | Ketika saya menulis artikel ini, titik hujan pagi bertalu-talu menghempas bumbung dan halaman rumah. Mentari bagai enggan memunculkan wajah cerianya seperti hari-hari yang cerah.

Malam tadi, satu pertemuan dengan beberapa rakan dan kenalan bagi membincangkan persiapan menghadapi pembubaran parlimen berlangsung, Hingga embun jantan turun barulah mereka pulang ke rumah masing-masing.

Dalam kemalasan pagi yang begitu, terkenang kembali lagu Allahyarham Zubir Ali, Nyanyian Pantai Timur, yang pernah popular pada 1980-an. Zubir - yang pernah menjadi anak murid kepada Allahyarham Fadzil Noor - menulis dalam lirik itu:

Ikan dan camar lebih mengerti
Tragedi hidup kami
Dari mereka yang berjanji
Dengan kata bak puisi.

Nyanyian Pantai Timur mendendangkan derita kehidupan rakyat bawahan yang sentiasa berhadapan dengan risiko. Ikan, burung camar, laut dan seumpamanya adalah simbol alam yang lebih mengerti penderitaan rakyat berbanding orang lain - terutama ahli politik - yang sentiasa menabur janji.

Ia juga mengingatkan kita kepada berahi Umno mengadakan pilihan raya umum (PRU) walaupun semasa musim tengkujuh. Ia menjadikan lagu arwah Zubir itu lebih relevan.

Tragedi banjir hujung tahun lalu masih belum hilang traumanya, tetapi Umno nekad mahu menempah susah. Mungkin buat pemimpin parti itu, mereka juga akan berdepan dengan kesusahan, tetapi yang paling menderita ialah rakyat.

Penghujung tahun lalu, banjir melumpuhkan Shah Alam, Klang dan sekitar Kuala Lumpur. Angka korban hingga lebih 30 orang dan ramai yang kehilangan tempat tinggal.

Begitu juga dengan sejarah banjir-banjir terdahulu di Pantai Timur yang masih segar dalam ingatan.

Umumnya musim tengkujuh berlaku antara Okt hingga Mac. Garis badai yang terbentuk akan menghasilkan kadar hujan lebat serta ribut petir di kebanyakan kawasan. Ia boleh mendatangkan bahaya di kawasan-kawasan yang mempunyai struktur tidak kukuh.

Justeru kejadian seperti tanah runtuh, gelinciran dan mendapan boleh terjadi.

Sanggup redah banjir

Musim monsun timur laut bukanlah fenomena luar biasa di negara ini. Bahkan pada kebanyakan orang, mereka sudah sedia tahu kelaziman cuaca pada setiap penghunjung tahun.

Oleh itu, di sepanjang proses pilihan raya diperkenalkan dalam sistem politik negara, kerajaan peka dengan pemilihan tarikh ia diadakan supaya pengundi dapat menunaikan tanggungjawab mereka sebagai rakyat.

Pada masa yang sama, parti-parti politik berpeluang berjumpa dengan pengundi bagi menyatakan tawaran masing-masing dengan lebih dekat.

Kiranya PRU diadakan semasa musim tengkujuh, kemungkinan untuk keluar mengundi adalah kurang atau menurun. Namun mengikut perkiraan di atas kertas, Umno memiliki kelebihan jika peratusan pengundi yang keluar rendah.

Pada masa sama Umno memiliki pengundi tegar yang senekad presidennya kerana sanggup meredah banjir demi mendapatkan undi.

Sebaliknya bagi rakyat biasa, mereka cenderung keluar mengundi sewaktu cuaca cerah dan ada kemudahan.

Rakyat biasa perlu diberikan suntikan semangat dan kefahaman politik agar mereka juga mempunyai kesedaran terhadap pemilihan ketua kerajaan yang bakal 'mengimam' kehidupan mereka di dunia dan akhirat.

Mengundi memang salah satu proses demokrasi di negara yang bebas dan progresif. Namun mengundi bukanlah satu-satunya penanda aras tahap demokrasi di sesebuah negara atau wilayah.

Penanda aras lain ialah proses sebelum mengundi - seperti tempoh dan kaedah kempen - selain mentaliti pengundi, kemudahan pengundian, integriti badan pelaksana pilihan raya dan sebagainya.

Sejak PRU pertama pada 27 Julai 1955 hinggalah terakhir pada 2018, tarikh PRU merupakan senjata pemerintah untuk meraih peluang lebih besar mengekalkan kuasa. Tiada siapa yang dapat mengetahui tarikh PRU lebih awal kecuali perdana menteri.

Cara untuk kekal berkuasa

Namun kini seperti kelaziman tersebut berubah. Perdana menteri bagai 'diberitahu' tentang bila PRU perlu diadakan dan ia datangnya daripada pihak lain yang nampak lebih berkuasa.

Untuk rekod juga sepanjang sejarah PRU di negara ini, parlimen dibubarkan selepas genap tempoh lima tahun hanya berlaku pada 2013 dan 2018 sahaja.

Kedua-duanya semasa kerajaan diterajui oleh Najib Razak.

Selain daripada itu parlimen dibubarkan secara mengejut sebelum tempoh penggal yang sepatutnya - selama lima tahun - berakhir. Malah pada 1978, 1982 dan 2008, PRU diadakan sebelum cukup empat tahun penggal semasa berjalan.

Berdasarkan PRU ke-14 lalu, penggal parlimen pada kali ini hanya berakhir secara automatik pada Mei 2023. Kerajaan sedia ada boleh kekal atau perdana menteri memilih untuk membubarkan parlimen lebih awal.

Dalam konteks terkini, ia bergantung kepada pertimbangan politik yang boleh menguntungkan Umno sebagai parti yang dianggotai perdana menteri.

Ketika ini perdana menteri tersepit di antara menjaga kepentingan partinya dengan kepentingan segelintir pemimpin Umno yang mahu parlimen dibubarkan secepat mungkin.

Benar, PRU semasa tengkujuh pernah diadakan sebelum ini. Suka atau tidak, itulah cara Umno untuk terus berkuasa. Mengundi semasa tengkujuh kira-kira sama seperti bermain bola semasa hujan lebat dan padang yang becak.

Ketika itu, bukan soal kemahiran bermain bola yang diutamakan.

Pada 1990, berlaku perpecahan besar dalam Umno yang menyaksikan Tengku Razaliegh Hamzah menubuhkan parti Semangat 46 dan bekerjasama dengan PAS. Ia membawa kepada jatuhnya Umno-BN di Kelantan dan naiknya PAS bersama sekutunya.

PRU ke-10 (1999) juga berlangsung pada penghujung tahun. Ketika itu juga berlaku perpecahan besar dalam Umno yang membawa kepada lahirnya gelombang reformasi diketuai Anwar Ibrahim.

Itulah pertama kali Umno kehilangan undi popular dan dominasi parti itu sebagai parti Melayu dikoyakkan oleh keputusan pengundi luar bandar.

Sekarang Umno beria-ia mahu mengadakan PRU semasa cuaca tidak menentu.

Menarik untuk diingat bahawa kali pertama PRU semasa tengkujuh, Umno kehilangan sebuah negeri – Kelantan. Kali kedua, Umno kehilangan satu lagi negeri – Terengganu – dan Kelantan kekal di tangan PAS.

Sekarang Umno menempah PRU pada musim tengkujuh buat kali ketiga. Adakah ia satu petanda yang Umno akan ditalkinkan secara sempurna?

Tidak kurang penting ditanyakan: Masihkah ada pihak yang menawarkan batang tubuhnya menjadi tongkat buat Umno?


MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan aktivis politik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.